Monday, June 28, 2010

Ip Man, Ruang Perjalanan, dan Senaman Tua


1. Saya berkesempatan untuk menonton filem Ip Man 2 baru-baru ini. Sebuah filem mengenai sejarah hidup seorang tokoh seni mempertahankan diri terkenal China, Yip Man. Beliau lahir pada 1 Oktober 1893 di daerah Foshan, China. Merupakan orang yang bertanggungjawab mengembangkan seni mempertahankan diri Wing Chun yang berasal dari negara China ke seluruh dunia. Antara anak didik beliau yang terkenal adalah Bruce Lee. Beliau meninggal dunia pada 2 Disember 1972 ketika berusia 79 tahun akibat kanser yang dideritainya sekian lama.

2. Filem Ip Man (1 dan 2) ini begitu menarik minat saya. Walaupun saya bukan di kalangan penggila filem, namun menonton filem ini, saya dapat merasakan semangat serta mesej yang cuba disampaikan oleh pengarahnya.

3. Peribadi Yip Man dalam filem ini begitu memikat para penonton. Sifat tenangnya sentiasa didahulukan walau dalam setiap situasi apa pun. Falsafah serta pegangan hidupnya mengenai seni mempertahankan diri ini juga amat baik untuk dihayati.

4. Bagi beliau, mempelajari sesuatu ilmu mempertahankan diri itu bukan sekadar untuk memiliki kekuatan dan menjadi yang terhandal di antara yang lain, namun seni itu adalah lambang kepada sesuatu bangsa dan harus menjadi kebanggaan bangsa itu sendiri. Kerana itu beliau menjadi begitu gigih mengajar dan mengembangkan seni kung fu Wing Chun ini ke serata benua untuk memperkenalkan bangsa dan budaya masyarakat China kepada dunia.

5. Saya menjadi teringat kepada seorang guru silat di Malaysia yang sangat berusaha dengan keras untuk menjadikan silat Melayu sesuatu yang dikenali ramai. Beliau yang saya maksudkan adalah Tuan Guru Azlan Ghanie.

6. Dalam dunia persilatan di negara kita, nama beliau begitu disegani. Beliau merupakan tulang belakang kepada penerbitan majalah Seni Beladiri yang diterbitkan pada setiap bulan. Majalah Seni Beladiri ini merupakan satu-satunya majalah yang berani membawa kepada khalayak ramai kisah tok guru-tok guru silat di Malaysia dan Indonesia yang mana sebelum ini majalah ini dikenali dengan nama Pendekar.

7. Satu lagi usaha Tuan Guru Azlan Ghanie untuk memartabatkan seni silat ini, beliau telah mengarang sebuah buku yang dijudulkan, Senaman Tua. Menonton filem Ip Man membuat saya teringat dan kembali menyelak rak mencari buku Senaman Tua itu.

8. Buku ini diterbitkan kali pertamanya pada tahun 2007 oleh Azlan Ghanie (M) Sdn Bhd. Seperti yang dinyatakan sendiri oleh Tuan Guru Azlan Ghanie, “buku Senaman Tua ini bagai membuka tudung yang menutup hidangan nikmat ilmu Melayu. Ia asal dari beladiri bangsa itu yang menjuruskan kepada kecergasan, kekuatan, kepantasan, dan ilmu tempur.”

9. Tidak banyak yang dapat saya perikan di sini mengenai buku ini kali ini, namun insyaAllah jika punya kesempatan di lain ketika, saya akan menulis entri melihat buku Senaman Tua.

10. Beberapa ketika dahulu, saya pernah berada bersama untuk merasai rencah dalam dunia persilatan ini. Pengalaman berada di dalam hutan, di tengah malam yang sunyi dengan ditiup halus-halus angin yang lalu, hanya dicahayakan dengan lampu kalimantang sambil berkaki ayam menggerakkan tapak mengatur bunga dan buah silat di atas tanah yang kering, yang mana akan menjadi becak serta berlumpuh dengan lekas pula ketika hujannya, merupakan pengalaman yang berharga buat saya.

11. Namun berada seketika di alam persilatan itu saya masih samar-samar melihat tujuan serta matlamatnya. Hanya sebilangan kecil daripada kami yang merasakan bahawa warisan seni mempertahankan diri bangsa Melayu ini harus dipelajari dan dikembangkan agar tidak lenyap ditelan zaman sedangkan sebahagian besarnya pula masih ragu-ragu, masih tidak jelas mengapa mereka mempelajari ilmu persilatan ini. Hanya sekadar untuk memiliki kekuatan dan kemudiannya akan merasa bangga dan besar diri dengan kehandalannya bermain silat.

12. Saya juga melihat kurangnya penyatuan di antara pertubuhan-pertubuhan silat ini. Masing-masing cuba berdiri mendabik dada melalak memberitahu bahawa persatuan silatnyalah yang paling kuat, yang paling handal dengan tok gurunyalah yang paling tinggi ilmu silatnya, yang paling mengerti makna silatnya, yang paling dalam ilmu batinnya. Setiap daripada mereka merasa bangga dengan persatuan silat yang menaunginya sambil memandang rendah pada persatuan silat yang lain. Akhirnya dengan silat, kita tidak lagi dapat bersatu, dapat bersealiran memelihara warisan ini, tapi sebaliknya menjadi bahan untuk kita berpecah saling bermusuh dan berkelahi pula dalam menentukan siapa yang paling raja di dalam gelanggang silat. 

13. Ada pula yang mempolitikkan silat ini. Mereka hanya mahukan ahli yang ramai dengan mengenakan pula yuran yang pelbagai demi mengaut untung, memenuhkan poket sendiri. Soal kefahaman dan pengertian di sebalik ilmu persilatan itu tidak lagi diutamakan dalam pembelajaran kepada penuntut-penuntut baru, apa yang penting bagi mereka, yuran di bayar setiap bulan tepat pada ketikanya.

14. Ini pastinya mendukacitakan. Terpesong jauh dari falsafah seni silat Melayu itu sendiri yang mana di dalam gerakan dan tari bunganya melambangkan tentang penyatuan yang kukuh dan hubungan yang erat sesama kita, hamba Allah Azzawajalla. Bukannya saling bermusuh memamer kehebatan masing-masing.

15. Sebenarnya perkara sebegini tidak hanya di kalangan dunia persilatan alam Melayu sahaja, namun terjebak ke sekalian banyak jenis pertubuhan seni mempertahankan diri serata dunia. Kekurangan fahaman mengenai ilmu seni mempertahankan diri yang sedang ditekuni menyebabkan ramai di antara penuntut yang menyalahgunakan ilmu yang diperolehi ke jalan yang salah.

16. Dalam filem Ip Man 2, di babak yang terakhir, Sifu Yip Man didatangi seorang anak kecil yang ingin mempelajari seni kung fu Wing Chun dengan beliau. Ketika ditanya tujuannya untuk mempelajari kung fu ini anak kecil itu menjawab bahawa dia mahu belajar kung fu supaya nanti dia boleh menjadi kuat dan membuli kanak-kanak yang lainnya. Babak diakhiri dengan Sifu Yip Man menggeleng-gelengkan kepala ketika mendengar penjelasan dan tahap kefahaman anak kecil itu mengenai seni kung fu ini. Anak kecil yang dimaksudkan itu adalah Bruce Lee yang mana menjadi anak didik Sifu Yip Man yang paling dikenali. Ini menunjukkan betapa ilmu seni mempertahankan diri itu masih belum difahami fungsinya dengan benar.

17. Kebetulan ketika menonton filem Ip Man, saya baru sahaja selesai menghabiskan bacaan pada novel Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan, Ruang Perjalanan. Suka untuk saya kaitkan novel ini dengan filem Ip Man yang baru sahaja ditontoni.

18. Ringkasnya novel ini mengenai masa hadapan, mengenai kehidupan manusia di zaman akan datang. Garapan serta setingnya begitu menarik sehingga memikat saya terus membaca tanpa mahu berhenti. Diterbitkan kali pertama pada tahun 1989.

19. Penulis menggambarkan masa hadapan, di dalam abad-abad mendatang, sebagai zaman teknologi, zaman di mana manusia akan kehilangan kemanusiaannya, zaman di mana setiap insan akan kepupusan nilai insaninya.

20. Disebalik sirnanya adab dan budaya ketimuran masyarakat Melayu ketika itu, penulis menghidupkan sebuah watak, yakni watak seorang tua dari zaman lampau yang tetap hidup demi untuk membudayakan semula manusia-manusia di abad itu.

21. Novel ini mengenai nilai kemelayuan yang makin menjauh dari diri anak-anak di masa hadapan. Di masa hadapan yang mana anak-anaknya sudah tidak mengenal dan tidak mahu mengakui adanya Tuhan lagi. Kepesatan kemajuan teknologi begitu memainkan peranan yang penting kepada gejala sebegini berlaku sehingga nantinya manusia beranggapan tiada perlu lagi kepada kuasa Tuhan kerana mereka berupaya bahkan mampu beroleh segalanya dengan teknologi di masa hadapan itu nanti.

22. Ironinya mengenai filem Ip Man dan novel Ruang Perjalanan ini adalah ketika Sifu Yip Man sedaya mungkin membawa dan memperkenal serta memperkembangkan budaya masyarakat China melalui seni kung fu Wing Chunnya, S. Othman Kelantan pula bermain kala masa hadapan dengan melihat nilai-nilai budaya ketimuran yang sudah hilang dan mengarangkan sebuah novel mengenai natijahnya apabila lupusnya budaya ini kepada generasi akan datang.

23. Seperti selalu yang saya katakan bahawa saya akan berasa terpesona dengan gaya bahasa serta penulisan sasterawan negara ke-9 ini. Begitu memikat dan begitu menarik minat terhadap apa yang sedang saya baca. Ia menampilkan ragam dan langgam yang berbeza dari sasterawan-sasterawan lainnya.

24. Penutup, pastinya saya akan mencadangkan kepada khalayak untuk menonton filem Ip Man (1 dan 2) kerana, percaya kepada saya, kalian akan merenung ke dalam diri masing-masing selepas menonton filem ini. Juga, tentunya saya akan mengesyorkan novel Ruang Perjalanan buat kalian tekuni dan hadami. Ia akan membuat kalian berfikir, dan berfikir, lagi berfikir mengenai kehidupan kalian ketika ini. Dan, saya akhirnya akan berkata, peliharalah serta hargailah sekalian apa yang kita ada sebelum kita kehilangannya.


2 comments:

Anonymous said...

Saya pun salah seorang peminat filem Yip man 1&2. Sangat teruja tahap maximum dengan aksi pertarungan yang saya tengok di pawagam. Jalan cerita pun menarik. Keluar sahaja dari pawagam, terasa satu kepuasan. Namun timbul satu persoalan...Bila agaknya pengarah Melayu nak buat cerita@filem bercorak silat(betul-betul silat Melayu sejati,bukan yang ada aksi terbang tu). Ni asyik-asyik buat cerita hantu dan segala yang klise dalam tema filem-filem Melayu kebiasaannya.

megat dewa said...

Salam.. dimana ya saya boleh dapatkan buku senaman tua ni?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...