Monday, February 1, 2010

Orang Kota Bharu - S. Othman Kelantan




Orang Kota Bharu. Mudah untuk dimengerti apa kandungan cerita novel ini. Cerita orang Kota Bharu. Semuanya tentang Kota Bharu. Dari sejarah namanya, dari kedudukan geografinya, dari penduduk-penduduknya, dari politik-politiknya, semua dikisahkan di dalam novel S. Othman Kelantan ini.


S. Othman Kelantan

Nama yang diberi ketika dilahirkan Syed Othman bin Syed Omar al-Yahya. Dalam dunia penulisan nama beliau lebih dikenali sebagai S. Othman Kelantan. Lahir pada 13 November 1939 di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.
Beliau seorang yang aktif dalam menulis puisi, cerpen, novel, dan esei/kritikan. Dalam penulisan cerpen, beliau telah meletakkan nama beliau sebaris dengan nama-nama cerpenis-cerpenis terkenal negara apabila beliau menulis cerpen 'Pahlawan Lembu'. Cerpen itu sangat berjaya dan sehingga kini ia masih digemari dan diingati para penggemar cerpen tanah air.
Cerpen-cerpen beliau juga pernah dipilih sebagai cerpen terbaik bagi tahun 1972, 1973, 1975 dari panel Hadiah Karya Sastera.
Dalam penulisan novel pula, antara novel-novel terawal beliau adalah seperti 'Pelangi' 1962, 'Pengertian' 1966, 'Angin Timur Laut' 1969. Menerusi novel 'Angin Timur Laut' inilah khalayak mula memperkatakan tentang tulisan-tulisan beliau. Kebolehannya menulis mula diperhatikan setelah terbitnya novel ini.
Cerpen-cerpen dan novel-novel S. Othman Kelantan pernah diterjemah ke dalam beberapa bahasa luar. Antaranya bahasa Inggeris, Perancis, Rusia, Jepun, Thai, Vietnam, dan China.
S. Othman Kelantan merupakan penerima SEA Write Awards pada tahun 1990. Penerima anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan pada tahun 2003. Penerima Anugerah Sastera Negara juga pada tahun 2003.
S. Othman Kelantan menghembuskan nafas terakhirnya pada 11.45 malam 31 Julai 2008 di Hospital Serdang kerana masalah jantung. Dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sg Tangkas, Bangi, Selangor.


Orang Kota Bharu

Membaca novel 'Orang Kota Bharu' ini seperti terasa membaca buku-buku sejarah. Buku sejarah mengenai tempat yang diberi nama Kota Bharu. Kota Bharu duduknya dalam negeri Kelantan. Negeri kelahiran penulis, S. Othman Kelantan sendiri.
Penulis berjaya menggambarkan tentang Kota Bharu kepada warga pembaca dengan baiknya. Setiap sudut dan ruang dalam tanah Kota Bharu ini seolah-olah berada di hujung pena penulis. Begitu rinci penulis menceritakan hal Kota Bharu ini.
Novel ini merakamkan tentang kehidupan orang Kota Bharu. Ia tidak terikat dengan satu jenis cerita, tidak tersimpul pada satu-satu keluarga. Ianya tentang orang Kota Bharu. Ceritanya dari bab ke bab tiada berkaitan. Ianya terpisah. Bukan kisah sesuatu orang itu yang hendak diceritakan, tapi novel ini membawa kita masuk ke dalam masyarakat Kota Bharu itu sendiri. Seperti terasa membaca cerpen-cerpen yang disatukan di dalam sebuah novel.
Dari orang perseorangan, dari peniaga-peniaga, dari ceredung-ceredung (remaja-remaja), dari kisah politiknya, dari kisah perayaannya, dari kisah bahnya (banjir), dari kisah kemerdekaan negara, semua peristiwa-peristiwa itu diceritakan dari dalam Kota Bharu.
Kisah-kisah yang umumnya berkaitan dengan Malaysia, seperti kemerdekaan dan pilihan raya, digambarkan dengan secara khusus suasana ketika itu di Kota Bharu. Bagaimana penduduk-penduduk Kota Bharu mendepani krisis-krisis yang berlaku.


Ringkasnya

Saya merasakan novel Orang Kota Bharu ini sangat menarik. Ianya bukan sekadar novel biasa tapi lebih dari itu. Ia seperti novel sejarah yang sarat dengan ilmu dan fakta-fakta. Secara perlahan-lahan juga saya kagumi cara penulisan S. Othman Kelantan ini.

6 comments:

Shah said...

Saya sudah lama ingin mendapatkan dan membaca novel ini kerana saya sangat suka dengan suasana di negeri Kelantan.

Di manakah bisa mendapatkan novel ini sekarang?

melihat buku said...

InsyaAllah tuan boleh mendapatkannya di laman web Dawama. Saya baru menyemaknya sebentar tadi, masih berbaki stok untuk buku ini. Harap membantu.

Anonymous said...

boleh tak admin ringkaskan cerita bahagian 3 kepada saya?

melihat buku said...

Edisi buku yang berada dengan saya ini tidak dibahagikan kepada bahagian-bahagian, saya kurang pasti bahagian 3 yang mana tuan/puan maksudkan.

tiung said...

Novel ini sarat dengan elemen2 unik dan menarik di negeri Kelantan, khususnya Kota Bharu, baik dari segi politik, sosio ekonomi dan sosio budaya. Almarhum S. Othman Kelantan mampu jalinkan pelbagai watak dengan naratif yang berbeza di bawah satu tajuk. Saya sangat terkesan dengan novel ini, dan tak keterlaluan saya katakan bahawa novel ini ada ciri dokumentari. Penerangan tentang politik pasca kemerdekaan, wayang kulit, gengsterisme, institusi sekolah pondok dan ulama, dilema nelayan sungai, digambarkan secara jelas dan sukar diragui ketepatan dan kesahihannya.

Novel ini harus diangkat lebih tinggi.

Anonymous said...

Novel ini mmg terbaik

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...