Wednesday, January 20, 2010

Srengenge - Shahnon Ahmad




Srengenge yang berada di tangan saya ketika ini adalah dari edisi ketiga cetakan pertama tahun 2003. Novel Srengenge ini telah diulangcetak seberapa kali sebelum cetakan yang ini, yang telah sempat saya perolehi. Dan bila kembali ke toko-toko buku baru-baru ini, sudah tidak kelihatan kelibat Srengenge ini lagi. Barangkali telah sangat laku dijual sehinggakan tidak sempat untuk dicetak lagi!

Bagi saya buku-buku sebagus dan semenarik ini biarlah diperbanyakkan di toko-toko buku. Biarlah wajah-wajah seperti novel Srengenge ini yang memenuhi bahagian rak di bawah tajuk novel sastera. Janganlah dikotori bahagian sastera ini dengan lambakkan novel yang memandangnya pun amat menyakitkan!

Novel Srengenge ini merupakan salah satu novel yang terpilih buat diterbitkan semula mewakili novel-novel dari tahun 1925-1996. Novel-novel terbaik sepanjang abad 20. Ada 42 buah novel kesemuanya.

Srengenge ini diterbitkan buat kali pertamanya pada tahun 1973. Dan pada tahun yang sama novel ini telah diangkat sebagai novel terbaik sepanjang tahun 1973. Jadi ianya memang layak diulangcetakkan semula buat bacaan generasi kini.

Tapi percayalah, walau sudah diterbitkan semula, novel-novel pilihan abad 20 ini sangat sukar mahu dijumpai di kedai-kedai buku! Percayalah! Sangat sukar sekali! Sukar!
Saya telah memilih novel Srengenge ini sebagai novel pilihan saya bagi tahun 2009. (Tahun 2008 novel pilihan saya adalah novel Manikam Kalbu – Faisal Tehrani)

Srengenge menurut Shahnon Ahmad berasal dari perkataan Jawa Kuno yang bermaksud matahari. Tapi dalam novel ini Srengenge adalah nama bagi sebuah bukit di sebuah kampung. Bukit Srengenge.

Kewujudan sebenar Bukit Srengenge dalam novel ini dapat dilihat di Sik, Kedah, tempat kelahiran penulis, Shahnon Ahmad. Penduduk kampung di Sik itu memanggilnya dengan nama Bukit Enggang. Dari nama Enggang itu Shahnon Ahmad menukarkannya kepada nama Srengenge.

Novel Srengenge ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa lain, antaranya bahasa Inggeris, bahasa Rusia dan bahasa Thai.

Yang menarik tentang novel Srengenge ini tentulah pertama-tamanya adalah nama Shahnon Ahmad itu sendiri. Satu nama besar dalam dunia penulisan negara.

Sedikit mengenai Shahnon Ahmad. Lahir pada 13 Januari 1933 di Kampung Banggul Derdap, Sik, Kedah Darul Aman. Antara novel-novel tulisan beliau yang masih mendapat tempat sehingga kini adalah seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Rentong, Terdedah, Sampah, Tunggul-Tunggul Gerigis, TIVI, dan banyak lagi.

Shahnon mula berkarya pada pertengahan tahun 1950-an, namun dalam masa 10 tahun, beliau telah muncul sebagai penulis yang mempunyai bakat besar. Beliau adalah seorang penulis yang begitu sensitif terhadap peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam dan di luar masyarakat bangsanya. Beliau mempelopori sikap yang dinamakannya Malay Power apabila melihat betapa lemahnya orang Melayu bila keadaan politik, ekonomi, dan sosial menekan yang mengakibatkan tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Dan inilah salah satu sebab yang mendorong beliau meningkat daripada pemikiran membela orang yang tidak berupaya yang berhadapan dengan kekejaman dan kekuatan alam kepada pemikiran membela orang atau bangsanya apabila berhadapan dengan kekuatan manusia lainnya. (sumber : http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=719)

Srengenge membawa konflik antara manusia dengan unsur-unsur animisme. (Shahnon Ahmad Dalam Esei dan Kritikan : 114)

Kampung Kaki Srengenge, sebuah kampung di mana penduduknya rata-rata bekerja menyara hidup sebagai pesawah. Sementara menunggu masa padi untuk dituai inilah novel Srengenge ini dibentuk dan dikembangkan.

Sambil menunggu itulah penduduk kampung mengisi masa dengan aktiviti-aktiviti seperti menepuk pelanduk (ms 20), menggetah puling atau punai (ms 170), meracik tekukur, menjebak landak, di Bukit Srengenge ini.

Konfliknya timbul apabila watak utamanya, Awang Cik Teh melahirkan hasrat untuk menutuh, menebas, memugar, membersihkan Bukit Srengenge itu. Bukit Srengenge yang menjadi tempat kebanyakkan penduduknya menghabiskan masa lapang menepuk, menggetah, meracik, dan menjebak. Hasrat Awang Cik Teh itu sudah pasti mendapat tentangan yang maha besar dari sekalian warga kampung.

Sebagai seorang penulis yang hebat, Shahnon berjaya mengembangkan cerita menjadi sangat menarik dengan hanya menjadikan Bukit Srengenge itu sebagai bahannya.

Tentangan terhadap hasrat Awang Cik Teh itu berpunca dari beberapa sebab dan keadaan. Antaranya kebiasaan penduduk kampung menepuk, menggetah, meracik, dan menjebak di Bukit Srengenge itu. Kebiasaan itu telah menjadi suatu nikmat besar kepada mereka apabila tiba waktu menunggu padi untuk dikutip. Dan kerana sebab itu mereka tidak mahu sesiapa mengganggu gugat keadaan Bukit Srengenge itu.

Sebab lain kerana khalayak penduduk kampung percaya bahawa Bukit Srengenge itu ada yang menjaganya. Ada penunggunya. Ada datuk-datuk yang memeliharanya. Pantang dibuat yang tidak elok ke atas bukit itu. Nahas seluruh kampung binasa. Itu antara kepercayaan mereka.

Itu adalah situasi yang biasa tergambar kepada penduduk-penduduk kampung, lebih-lebih lagi kampung yang berada di kawasan pedalaman. Mempercayai sesuatu kuasa selain dari kuasa Tuhan tanpa menafikan kuasa Tuhan itu sendiri.

Shahnon Ahmad memperkuatkan lagi kepercayaan mereka kepada Bukit Srengenge itu apabila Imam Hamad (salah satu watak dalam novel) diserang penyakit ‘misteri’ sebaik pulang dari meracik tekukur di Bukit Srengenge dan sebaik sahaja menyatakan persetujuan dengan cadangan Awang Cik Teh, untuk memugar Bukit Srengenge itu.

Shahnon Ahmad melahirkan watak Useng dalam novel ini untuk dijadikan sebagai seorang yang ‘berkebolehan’ mengubati sakit-sakit misteri seperti yang terkena pada Imam Hamad.
Gambaran watak Useng ini sememang wujud dalam dunia realiti sebenar. Menjadikan para pembaca betul-betul dapat merasa suasana cerita yang cuba Shahnon Ahmad wujudkan.

Dari watak Useng inilah, penduduk Kampung Kaki Srengenge mendapat tahu bahawa Imam Hamad telah ‘tertegur’ oleh Bukit Srengenge. Useng sangat dipercayai oleh warga kampung. Maka bilamana katanya tertegur, maka tertegurlah punca Imam Hamad sakit itu. Tidak mungkin akan ada punca yang lain. Pasti tertegur! Dan bila kata Useng Bukit Srengenge harus dijamu, maka sekalian anak buah Kaki Srengenge harus wajib mempercayainya tanpa bantahan satu apa pun. Bukit Srengenge mesti dijamu baru Imam Hamad dapat sembuh seperti sediakala. Mesti dijamu! Tidak yang lain.

Shahnon Ahmad memulakan novel Srengenge ini dengan kata,
‘Srengenge tersergam hodoh macam setan.’ Permulaan novel ini seakan menceritakan segalanya yang tersirat. Srengenge dan setan. Bagaimana Bukit Srengenge telah dijadikan oleh setan sebagai bahan untuk menyesatkan penduduk Kampung Kaki Srengenge.

Dan sifat setan itu sendiri tidak akan pernah berputus asa dalam membawa manusia ke lembah kesesatan.

Imam Hamad ditakdirkan meninggal dunia walaupun selepas Bukit Srengenge dijamu. Tapi penduduk Kampung Kaki Srengenge tetap mempercayai kuasa datuk-datuk yang menjaga Bukit Srengenge. Tetap memuliakan Bukit Srengenge. Sehingga sesiapa yang cuba memugar Srengenge diibaratkan seperti meruntuhkan madrasah, mencabut batu nisan, mengoyakkan al-Quran (ms 222). Sampai begitu sekali kepercayaan mereka. Dan pasti Imam Hamad telah melakukan salah besar kepada Bukit Srengenge sehingga begitu sekali balasannya. Jangankan kata mahu memugar, berniat sahaja pun sudah seperti ibarat membunuh diri. Berdosa besar! (ms 223)

Membaca novel Srengenge ini memberi satu rasa kepuasan yang berganda. Lebih dari kepuasan membaca novel-novel yang lain. Kerana itu saya memilih novel Srengenge ini sebagai novel pilihan bagi tahun 2009.

Seperti yang dikhabarkan seawal entri, novel Srengenge ini walau sudah diulangcetak tapi sangat sukar untuk ditemui! Jika bertemu segeralah miliki kerana tidak rugi novel ini berada dalam rak buku anda.

Selamat membaca!

4 comments:

Unknown said...

Pnulisan shahnon ahmad mmg tbaik...tp bku2nya ssah nk jmpa...puas mncari

Anonymous said...

Saya ada satu untuk dijual, PM 0177660348.

Anonymous said...

Saya ada satu, PM 0177660348

Anonymous said...

Novel sebegini memang kegemaran saya juga. Susah nak jumpa novel dengan penulisan sebegini. Novel2 sekarang tak seindah novel sebegini. Shahnon Ahmad sememangnya seorang yg saya minati penulisannya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...