Monday, September 14, 2009

Pemuda!! Kamu dikehendaki merata-rata!

Ihsan gambar sini


Zaman berubah. Manusia juga berubah. Datang dan pergi. Yang pergi tak mungkin kembali tapi akan berganti. Yang bakal menjadi pengganti di masa hadapan adalah anak-anak kita yang masih kecil di dalam buaian. Kata orang melentur buluh biar dari rebungnya. Membentuk manusia harus sedari kecilnya.

Di persekitaran kita kini dapat diperhatikan bahawa betapa tenaga para pemuda ini amat ditagih. Dalam banyak bidang dan juga lapangan, orang-orang muda telah diberi semacam suatu tempat untuk mereka membukti dan mengasah kebolehan mereka.

Contohnya dalam bidang sukan. Bidang yang kini kita lihat amat ramai bakat-bakat muda yang diperkenalkan. Bidang sukan ini luas. Bermacam-macam jenis sukan yang ada. Dan dalam bermacam-macam jenis itu semuanya sedaya upaya berusaha untuk melatih bakat muda untuk menjamin masa depan persatuan, pasukan mahupun kelab. Para pemuda ini dilihat sebagai aset penting mereka.

Kita lihat dalam dunia politik pula. Bukankah tiap-tiap parti punya kelab pemudanya sendiri. Ini juga adalah sebagai salah satu cara untuk memastikan parti-parti politik terus diwarisi oleh pemuda yang telah di tanam semangat kepartian dalam diri mereka. Sekali lagi pemuda merupakan aset penting dalam dunia politik.

Lagi apa? Dalam bidang keagamaan. Adalah sangat penting untuk memastikan mereka yang akan menduduki dunia pada masa hadapan mengenal akan Tuhannya. Mengerti akan arahan-arahanNYA. Ketahui dimana tegahan-tegahanNYA. Dan semua ini memerlukan pemuda-pemuda yang telah tersedia minda dan tenaganya.

Demikianlah, betapa para pemuda sangat penting peranan mereka dalam memastikan kesinambungan yang berterusan. Siapa dia pemuda? Jika mengikut umur 30 juga masih muda. 40 juga di kira masih muda. Tapi usia pemuda berbeza dalam setiap aliran.

Bola sepak contohnya. Pada usia 27 ke atas anda sudah tidak dipanggil bakat muda. Namun dalam politik umur-umur 30-40 adalah suatu tempoh yang masih melayakkan anda untuk menyertai kelab pemuda mereka.

Ukuran pemuda berbeza dari satu bidang ke bidang yang lain. Secara mudah. Selagi belum tua anda di kira muda!

Di dalam bidang sastera juga kreativiti dan pemikiran serta idea para pemuda ini sangat di cari. Terdapat berbagai persatuan yang telah ditubuhkan bagi melahirkan insan-insan muda yang tidak hanya tahu menulis tetapi juga tahu cara bagaimana mahu membuahkan fikiran dan gagasan yang besar dalam setiap tulisan yang mereka hasilkan.

Selalunya para pemuda ini mempunyai ideologi serta pemikiran baharu yang lebih segar dalam setiap tulisan mereka sesuai dengan jiwa dan semangat muda mereka. Dan tenaga yang beginilah yang diperlukan dalam dunia penulisan kita sekarang. Tenaga-tenaga begini harus dilatih dan dibentuk agar terus berkembang dengan tulisan-tulisan yang lebih diiktiraf masyarakat global.

Usaha untuk melahirkan generasi penulis yang matang pemikirannya ini sebenarnya bermula dari alam persekolahan lagi. Lebih-lebih lagi di sekolah menengah yang mana subjek sastera ini di ajar secara khusus dalam aliran sastera.

Namun apa yang mengecewakan menurut Sasterawan Negara, Dato' Dr Anwar Ridhwan dalam satu tulisannya dalam majalah Dewan Sastera (seterusnya DS) keluaran September 2009 bahawa beliau merasakan seolah-olah aliran sastera ini telah dianaktirikan. Kekecewaan beliau boleh di baca lebih lanjut dalam DS.

Jika dilihat realitinya memang ada benarnya seperti yang dikatakan. Aliran sastera di sekolah-sekolah menengah diadakan hanya untuk meletakkan 'baki-baki' pelajar yang tercicir dalam pelajaran sahaja. Oleh kerana tidak melepasi tahap untuk ke aliran sains, makanya mereka dikumpulkan di dalam satu kelas aliran sastera. Dan biasanya pelajar-pelajar yang menduduki kelas aliran sastera ini mempunyai masalah-malasah disiplin kerana mereka sudah kurangnya minat mahu belajar.

Pihak-pihak sekolah mengutamakan apa yang dipanggil aliran sains ini. Masa depan lebih terjamin dengannya. Pelajar-pelajar yang bijak akan di suluh terus dalam kelas-kelas sains. Dan seperti yang ditulis tadi, hanya yang tercicir sahaja untuk dimasukkan ke dalam kelas-kelas sastera ini.

Dan sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa dan keluarga akan lebih berbangga dengan anak-anak yang mengambil aliran sains ini. Mereka lebih geliga otaknya. Pandangan masyarakat terhadap aliran sastera di sekolah sudah melekat dan sukar untuk dikikis. "Yang ambil sastera mereka yang tak minat belajar lagi saja, anak saya hendak di hantar ke universiti-universiti luar negara. Kenalah ambil sains. Lebih menjamin masa depan."

Timbul persoalan. Apa aliran sastera tiada masa depankah? Baca seterusnya tulisan SN Dato' Dr Anwar Ridhwan dalam DS bulan ini.

Menjadi penting kepada penggiat-penggiat sastera untuk memartabatkan kembali dunia penulisan ini agar masyarakat tidak lagi beranggapan, "apa gunanya sastera..."

Sedikit sebagai renungan. Baginda Nabi saw telah dikurniakan Allah swt kitab Al Quran yang merupakan suatu mukjizat yang besar sebagai tanda kerasulan Baginda saw. Al Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab adalah suatu hasil sastera agung dari Tuhan yang mana tidak sedikit yang beriman dengan Nabi saw lantaran terpesona dengan bahasa indah karangan Tuhan ini.

Di zaman sebelum agama Islam bertapak di Mekah, masyarakat di sana amat menggemari akan sastera. Syair-syair, sajak-sajak selalu didengarkan di pasar-pasar mereka. Mereka memandang hebat kepada sesiapa yang mampu untuk mengarang sajak-sajak yang indah-indah.

Dan di kala itulah Al Quran datang mengalahkan segala jenis keindahan dan keterpesonaan masyarakat Arab terhadap selain dari bahasa Al Quran. Al Quran merupakan suatu bahasa sastera yang tinggi yang tiada mungkin dapat ditandingi oleh sesiapa pada bila-bila masa.

Keindahan Al Quran selain dari bahasanya, makna dan ertinya juga amat meluluhkan setiap hati yang mendengarnya.

Begitu bagaimana bahasa indah Al Quran dihayati dan didengari sehingga kini. Bahkan sehingga akhir zaman orang akan terpesona dengan bahasa sastera dari Tuhan ini.

Lihat betapa penting kedudukan bahasa dalam penulisan sehingga dapat membentuk insan yang terdidik jiwanya.

Sehingga itu kita mengharapkan kehadiran pemuda-pemuda dengan pemikiran yang berani yang mampu membawa perisian Al Quran dalam setiap tulisan-tulisannya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...