Monday, July 26, 2010

Sutan Baginda - SN Dato' Shahnon Ahmad



1. Sutan Baginda merupakan sebuah novel lama daripada pengarang tersohor negara, Shahnon Ahmad. Diterbitkan kali pertama pada 1989 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Rasa bertuah tidak dapat disembunyikan ketika kali pertama memegang nashkah buku ini di tangan. Menambahkan lagi koleksi buku Pak Shahnon di dalam rak.

2. Secara sinopsisnya, novel ini berkisah tentang seorang ahli politik yang diberi nama Sutan Baginda. Watak Sutan Baginda@Su@Utan digambarkan sebagai seorang politikus yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-citanya memegang tampuk pemerintahan negara. Segalanya sanggup beliau lakukan termasuk menggadaikan maruah diri serta maruah isteri-isteri beliau juga.

3. Menurut apa yang diperkatakan oleh Zulkefle Dollah di dalam buku ‘Shahnon Ahmad dalam esei dan kritikan’ mengenai novel ini bahawa Sutan Baginda merupakan sebuah tulisan yang mendekati teori Islami di dalamnya. Apa yang dikata sastera Islami itu turut diterangkan oleh beliau dengan menyatakan bahawa teori sastera Islami itu mementingkan tujuan atau matlamat dalam penghasilan sesebuah karya.

4. Jika begitu memang layak dikatakan novel Sutan Baginda sebuah novel bercorak Islami. Shahnon Ahmad memulakan novel dengan penceritaan dari sudut pandang beberapa orang yang rapat dengan watak Sutan Baginda seperti isteri pertama dan kedua serta perempuan simpanannya. Menerusi penceritaan mereka itu kita (pembaca) dikenalkan kepada siapa itu Sutan Baginda dari sisi orang sekelilingnya. Dan diakhir bab kita baru dimasukkan ke dalam diri Sutan Baginda itu sendiri supaya lebih memahami watak Sutan Baginda ini apabila Shahnon Ahmad menulis tentang monolog dalaman Sutan Baginda kepada pembaca.

5. Sutan Baginda adalah seorang pemain politik yang kejam dan penuh bernafsu dalam mainan politiknya. Seperti yang berkali diterangkan oleh Pak Shahnon bahawa penekanan serta tekanan hidup yang mengharukan serta menggelisahkan jiwa telah menjadi unsur yang melahirkan dan mengilhamkan sesebuah karya beliau. Begitu jugalah dengan novel Sutan Baginda ini. Tekanan yang membuncahkan hati semasa beliau terlibat dengan politik selama beberapa tahun itu telah melahirkan Sutan Baginda ini.

6. Dan seperti kata Pak Shahnon juga bahawa seseorang sasterawan harus berkarya berdasarkan realiti masyarakatnya tanpa menyembunyikan kebenaran yang berlaku. Begitulah juga Sutan Baginda terlahir dengan penuh erotika di dalamnya seolah Pak Shahnon mahu memberitahu politikus (paling tidak semasa zaman beliau) tidak dapat dipisahkan dengan skandal.

7. Membaca Sutan Baginda seolah membaca sebuah tulisan picisan yang mengangkat tema seks yang matlamat utamanya adalah memberi keghairahan dan kesedapan buat pembaca tanpa tujuan dan hala tuju yang pasti. Namun seperti yang ditegaskan Pak Shahnon pada tulisannya yang lain, seperti yang diterangkan pada not 6 di atas, pengarang harus berani membawa kebenaran yang berlaku dalam bangsa atau negaranya walaupun hal itu mungkin merupakan sesuatu yang menjijikkan, meloyakan, dan tidak sopan. Namun yang membezakan karya yang baik, yang asli, serta penuh estetika dengan karya picisan murahan adalah peleraian serta jalan keluar yang dibentangkan di dalam karya tersebut. Peleraian-peleraian terhadap masalah yang ditimbulkan pengarang itu merupakan tujuan serta matlamat utama sesebuah karya dihasilkan.

8. Dengan menggunakan realiti yang terjadi, yang mencerminkan kehidupan masyarakatnya, pengarang perlu bermain dengan imaginasi serta mengerah daya kekreatifan pada tahap paling tinggi untuk menghasilkan sebuah karya yang betul-betul bermutu.

9. Bila Pak Shahnon menuliskan Sutan Baginda dengan penuh aksi erotika serta seks di hampir setiap helaian muka suratnya, seolah mahu memberitakan tentang kebobrokan politikus-politikus yang sedang berpolitik semasa zaman beliau.

10. Dan perlu untuk setiap karya yang baik itu disuguhkan peleraiannya, Pak Shahnon telah menamatkan kisah Sutan Baginda ini dengan tragis sekali. Segala tipu helah dan muslihat yang cuba dimainkan oleh Sutan Baginda dalam usaha beliau untuk menjatuhkan pemimpin tertinggi telah menemu jalan buntu. Rancangannya gagal secara total! Dan kerana kegagalan itu beliau menjadi kurang siuman dan disisihkan pula oleh isteri-isteri dan kawan-kawannya. Pak Shahnon akhirnya ‘menghukum’ watak Sutan Baginda ini dengan menamatkan riwayatnya dengan kematian yang paling jijik.

11. Walaupun novel ini dipenuhi oleh lambakan erotika, namun menurut Kassim Ahmad, novel ini diselamatkan daripada menjadi novel pornografi apabila Pak Shahnon menggunakan bahasa-bahasa simbolik dan kiasan yang sememangnya menjadi kepandaian sasterawan negara ini bermain dengannya. Tetapi saya secara peribadi berpandangan kiasan-kiasan yang digunakan Pak Shahnon dalam novel Sutan Baginda ini pada sebahagian-sebahagian tempat sudah tidak menjadi kiasan lagi. Ia telah jelas maksud dan gambarannya. Mungkin pada ketika novel ini mula-mula ditulis, perkara itu masih dianggap kiasan tapi pada masa kini, ia tidak lagi. Mungkin.

12. Novel ini sebuah bacaan yang memperlihatkan kepada kita tentang keadaan politik tanah air pada masa ia ditulis iaitu sekitar tahun akhir 80 an. Bahkan realiti itu masih tetap berlaku sehingga ke hari ini. Menjadikan novel Sutan Baginda ini tidak tenggelam di makan usia. Kepada anda yang meminati tulisan-tulisan Pak Shahnon, pasti tidak akan berasa rugi memiliki buku ini walau Sutan Baginda ini tidaklah segah karya-karya beliau yang lain seperti Srengenge, Ranjau Sepanjang Jalan, dan lain-lain. Selamat membaca dan selamat mengambil manfaat dari bacaan.

1 comment:

Anonymous said...

Adakah perlu sastera yang dikatakan islami itu memaparkan unsur-unsur erotika yang mungkin akan menjentik rasa untuk memikirkan sesuatu yang tak sepatutnya difikirkan? Walaupun hanya simbolik? Sama-samalah kita fikirkan.

Sedangkan Allah menceritakan dalam Al-Quran kisah Nabi Yusuf (menahan godaan Zulaikha) pun sangat cantik bahasanya. Kita yang membacanya pun dituntut mengambil hikmah pelajaran. Tiada unsur-unsur erotika pun didalamnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...