Wednesday, May 11, 2011

Cerpen Pendek - Gula-TQVM PM

Hajah Halijah memandang suaminya. Setiap satu hirupan kopi o itu dirasakannya sebagai racun yang secara perlahan-lahan membunuh suaminya yang paling dicintai itu.

Mengalir rasa bersalah dalam nubarinya apabila menyedari bahawa kopi o itu adalah hasil dari air tangannya sendiri. Secara tidak langsung dia merasakan seolah dia yang akan membunuh suaminya.

Tapi bukannya dia tidak mencuba. Bahkan telah berkali-kali, sehingga Haji Mael, suaminya, memarahinya apabila didapati bahawa minumannya saban pagi itu telah dikurangi jumlah gulanya.

Bukan sahaja dimarahi, bahkan pada petang itu, Haji Mael bergegas mendapatkan motorsikalnya kemudian memecut laju pergi ke kedai Ah Kaw. Bila pulang ke rumah, suaminya itu mencampakkan 10 bungkus gula di atas meja, di hadapannya.

“Kalau gula dah habis, cakap! Aku boleh beli!”

Sangat terasa hati Hajah Halijah tika itu. Namun dia tahu, suaminya tetap sayangkannya. Dia juga sayang kepada Haji Mael. Kerana sayang itulah maka Hajah Halijah berusaha bermacam cara untuk mengurangkan pengambilan gula suaminya.

Bukan dia tidak tahu, gula yang berlebihan akan merbahayakan kesihatan. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang berusia lanjut seperti suaminya itu. Doktor juga telah memberi nasihat supaya dikurangkan pengambilan gulanya.

Tapi cara bagaimana lagi harus dilakukan? Lidah suaminya telah lali dengan lapan sudu camca teh setiap hari untuk kopinya. Jika kurang walau sebutir gula, pasti suaminya akan merasakan tawarnya kopi itu dan meminta ditambahkan gula.

Sehinggalah pada suatu pagi yang damai, Ajib datang memberikan surat khabar kepadanya, seperti selalu. Berita utamanya begitu membuatkan Hajah Halijah tersenyum sehingga ke telinga.

‘HARGA GULA DINAIKKAN’

Dengan wajah yang penuh ceria pagi itu, Hajah Halijah membawa surat khabar itu berjumpa dengan suaminya yang sedang bersarapan.

“Gula naik harga?! Kenapa boleh jadi macam ni?!”

“Kerajaan mahu kita menjaga kesihatan bang aji, itu pasal mereka naikkan harga gula.”

“Jika berterusan begini, tiada lagi kemanisan yang dapat kita kecapi.” Kata Haji Mael tersirat makna, sambil menghirup sisa-sisa kopi o nya yang terakhir.

“Baguslah bang aji, untuk kebaikkan awak jugak.”

Dengan penuh keyakinan di dada, Hajah Halijah berasakan bahawa tentu suaminya akan kurang memakan gula selepas dari ini. Dan kesihatannya pun akan terjamin, tidak akan sakit lagi sampai kiamat.

Sejurus selepas itu, Hajah Halijah mengambil sehelai kertas kajang, dialamatkannya ke Putrajaya dengan isi yang ringkas,              

‘TQVM PM, naikkan harga gula.’


1 comment:

Anonymous said...

salam.

cerpen yang kelakar.
buat saya tersenyum pada tengahari yang hangat ini.

lebih-lebih lagi 8 sudu gula hanya untuk secawan kopi!?

teruskan usaha:)

p/s- baguslah bang aji,untuk kebaikkan awak juga- jangan lupa buang satu 'k' pada perkataan kebaikkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...