1. Setiap kali tiba waktu makan, aku menjadi teringat kepada ibu.
2. Setiap kali juga tiba waktu berlena, aku menjadi teringat kepada ibu.
3. Begitu juga setiap kali tiba waktu mandi, wajah ibu bermain di ingatan.
4. Dan setiap masa itu, aku tahu, ibu tidak pernah melupakan ingatannya kepada aku.
5. Ibu mengajar aku, di luar waktu sekolah, tentang kebersihan. Bersih luar, bersih jugalah dalam. Itu kata ibu, yang aku tak pegang, tapi aku ingat sampai entri ini terpost.
6. Meja makan itu, ibu yang bersihkan sebelum menghidang lauk dan pauk, juga sesudah selesai mengenyangkan perut, meja makan itu ibu lapkan sebersih-bersihnya, tidak meninggalkan kesan buat semut-semut halus mencari makanan, tiada rezeki mereka di situ.
7. Tilam dan bantal-bantal itu, ibulah yang rajin menukar, membasuh cadarnya sehingga bersih, sehingga aku selesa bermimpi, mimpi-mimpi kedewasaan.
8. Juga bilik mandi itu, bersih tanpa lendir hijau atau daki hitam, ibu yang membasuh dan menyentalnya.
9. Ibu memahamkan aku tentang kebersihan, tentang hakikat dan roh kebersihan.
10. Lalu aku sertai BERSIH. Kerana menurut ibu bersih itu kita, dan kita itu bersih.
11. Tetapi kini aku di sel yang kotor bersama rakan-rakan BERSIH.
12. Mengapa aku yang cuba mencontoh ibu dalam dunia kebersihannya tercampak di dalam kurungan sempit dan busuk serta sial ini?
13. Adakah aku yang bersalah, atau ibu yang salah mengajarkan?
14. Tidak, bersih ibu tidak pernah berdosa. Mungkin aku yang belum sampai kepada makrifat kebersihan.
No comments:
Post a Comment