Tuesday, March 1, 2011

Hujan Pagi - A Samad Said

"Apakah peranan akhbar saudara itu 'pengghairah', 'pelapor', 'pendakwah', atau 'pengekor'?" - Hujan Pagi ms 124.

"Akhbar kita suara rakyat. Hujan Pagi suara keadilan." - Hujan Pagi ms 281.

1. Untuk menjadi berkuasa di dalam sesebuah negara dan terhadap rakyat jelatanya, antara perkara terpenting yang harus dikuasai adalah media cetak. Surat khabar, majalah, dan lain-lain. Saya kurang pasti di dalam buku mana terjumpa kenyataan yang seperti itu. Tapi ia ada kebenarannya.

2. Hujan Pagi adalah sebuah novel tentang keresahan penulisnya terhadap kebebasan yang dinafikan. Tentang kebenaran yang disekat dan disembunyikan keindahannya sehingga yang terlihat hanyalah kebobrokan.

3. A Samad Said (Pak Samad) lahir pada 1935 di Durian Tunggal, Melaka. Ketika menulis novel ini, pada tahun lewat 80an, beliau telah berusia sekitar 50 tahun. Satu usia yang jauh lebih matang pada ketika Pak Samad mula-mula dahulu mengarang novel Salina. Yang mana sehingga sekarang karya Salina itu cukup sinonim dengan nama A Samad Said. Di mana-mana, orang akan menyebut Salina apabila ditanya tentang A Samad Said. Seolah Pak Samad hanya ada Salina untuk dibangga-banggakan sebagai karyanya yang hebat.

4. Selesai membaca novel ini, saya merasakan bahawa Hujan Pagi adalah gambaran yang paling sesuai untuk meletakkan diri Pak Samad sebagai seorang pejuang bahasa yang mana pena dan suaranya tidak pernah mengenal erti menyerah. Kita pasti tidak akan lupa betapa marahnya Pak Samad dalam isu PPSMI yang tak berapa lama dahulu. Sehingga terbit sendiri dari dua ulas bibir rentanya meminta rakyat supaya undilah siapa saja tapi jangan undi UMNO. Bagaimana kita boleh lupa itu sedangkan berjuta mata rakyat menyaksikan sendiri batang tubuh Pak Samad ikut berdemontrasi menyatakan bantahan terhadap penggunaan bahasa Inggeris di sekolah pada subjek sains dan matematik.

5. Pak Samad melahirkan Lokman sebagai pemain utama di dalam novel ini. Watak ini di dalam dunia halusinasinya adalah sebagai ketua pengarang di sebuah syarikat akhbar Hujan Pagi. Sementara di dunia realiti Lokman hanya seorang pesakit kepada seorang doktor pakar psikiatri, Dr Ahmad Dio.

6. Kisahnya, secara ringkas, Lokman berasa tertekan dengan keadaan kerjanya di Sinar Pagi, sebuah syarikat penerbitan akhbar. Tekanan itu yang menyebabkan dia jatuh sakit dan terpaksa dirawat oleh Dr Ahmad Dio. Semasa proses rawatan itulah Lokman sering berhalusinasi tentang syarikat akhbar yang diwarisi dari datuknya, akhbar Hujan Pagi yang mana dia sebagai ketua pengarang di situ.

7. Tekanan yang diperolehi itu dipercayai datangnya daripada sekatan-sekatan, menghalang kebebasannya sebagai seorang wartawan untuk melaporkan perkara-perkara yang benar dan tepat yang harus diketahui oleh khalayak ramai. Akibat sekatan dari mereka yang berkepentingan itu maka Lokman, dalam dunia halusinasinya telah mencipta pula satu 'team' rakan-rakan wartawannya yang berjiwa kental memperjuangkan Hujan Pagi. Hujan Pagi ketika itu telah cuba dihalang daripada menulis kisah-kisah dan laporan-laporan yang boleh membangkitkan semangat penduduk Tanah Melayu bagi menuntut kemerdekaan daripada pihak penjajah.

8. Selain kisah Lokman, digandingkan bersama di dalam novel ini watak Lajis, Norisah, Narisah, Gazis, Ruseli dan beberapa lagi. Semuanya diadun oleh Pak Samad dengan adunan yang sempurna sehingga terhasillah Hujan Pagi.

9. Ada beberapa jenis buku yang dapat kita, sebagai pembaca, mengkategorikan.
-Satu, buku yang apabila kita membacanya, terasa seperti tidak mahu menghentikan bacaan. Bacaan menjadi lancar dengan kisah yang  diperikan berserta plot dan adegan kejutan yang dipaparkan sering membuat pembaca ingin tahu dan ingin tahu kisah selanjutnya sehingga akhir cerita.

-Dua, buku yang apabila kita membacanya, bacaan menjadi perlahan. Sama ada cerita atau gaya penceritanya yang membuatkan pembaca seolah berasa 'tak boleh masuk' dengan buku tersebut. Kategori ini yang akhirnya mengakibatkan buku-buku yang dibeli, tak habis dibaca.

-Tiga, buku yang apabila kita membacanya, terasa mahu baca tanpa henti, mahu terus menikmati ceritanya sehingga habis, namun pengarangnya tidak mahu nikmat membaca buku tersebut habis pada kadar segera. Bacaan menjadi lambat, kelambatan yang disengajakan oleh pengarangnya sendiri, kerana mahu menghidangkan pembaca dengan helaian demi helaian muka surat yang sarat falsafah dan pemikiran, yang mana di akhir buku menjadikan ia sebuah nikmat membaca yang luar biasa.

10. Saya meletakkan Hujan Pagi dalam kategori yang ketiga. Sepanjang bacaan terhadap novel tebal ini, keseronokkan membacanya tidak sama seperti membaca novel-novel yang lain. Tidak ada kisah hero disukai ramai yang mahu diangkat, melainkan pembaca dibawa memasuki alam bawah sedar setiap satu dari watak-watak yang dijelmakan di dalam novel hebat ini. Sehingga akhirnya pembaca seolah tenggelam bersama dengan jalan ceritanya dan pada muka surat penamatnya, kita akan merasakan seolah mahu lebih lagi. Mahu Pak Samad teruskan bercerita, jangan berhenti lagi. Kita membaca tetapi tidak mahu bacaan pada novel ini menemui titik akhir. Mahu lagi dan mahu lagi.

11. Di zaman teknologi maklumat ini, zaman IT, surat khabar mungkin terpaksa bersaing dengan laman-laman blog untuk mendapat perhatian khalayak pembaca. Bahkan tiada ganjil jika disebutkan ada beberapa laman blog yang lebih dikenali dan mendatangkan pendapatan yang tinggi berbanding media cetak seperti surat khabar atau majalah.

12. Pak Samad juga tidak ketinggalan untuk menggunakan teknologi ini sebagai medium bagi beliau menyuarakan pandangan dan pendapatnya. Blog beliau Hujan Pagi boleh dicapai di sini.

13. Kerana itu diawal tadi saya menyebutkan bahawa novel Hujan Pagi ini lebih mewakili jiwa Pak Samad. Blog yang dinamakan dengan Hujan Pagi itu seolah mahu menunjukkan bahawa beliau mengimpikan sebuah 'Hujan Pagi'. Sebuah 'akhbar' yang mana beliau bebas melahirkan pendapat dan buah fikirannya. Bebas daripada disaring mahupun ditambah, dikurang mahupun dibuang oleh ketua editor kerana kepentingan-kepentingan tertentu, politik contohnya. Maka wujudlah blog Hujan Pagi, dari abjad direnda kata.

14. Bagi pembaca yang telah sering membaca novel-novel cinta, popular, jika mahu sedikit rasa cabaran ketika membaca, novel Hujan Pagi ini sangatlah molek. Bukan sahaja menuntut perhatian yang penuh, tetapi juga kesabaran dan keazaman ketika membacanya.

15. Sebuah novel yang sangat menarik. Wajib baca bagi yang menggelarkan diri mereka pencinta sastera negara.

16. Setakat tarikh entri ini disiarkan, laman sesawang Dawama masih mempunyai stok untuk novel ini. Boleh lekas menempahnya.

17. Hujan Pagi juga kini dikenali sebagai The Morning Post. Dengan tampilan yang baru, diterjemah ke dalam bahasa Inggeris oleh ITNM.

18. Selamat membaca. Dan selamat menikmati bacaan. Semoga bermanfaat.

2 comments:

Anonymous said...

Saya suka dan saya akan cari. Kali terakhir saya sudahkan Hujan Pagi, 10tahun lepas ketika remaja. Selepas itu hanya terperuk di rak buku dan sayangnya, hangus dalam kebakaran rumah 4 tahun lepas. Teringin untuk membelinya semula, dan membacanya lagi. Thanks MB...:-)

ADMIN (MB) said...

Simpati dengan kejadian kebakaran itu. Sedikit tips, kalau tak jumpa novel hebat ini di mana-mana, cuba cari di mudah.com.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...