Wednesday, May 18, 2011

Cerpen Pendek : Minyak Naik-Kami Faham

“Teh O suam kurang manis satu Pak Abu.”

“Apalah nak jadi, harga minyak naik lagi. Jalan kaki la nampaknya aku lepas ni, ke kebun.”

“Itulah Pak Daud. Bila minyak naik merungut, bila mengundi pangkah kerajaan jugak.”

 “Kerajaan naikkan harga tu bersebab, Sudin. Bukan suka-suka mereka naikkan dan buat rakyat terbeban. Harga minyak dunia dah memang tinggi, nak buat macam mana. Takkan kerajaan nak tanggung kenaikan harga minyak sorang-sorang. Mereka terpaksa kurangkan subsidi, demi untuk masa depan negara. Untuk anak-anak dan cucu-cucu kita. Mana yang dirasakan patut, mereka kurangkan, dan kongsi dengan rakyat, baru negara akan stabil ekonominya. Kau nak ke tengok negara tanggung hutang selama-lamanya? Hanya sebab nak bagi rakyat subsidi minyak, negara kita bankrap. Kau nak ke? Fikirlah sikit jauh ke depan, jangan fikir periuk nasi kau sahaja.”

“Ah, Pak Daud ni. Bila orang cakap pasal kerajaan, ada je hujah dia.”

“Aku cakap benda betul Sudin. Kita tak boleh asyik tanya apa negara kasi dekat kita saja, tanya sekali apa yang kita buat untuk negara jugak. Baru betul. Ni aku tengok, rungut-rungut harga naik, tup-tup, keluar kereta baru jugak si Budin, kawan kau tu. Kita kena realistik waktu-waktu begini Sudin, kalau kerajaan terpaksa, aku ulang, terpaksa, naikkan harga minyak, kita kena terima, kena faham.”

            Sementara itu di bilik mesyuarat menteri.

“Macam mana reaksi rakyat semua datuk-datuk?”

“Alhamdulillah Datuk Seri. Kebanyakannya sudah mula faham kenapa harga minyak harus kita naikkan. Cuma ada segelintir sahaja lagi yang rungut-rungut tidak puas hati. Tapi Datuk Seri tak perlu khuatir, rungutan-rungutan seumpama itu dalam seminggu dua lagi akan hilang. Ditiup angin ke Pulau Cendana. Hehe.”

“Bagus jika begitu. Tapi saya mahu kamu tingkatkan lagi usaha, iklankan lagi di media-media, sebab-musabab mengapa harga minyak kita naikkan. Kawal mana-mana tulisan di akhbar atau laman blog yang cuba memprovokasikan rakyat. Kalau perlu, haramkan terus. Jangan sampai terjadi huru-hara dalam negara, hanya sebab beberapa sen harga yang dinaikkan. Jangan sampai rakyat berbaring di jalanan menentang kita seperti di Mesir. Saya tidak mahu itu semua berlaku. Cegah mana-mana sumber yang membawa ke arah itu. Saya mahu rakyat faham. Kitakan nak perintah sampai kiamat. Hehe.”

            Sementara itu, di kedai kopi Pak Abu lagi.

“Ini teh o kamu Sudin. Betul apa yang Pak Daud katakan tu. Surat khabar dah tulis berita-berita pasal minyak tu untuk kita faham. Sebagai rakyat kita kena prihatin, berjimat-cermat dalam keadaan semacam ini. Cuba kau contoh si Munir tu, rajin dia cari bateri-bateri lama.”

“Ah, Pak Abu ni pun. Dengan Munir si sewel tu pulak dia samakan kita. Otak si Munir tu da mereng Pak Abu. Ada pulak dia kata dengan saya, yang cita-cita dia nak jadi PM.”

            Haha. 

            Haha.

            Berbahak-bahak.

“PM Pak Abu! Bukan calang-calang punya cita-cita. Tak padan dengan gila. Itu, bateri dengan motor-motor kipas yang dia pungut tu, Pak Abu tahu dia nak buat apa? Katanya dia nak reka kereta yang tak pakai minyak kalau dia jadi PM nanti, pakai bateri dengan motor-motor kipas je. Dan dia janji tak akan naikkan harga minyak lagi.”

            Haha.

            Haha.

            Gelak. Berdekah-dekah. 

            “Gila.”


5 comments:

Hamli Sanai said...

ada sambungan?

ADMIN (MB) said...

Lupa nak tulis 'tamat' :-)

Najihah.Faizah.Azaman said...

Macam kena sambung je?

ADMIN (MB) said...

Kita serahkan kepada pembaca untuk sambung mengikut selera masing-masing :-)

hannan said...

x paham la cerpen ni..lol

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...