Tuesday, May 3, 2011

Isabella - SN Dato' Abdullah Hussain (Terjemahan)

1. Perkara yang pertama yang menarik minat saya untuk membeli dan menghadami novel ini adalah kerana ia diterjemahkan oleh Sasterawan Negara kita, Dato' Abdullah Hussain.

2. Pasti ada sesuatu yang bermakna, yang berharga, yang ingin beliau kongsikan bersama khalayak pembaca di dalam negara apabila membuat keputusan untuk menterjemah novel ini ke dalam bahasa Melayu.

3. Novel Isabella ini adalah tulisan asal Maulana Muhammad Saeed Dehlvi di dalam bahasa Urdu, yang kemudian diterjemah ke dalam bahasa Inggeris oleh Rahmn Ali Al-Hashmi sebelum Abdullah Hussain mengarangkannya semula di dalam bahasa Melayu lewat tahun 80an.

4. Sesuatu yang jelas, pembaca yang membaca novel terjemahan akan berasa sedikit kurang dari sudut gaya dan keindahan bahasa sesuatu novel yang diterjemah itu. Penulis yang menterjemah, menulis mengikut apa yang dibaca melalui tulisan asal penulisnya. Seperti novel Isabella ini, dari Urdu ke Inggeris ke Melayu. Bertingkat-tingkat. Pastinya kesenian bahasa Urdu yang ditulis semula ke dalam bahasa Inggeris akan terasa kepudarannya, dan bertambah pudar apabila dari bahasa Inggeris diterjemah ke dalam bahasa Melayu.

5. Bukan bermakna bahasa Inggeris dan Melayu kurang seni dan keindahannya, melainkan kerana ia adalah terjemahan, bermakna penulis yang menterjemah tidak mempunyai kebebasan untuk menulis mengikut naluri dan kemahuannya sendiri melainkan mengikut karya asalnya.

7. Ini adalah kerana, pada kebanyakan karya terjemahan, yang paling ditekankan adalah isi dan pengajaran yang terdapat di dalam karya yang ingin diterjemahkan itu. Keindahan bahasa sudah jatuh pada tempat ke dua, atau mungkin ketiga.

8. Begitu juga dengan novel Isabella ini, pertama kali membelinya saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk membaca sebuah novel yang dihiasi dengan permainan bahasa yang indah seperti yang selalu kita dapati tatkala membaca tulisan SN Dato' Abdullah Hussain di dalam novel, seperti Imam, Konserto Terakhir, Interlok, dan lain-lainnya.

9. Apa yang dicari adalah pengisian dan pengajaran dari novel Isabella ini.

10. Isabella adalah mengenai kisah seorang anak ketua paderi di Sepanyol yang bernama Isabella. Telah diajarkan dengan ajaran dan fahaman agama Kristian dengan jitu sedari kecil lagi. Pada suatu hari, Isabella terdengarkan perbualan dua orang Muslim mengenai agama Kristian. Perbualan dua anak muda itu yang bercerita mengenai agama Kristian telah menarik minat Isabella untuk mendengar lebih lanjut. Sehingga pada suatu ketika, dua anak muda itu telah berbicara mengenai kekeliruan-kekeliruan yang terdapat di dalam agama Kristian dan bagaimana kecelaruan yang terjadi terhadap pegangan penganutnya, lalu mengakibatkan Isabella yang mendengar, timbul persoalan di dalam hatinya mengenai kekeliruan yang dibangkitkan oleh dua orang pemuda tersebut.

11. Bermula dari situlah berlakunya beberapa siri pertemuan antara pihak gereja Kristian dengan agamawan Islam berdialog dan berhujah mengenai persoalan yang dibangkitkan. Dan dari situ juga, Isabella perlahan-lahan dapat menerima kebenaran agama Islam dan menyedari kesesatan serta kekacauan yang terdapat di dalam agama Kristian yang dianutinya.

12. Isabella kemudian memeluk agama Islam. Lalu mendapat tentangan dari kaum keluarga serta pihak gereja. Mujur Isabella mempunyai sahabat-sahabat yang cintakan kebenaran dan telah bersama membantu menyelamatkan Isabella dari kurungan para paderi sebagai tindakan menghukumnya yang telah keluar dari agama Kristian.

13. Novel ini adalah novel teologi. Memperkatakan perihal ketuhanan dari dua agama. Sarat dengan pengetahuan-pengetahuan dan ilmu-ilmu mengenai agama Islam dan Kristian.

14. Novel ini mengingatkan saya kepada sebuah buku yang telah dibaca lama dahulu berjudul '9 Malam Dialog Islam-Kristian Mengenai Ketuhanan' terbitan Pustaka Haji Abdul Majid cetakan pertama tahun 1995. Buku yang mengandungi dialog antara penganut Kristian dan ulama Islam mengenai perihal ketuhanan. Dialog-dialog seperti siapakah Tuhan yang sebenarnya, Jesus sebagai penebus dosa kaumnya, kitab Al Quran dan Bible, perselisihan ayat-ayat di dalam Bible, dan sebagainya.

15. Buku yang menerangkan seribu satu kekeliruan dan kesalahan yang terdapat dalam ajaran Kristian yang tidak dapat dijawab oleh penganutnya sendiri. Begitu juga dengan novel Isabella ini. Berlaku beberapa dialog antara orang Islam dan Kristian yang mana hujah-hujah mengenai ketuhanan dan ajaran agama tidak didapat dijawab oleh paderi-paderi Kristian.

16. Novel Isabella ini bukan sekadar novel yang bercerita mengenai kisah seorang Kristian masuk Islam, tetapi lebih mendalami apa itu ajaran Kristian dan Islam supaya pembaca dapat melihat dan menilai serta menentukan kebenarannya sendiri.

5 comments:

Pelima Media said...

Assalamualaikum tuan, didoakan semoga sentiasa bersama rahmat Allah. Amin. Mohon kongsi artikel di laman Facebook kami

melihat buku said...

InsyaAllah, semoga bermanfaat

Anonymous said...

Di mana sy boleh dptkn novel ini? Koleksi yg lama telah hilang. Hro dpt bantu.

melihat buku said...

Salam Anon,

Kalau novel Isabella terjemahan Abdul Latip Talib boleh dibeli di Mph

Anonymous said...

Mana boleh dapatkan novel ini?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...