Wednesday, August 24, 2011

Universiti Kedua - Kassim Ahmad

1. Bolehlah kita melihat autobiografi ini sebagai sebuah catitan penulis sepanjang pengalamannya di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama hampir 5 tahun.

2. Dari kisah penangkapannya, sehingga ke pembebasannya.

3. Ditambah dengan penulisnya seorang pemuisi yang disegani juga kontroversi, memoir ini terasa enak dihadam dengan bahasa dan persembahan yang terasa dekat.

4. Mungkin sering kita mendengar tentang kezaliman ISA ini. Ditangkap tanpa siasatan, ditahan seberapa lama, terpisah dengan keluarga. Namun tak ramai pula yang mengetahui modus operandinya bagaimana seseorang itu boleh ditahan di bawah akta ini dan bagaimana pula kehidupan mereka di kem tahanan di Kamunting, Taiping, Perak sana.

5. Melalui memoir ini, penulis, Kassim Ahmad berkongsi sedaya ingatannya kronologi bermula dari pagi dirinya didatangi anggota Polis Persekutuan sehingga Timbalan Penguasa mengkhabarkan tentang pembebasannya lima tahun kemudian.

6. Nama Kassim Ahmad sebenarnya tiadalah asing di dalam arena politik, pemikiran, juga sastera tanah air. Kontroversi-kontroversi berjalan seiring dengan namanya. Jika masih ingat, lewat tahun 50an dahulu bagaimana beliau mengemukakan hujah bahawa pahlawan sebenar adalah Jebat, bukannya Tuah. Kemudian dengan kritikan beliau terhadap penggunaan hadis, dan terlibat dengan polemik Sastera Islam pada tahun 1980an dulu.

7. Namun buku ini tidak mewakili pendapat semasa penulis mengenai ISA. Sedari awal lagi pembaca telah dinyatakan mengenai perkara ini bahawa penulis, setelah ditahan dan diasingkan serta dihalang kebebasan fizikal juga fikirannya, telah berpandangan akta ISA itu adalah wajar dipertahankan.

8. Memang sepanjang pengisahannya di dalam tahanan ISA itu penulis tidak pernah redha dengan mereka yang menahannya. Tetapi setelah beberapa ketika dibebaskan, penulis membuat kejutan dengan berpendirian bahawa akta ISA itu patut dikekalkan.

9. Mungkin ada sebuah buku lain yang lebih menyelami dasar pemikiran dan falsafah penulis dalam hal ini.

10. 'Universiti Kedua' benar-benar berfungsi sebagai universiti kepada penulis. Banyak perkara baru tentang kehidupan dipelajarinya. Lebih-lebih lagi mengenai Islam. Penulis lebih menekuni Al Quran terjemahan yang dibawa bersama, menelaah siang dan malam bila berkelapangan di dalam sel.

11. Dari situ sedikit demi sedikit penulis memperolehi pencerahan sehingga sejurus selepas itu beliau menulis pula sebuah memoir berjudul, 'Mencari Jalan Pulang - Daripada Sosialisme kepada Islam'

12. Buku ini wajar dijadikan koleksi buat penggemar tulisan Kassim Ahmad. Walaupun tidak mengandungi lambakan falsafah dan pandangan penulis di dalamnya, namun ia mewakili satu tempoh di mana penulis memperolehi pembelajaran yang paling berharga di dalam hidupnya.

13. Boleh dibeli lewat toko-toko buku popular. Kassim Ahmad boleh dijejaki tulisan terkini di dalam blog peribadinya di sini http://kassimahmad.blogspot.com/


4 comments:

RinnAzrinah said...

nampak menarik untuk dijadikan koleksi.... teringin memilikinya...

melihat buku said...

Menarik juga untuk memiliki beberapa buah buku lain tulisan Kassim Ahmad seperti Mencari Jalan Pulang - Daripada Sosialisme kepada Islam :-)

Umm Khadeejah said...

buku ni macam menarik, teringat pulak tokoh-tokoh islam yang masuk penjara dan tulis buku. Tapi toko-toko buku popular tu seperti apa? saya susah nak nampak buku ala-ala yang ada di MB ni dekat tempat-tempat mcm MPH. jual kat mana ye? online bookshop tak ada ke? kalau ada share la link. tq

melihat buku said...

InsyaAllah boleh beli di MPH atau Popular.

Secara online boleh dipesan lewat MPHonline.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...