Tuesday, June 21, 2011

Terbang Tinggi - Muslim Burmat

1. Pak Samad (SN A Samad Said) pernah membisikkan mengenai buku Al-Amin beliau ketika ditanya bagaimana karya beliau dapat dipastikan benar-benar sampai kepada golongan muda, "saya fikir bukan soal saya akan sampai kepada mereka, seharusnya mereka akan sampai kepada saya, itu harusnya."

2. Pernyataan itu semacam memberi kesedaran dan kekuatan kepada penulis yang sedang mengira-ngira adakah karya mereka akan diterima pembaca.

3. Dan membaca Terbang Tinggi ini saya bertanya-tanya pula, adakah saya telah sampai kepada maksud penulisnya yang sebenar?

4. Menerusi Terbang Tinggi, Muslim Burmat membawa pembaca berhijrah dari dunia yang serba kesibukan memasuki hutan yang serba hijau yang kaya dengan flora dan faunanya. Atau lebih terperinci lagi, membawa imaginasi pembaca bersama dengan Yusuf menjerat burung di dalam hutan.

5. Yusuf, watak utama di dalam Terbang Tinggi, digambarkan sebagai seorang yang sangat meminati burung dan sanggup berlapar demi dapat menangkap burung yang menjadi idamannya.

Kerana kesuntukan masa itulah ia tidak sempat makan dan minum, walaupun ia tahu ada seketul dua daging burung yang dibakar semalam masih dapat diratah. "Esok saja aku akan makan jika masih ada masa." (ms 73)

6. Obsesinya terhadap burung juga membuatkan Yusuf sering berkata-kata dengan haiwan tersebut, seolah orang yang kurang waras bercakap-cakap sendiri.

"Terbang-terbang lompatlah lagi, seperti semalam dan hari-hari sebelumnya!" pekiknya kuat menyerumbungkan tangan pada mulut. (ms 30)

"Kau bukalah sayapmu selebarnya, agar aku dapat lihat lebih jelas akan bidangnya dadamu!" (ms 31)

7. Yusuf telah meninggalkan kampungnya untuk masuk ke dalam hutan menjerat burung. Dan di dalam hutan itu dia telah bertemu dengan seekor burung yang tidak pernah dilihatnya sebelum daripada ini. Kecantikan, kelembutan warna ekornya yang bertukar-tukar mengikut kadar cahaya yang menyinarinya, membuatkan Yusuf bulat tekadnya untuk memiliki burung tersebut walau dengan cara apa sekali pun.

8. Novel ini juga membawakan watak Pak Syukur, seorang tua yang telah lama mengembara dan kini kembali ke kampung halamannya. Berkongsi minat yang sama dengan Yusuf, bahkan menjadi tempat rujukan Yusuf untuk bertanya mengenai burung-burung yang pernah dilihatnya sepanjang pengembaraannya itu.

9. Sepanjang bacaan saya terhadap novel ini, saya cuba mencari apakah perkara utama yang cuba disampaikan penulisnya. Seperti yang disebutkan Pak Samad tadi, seharusnya mereka (pembaca) yang harus sampai kepada saya.

10. Menerusi novel ini, sedikit sebanyak pembaca dihidangkan dengan kelakuan dan tabiat burung yang mungkin tidak pernah diketahui sebelum ini.

Mendirikan ekor dan menggerak-gerakkan kepak adalah tanda mereka hendak mengawan. (ms 22)

Dan bunyi-bunyi bersahutan adalah tanda keserasian antara mereka menjadi pasangan yang baik. (ms 22)

11. Muslim Burmat atau nama sebenarnya Awang Haji Muslim Bin Haji Burut dilahirkan di Brunei Darussalam pada tahun 1943. Telah menghasilkan lebih 15 tulisan yang berupa novel dan antologi cerpen. Pernah dianugerahi SEA Write Award di Bangkok pada tahun 1986, dan beberapa anugerah lain, dalam dan luar Brunei.

12. Pada akhirnya, kesungguhan Yusuf memburu burung yang diidamkan itu terbalas juga. Yusuf berjaya memiliki burung ajaib itu setelah bertarung nyawa tinggal di dalam hutan tersebut.

13. Yang mana kita sebagai pembaca akan merasakan bahawa sesuatu perkara yang dilakukan dengan kesungguhan, kecekalan, dan ketabahan hati akan membuahkan hasilnya yang diingini. Penulis meletakkan Yusuf sebagai contohnya. Keazamannya telah membuahkan hasil apabila dia berjaya memiliki burung ajaib itu, yang bilamana ditunjukkan kepada Pak Syukur ternyata burung itu adalah Burung Cenderawasih. Burung yang penuh mitos dan legenda mengenainya.

"Tetapi pekerjaan apa pun harus dilakukan dengan sabar dan tenang. Aku bukanlah seorang yang mudah putus asa," katanya perlahan. "Orang tidak selalu mendapat untung hasil dari semua kerjanya. Tetapi sebahagian dari pekerjaannya pasti memberinya keuntungan. Dan dari keuntungan itu sahajalah yang menjadikannya rasa bahagia selama-lamanya." (ms 106)

14. Tetapi memiliki burung itu adalah tidak mudah bagi Yusuf, dia hampir kehilangan nyawa akibat disengat kalajengking ketika berada di dalam hutan tersebut. Tetapi dengan semangat dan kesungguhan, bahkan dia sanggup mati demi menunggu burung itu tiba.

"Tetapi sekarang aku mula terseksa. Tidak mengapa. Aku akan menunggumu di sini sampai bila-bila. Sehingga kau turun. Aku menunggumu walaupun hingga aku mati di sini. Aku menunggumu sehingga kau turun." (ms 109)

14. Dan setelah usai pembacaan, bolehlah saya merumuskan begini, sifat tidak mudah putus asa itu harus diletakkan di barisan hadapan sekali dalam melakukan sesuatu perkara.

15. Mungkin ada perlambangan lain, metafora-metafora lain di sepanjang tulisan Terbang Tinggi ini yang memerlukan bacaan yang lebih rinci untuk memahaminya. Tetapi sebagai pembaca, saya merasakan makna karya Terbang Tinggi ini telah sampai kepada saya, (walau mungkin hanya sebahagian) sehingga saya menjadi benar-benar menikmatinya.

16. Mungkin ada sisi lain yang boleh diterjemah oleh pembaca yang lain pula. Selamat membaca, semoga bermanfaat.


2 comments:

NaxeruL said...

macam menarik gak buku ni. boleh try cari kt MPHOnline nanti... hehehe

melihat buku said...

InsyaAllah, semoga bermanfaat

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...