Monday, September 7, 2009

Novel Islami - Apa sebenarnya...



Sesuatu yang perlu kita sedari bahawa kini di toko-toko buku banyak terdapat novel-novel yang dilabelkan sebagai novel Islami.

mb telah lama perasan akan hal itu. Jika ke kedai buku sahaja pasti akan ada novel-novel baru yang dari kulit luarnya dapat kita rasakan bahawa ini novel bercirikan Islam. Selalunya para penerbit akan menggunakan wajah wanita berpurdah sebagai penghias muka depan untuk memberitahu kepada pembaca bahawa ini novel punyai ciri-ciri keislaman yang sangat elok
di baca oleh khalayak ramai.
Pada mulanya hanya sekadar satu dua sahaja yang menggunakan cara penghias begini. Namun kini mb lihat sudah berlambak deretan-deretan novel sebegini. Di rak-rak buku di MPH sana bersusun novel-novel begini dengan tajuk dan penulis yang berbeza. Tapi tetap dengan kulit depan yang sama.
Apa para penerbit sudah tidak punya ideakah?

Menurut novel-novel yang dikatakan Islami yang sebelum ini pernah mb baca, kebanyakkannya berlegar sekitar dunia para muda mudi dengan keasyikan cinta yang cuba mereka jalani mengikut aturan dan tetapan agama.
Ini mb lihat sebagai sajian alternatif kepada para pembaca yang selama ini tersajikan dengan novel-novel pop yang sarat dengan mesej cinta tanpa batas. Dengarnya seperti satu gagasan mulia. Membawa kesucian berkasih sayang bertemakan Islam menggantikan kerakusan cinta berteraskan nafsu.
Tapi adakah sekadar itu sahaja? Berpusing-pusing melayan kerenah cinta sahajakah novel Islami ini? Sudah seperti filem-filem Hindustan yang tema dan jalan ceritanya sama itu-itu juga. Tidakkah nanti pembaca juga akan bosan? Mula melihat novel Islami ini sama sahaja seperti novel-novel pop yang lain. Yang beza hanya novel Islami bahasanya agak sopan dan lembut sedikit berbanding dengan novel-novel pop yang gayanya penuh dengan ghairah dan asyik di baca.
Lalu seharusnya apa yang perlu ada dalam novel-novel yang dikategorikan novel Islami ini?

mb mengambil pandangan Faisal Tehrani (seterusnya FT) mengenai perkara ini. FT dalam tulisannya menekankan supaya setiap pengarang baharu harus bersedia mencabar diri masing-masing keluar dari tempurung kebiasaan bagi menerokai wilayah sastera Islam yang lebih luas.
Novel-novel Islami yang kelihatan lembab harus disegarkan kembali dengan peranan asasnya iaitu menyelesaikan masalah ummah dengan menyarankan solusi dari pelbagai tradisi Islam.
Tulisan FT ini boleh dibaca di dalam akhbar Utusan bulan lepas.

Dengan membawakan tema Islam yang lebih meluas, para pembaca akan terdidik mindanya sekaligus melahirkan masyarakat yang mampu berfikir dan bertindak selaras dengan kehendak agama.
Ada beberapa ciri bagi sesebuah novel itu untuk digolongkan dalam kelompok novel Islami.

1. Karya tersebut harus mempunyai cerita mengenai
ketauhidan Tuhan.
2. Karya tersebut harus menunjukkan kebenaran dan
keadilan sentiasa menang
3. Karya tersebut adalah sebagai ibadah kepada
penulisnya.

Itu antara beberapa ciri yang FT berikan sebagai panduan untuk para penulis dan pengarang muda bagi meletakkan karya tulisan mereka layak di gelar novel Islami.
Novel-novel Islami yang berada di pasaran kini dilihat kurang keluar dari persoalan-persoalan Islam yang sempit. Kebolehan berfikir pembaca tidak terjana dengan membaca tulisan-tulisan sebegini. Tema-tema cinta, soal-soal hati dan perasaan sangat menguasai novel-novel Islami kini. Ini bukanlah sesuatu perkembangan yang baik. Kita sudah pasti tidak mahu dijamu dengan bahan bacaan yang hanya cinta, cinta, dan hanya cinta.

Menjadi penulis, lebih-lebih lagi membawa gelar penulis novel Islami, bukanlah sesuatu yang mudah. Perlu untuk sentiasa bersikap jujur dan bertanggungjawab atas setiap tulisan-tulisannya. Tidak hanya memberikan apa yang diminati pembaca tetapi juga selayaknya memberikan sebuah fikiran yang mampu membuatkan para pembaca berfikir setelah membaca.
Penulis perlu melihat Islam dari sudut pandang yang lebih luas. Masih banyak kemaslahatan yang berlatarkan agama boleh dijadikan bahan untuk menulis sesebuah novel.
Seperti kata FT, "inilah cabaran sastera Islam dekad-dekad mendatang."

mb berharap agar lebih banyak lagi novel-novel Islami yang bakal berada dipasaran dengan tidak hanya keagungan cinta yang dipaparkan namun sebaliknya masyarakat pembaca mahukan novel-novel yang mampu membuka minda dan membuat akal berfikir.
Penulis perlu bekerja dengan lebih keras, memerah idea dan kreativiti bagi menhasilkan cerita yang menarik. Dan harus diingat. Bahawa para pembaca tidak mahukan novel yang kandungannya menceritakan hanya hukum demi hukum, haram demi haram. Seolah-olah membaca sebuah buku teks agama.
Pembaca inginkan novel dengan sebuah penceritaan disulami bahasa-bahasa indah di samping menggerakkan akal untuk berfikir.

Sebagai akhirnya, mb menantikan kelahiran seorang penulis yang berani untuk membuat kerja dengan lebih.

2 comments:

annur hafizah said...

Assalam, admin mb.
Betul. banyak fenomena novel islami ini dicetuskan oleh novel popular Ayat2 Cinta.
Saya juga pernah mendengar diskusi FT. Katanya, AAC muncul di tengah2 khalayak masyarakat Indonesia yang dahagakan buku2 Islami kerana mereka sudah banyak ditenggelami oleh novel2 pop yang lagha.
Jadi, novel AAC ini amat sesuai dengan fenomena di sana.

Sepanjang terlibat dengan dunia pembacaan ini, jujur saya akui secara peribadinya, novel yang memenuhi ciri2 novel Islami diatas boleh dirasai melalui karya2 Ramlee Awang Murshid yang paling fenomena sekali iatu dwilogi Laksamana Sunan. Jujur melalui pandangan sekeliling juga.
Meskipun berjalan atas tema thriller, namun ia masih berlandaskan hakikat dan ketentuan Allah SWT.
Selain itu, novel Islami kini bukan hanya boleh ditemui berdasarkan kulit buku semata-mata, tetapi kandungan cerita dan mesej yang dibawakan penulis itu sendiri harus memenuhi 3 kriteria di atas.

sebuah lagi novel yang saya berpendapat berlandaskan islami adalah karya2 Hlovate.
sekian. ;)

si_mone said...

Assalamualaikum admin mb.

apa yang diperkatakan mb semuanya benar belaka, inilah realiti yang kurang difahami oleh segelintir golongan penulis kita yang ingin membawa konsep islam dalam karya mereka.

seharusnya penulis kita harus berani dengan kerajinan yang ada untuk melahirkan karya yang membawa pembaca lebih mengenal Pencipta, memahami masalah-masalah ummah masa kini. ini adalah lebih baik bagi pendapat saya.

sebagai contoh karya KEMI1 dan 2 karya Dr Adian Husaini dari indonesia. karya beliau amat baik untuk difahami oleh masyarakat masa kini yang terdedah dengan isu-isu berkaitan kefahaman Liberalisme, Pluralisme, multikulturalisme, kesetaraan Gender.

dengan adanya novel-novel seperti ini, saya percaya mampu membawa kita untuk tahu akan masalah yang berlegar dalam realiti dunia islam kita kini yang dibawa masuk secara halus.


sekian :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...