Saturday, September 5, 2009

Cerpen - Warna oleh Faizati Mohd Ali


  • Judul : Dari Suatu Tikungan Lorong
  • Terbitan : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
  • Harga : RM 22.00
Cerpen ini pernah tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 4 November 2007. Kemudian ia di himpun dan dijadikan sebuah buku bersama dengan beberapa cerpen yang lain.

Di lihat secara terus apa yang cuba dikisahkan oleh penulis melalui cerpen ini.

Kisah seorang wanita di sebuah kampung. Wanita itu menjadi hinaan dan bahan gelakkan di dalam kampungnya.

Puncanya cuma satu. Kerana Warna. Warna kulitnya.

Seluruh penduduk kampung memandang rendah kepada wanita itu kerana warna kulitnya yang hitam. Hitam yang paling hitam. Bahkan lebih hitam dari punggung belanga yang hitam.

Memang sangat hitamlah warna kulitnya.

Akan hal itu dia merasa rendah diri dan terhina. Sehingga pada suatu hari dia mendapat khabar. Bahawa terdapat sebuah gunung yang mana kalau sesiapa yang bertapa selama 12 purnama di atas sana, warna kulit akan berubah menjadi putih.

Wanita itu teruja dan bertekad mahu bertapa di atas gunung sana.

Diringkaskan cerita, maka putihlah akan wajah wanita itu. Gembira tiada kepalanglah akan dia.

Tidak sabar-sabar mahu pulang ke kampung memperlihatkan warna kulitnya yang sudah putih kepada sekalian warga kampung.

Namun alangkah berbezanya keadaan di kampungnya itu setelah 12 purnama ditinggalkan.

Penduduk kampung itu tidak lagi menggilai warna kulit yang putih-putih tapi kini mereka lebih gemarkan warna hitam-hitam belaka!

Warna hitam telah diangkat sebagai warna yang paling cantik dan menawan bagi penduduk kampung itu.

Jadi tidak hairan mereka menghitamkan warna kulit masing-masing.

Dan saat wanita itu pulang dengan wajah yang putih berseri, dia tidak juga menjadi cantik di mata khalayak kampung. Kerana mereka kini setelah 12 purnama berasa lebih hitam lebih menawan.

Cerpen tamat di situ.

Cerpen sengaja ditamatkan dengan keadaan wanita itu masih tercengang-cengang dengan apa yang telah berlaku.

Usaha selama 12 purnama tidak membawa apa-apa makna. Semuanya sia-sia. Dia tetap menjadi seorang yang aneh sekalipun telah berubah warna.

Cerpen yang ringkas dengan bahasa-bahasa yang mudah dihadam. Garapan yang menarik.

Penulis cuba membawa suatu perkara yang memang menjadi lazim di dalam sesebuah masyarakat. Nilai pada setiap sesuatu manusia yang tentukan. Manusia menentukan menurut keinginan dan kemahuannya pada sesuatu masa.

Oleh kerana manusia yang menilai maka nilai itu berubah mengikut perubahan manusia itu juga.

Dalam cerpen ini manusia menilai kecantikkan pada mulanya dengan warna kulit yang putih. Kemudian setelah 12 purnama nilai kecantikkan itu berubah kepada warna hitam pula.

Selain itu cerpen ini juga membawa kita untuk merasa cukup dan syukur dengan kurnia Tuhan kepada kita. Kerana pada setiap kejadian itu punya hikmah dan kebaikan yang selalunya kita tidak ketahui.

Cerpen ini boleh di baca di dalam buku Dari Suatu Tikungan Lorong.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...