Monday, May 30, 2011

Blues Retro - Imaen

1. Antara kesukaran yang meresahkan adalah apabila berada di toko buku, dan mahu mencari buku yang dirasakan menarik.

2. Tambahan pula di alaf mesin cetak dan pereka kulit buku makin kreatif dan inventif serta imaginatif, menghasilkan reka bentuk sesebuah kulit bagi buku, novel khususnya, kelihatan sungguh menarik.

3. Lebih-lebih sukar apabila kita sebagai pembaca, tidak mengenali penulisnya. Mungkin kulit luar boleh menggoda sehingga memperdaya kita membeli, kerana cantiknya kulit luar, tetapi hampanya isi dalam, namun jika kita mengetahui cara dan gaya seseorang penulis itu, perkara kesukaran yang meresahkan apabila hendak membeli buku itu, boleh diatasi.

4. Tidak jarang kita 'dimuslihatkan' dengan  kecantikan kulit luar. Lebih-lebih lagi penerbit buku kini sudah bijak bermain dengan psikologi. Bukan sedikit buku yang kita beli kerana kulit yang memikat, tetapi isinya tidak seberapa, sehingga kita sebagai pembeli berasa 'ditipu' dengan kulit yang cantik itu. Maka itu peri pentingnya mengenali penulis.

5. Rasanya sudah agak lama saya tidak berjumpa seorang penulis yang 'kena' dengan selera membaca saya. Penulis yang berupaya mencandu saya supaya memiliki dan memesrai setiap tulisannya. Tapi kini, rasanya saya sudah dicandu. Oleh Imaen.

6. Karya pertama Imaen yang saya baca adalah novel Seikat Kembang Merah, terbitan Jemari Seni. Membelinya kerana syor seorang kawan yang mati-mati kata novel itu bagus. Memang tidak dinafikan, menarik novel itu. Tetapi ketika itu Imaen belum menarik perhatian saya.

7. Blues Retro pula merupakan tulisannya yang kedua saya miliki. Novel ini dihadiahkan kepada saya oleh Jemari Seni dari satu pertandingan. Tidak mengetahui pun kewujudan novel ini sebelum itu.

8. Barangkali sudah menjadi ketentuan bahawa Imaen akan menjadi penulis kegemaran saya selepas dari ini. Kali pertama melihat kulitnya, saya suka. Warna kuningnya sungguh menarik perhatian. Helaian muka surat di dalamnya juga dicetak dengan kemas dan bersih berwarna putih. Ditambah pula dengan autograf dari Imaen sendiri pada novel ini, memikat saya untuk lekas-lekas membacanya.

9. Dan ternyata, Blues Retro ini cantik luar dan cantik dalam. Sungguh puas hati ketika selesai membacanya.

10. Blues Retro adalah mengenai kisah cinta antara dua darjat. Setingnya pada lewat tahun 80an dan awal 90an. Kisah aku darah kuning dan kau darah merah. Kau marhaen aku borjuis. Pada muka surat 60, Imaen dengan jelas memberi gambaran mengenai novel ini.

"Kau ingat kau Kuswadinata dalam Antara Dua Darjat?" tanya Ghazi." (ms 60)

11. Ghazi adalah seorang penuntut di sebuah universiti. Berkenalan dan jatuh cinta dengan Nik Farhana, seorang anak dari keturunan 'tengku-tengku'. Percintaan mereka tidak direstui oleh bonda Nik Farhana, sehingga mereka nekad untuk kahwin lari.

12. Secara jujurnya, tidaklah saya tertarik dengan jalan cerita yang seperti itu, yang kedengarannya agak biasa dan klise sungguh, mungkin pembaca lain juga akan bersetuju dengan saya. Jadi apa yang menarik sangat mengenai Blues Retro ini?

13. Satunya ia menarik kerana gaya dan cara persembahan penulisnya. Disebalik kisah percintaan Ghazi itu, disela-selakan dengan tulisan yang menyentuh mengenai pelbagai aspek. Nilai kehidupan, kemanusian, perjuangan, kemerdekaan, dan sebagainya. Ide dan pemikiran Imaen melihat dunia diluahkan menerusi watak Ghazi. Kedengaran sinis.

14. Imaen seorang penulis yang jujur, yang berani. Menulis sesuatu bersandarkan kebenaran. Tidak mengira pangkat atau darjat. Pada novel ini, dapat dilihat bagaimana pandangannya mengenai golongan-golongan yang merasakan diri mereka istimewa atas dasar mereka dari baka 'tengku-tengku'. Juga para politikus yang rakus. Imaen berdemonstrasi memperjuangkan golongan yang ditindas.

15. Keduanya ia menarik kerana humor yang ditawarkan. Saya dapat lihat bagaimana Imaen berusaha memperkenalkan karya sastera yang indah dan berisi kepada khalayak ramai terutamanya generasi MTV, Facebook, dan Twitter dengan gaya bahasa yang santai dan mudah dinikmati sambil diselitkan dengan pengajaran-pengajaran. Dan ia berkesan!

16. Kisah di dalam Blues Retro ini mengambil latar belakang sekitar kawasan Kg Kerinchi dan Pantai Dalam. Itu juga satu kelebihan untuk saya lebih menikmati novel ini kerana setiap tempat yang diceritakan adalah kawasan laluan saya hari-harian.Terasa dekat dengan penceritaannya.

17. Kisah yang berdasarkan kisah benar ini, Imaen gambarkan dalam suasana yang bisa membuat pembaca tertawa dan bersedih sekali gus. Tertawa dengan kelucuannya dari awal sehingga akhir, bersedih kerana kesusahan hidup Ghazi serta penderitaannya dihina dan diherdik serta gagalnya Ghazi dan Nik Farhana bersatu di akhirnya lantaran perbezaan darjat itu.

18. Merupakan novel terbaru dari Imaen. Boleh didapati di toko-toko buku berhampiran, atau langsung sahaja ke Jemari Seni. Berharga RM 17 sahaja. Sekalung tahniah buat Jemari Seni atas persembahan yang menarik pada novel ini. Cuma ada di sana sini kesilapan ejaan dan pada satu babak, nama Nik Farhana bertukar dengan nama yang lain, mungkin pada cetakan kedua, itu boleh dibaiki. Juga buat Imaen, tahniah. Teruskan menulis dan mendekati pembaca-pembaca alaf baru dengan gaya anda tersendiri. Buat pembaca pula, ingat nama ini. Imaen.

19. Ketika anda berdiri di hadapan kedai buku, kerunsingan tidak tahu mahu membeli buku yang mana, cari nama ini, Imaen.

Semoga bermanfaat.


* Setiap undian anda adalah sangat dihargai. Terima kasih. KLIK


4 comments:

MARSLI N.O said...

Baru terjumpa blog ini. Menarik juga, yah.

MARSLI N.O

melihat buku said...

Terima kasih tuan Marsli berkunjung di sini.

airina said...

Alahai! Saya tak beli walaupun dah jeling banyak kali. Kena cari la ni :P

melihat buku said...

Harus cari dan miliki. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...