Wednesday, July 20, 2011

Penakluk Kota Unggu - Kusyi Hirdan

1. Ini adalah sebuah kisah di masa hadapan.

2. Kisah kehidupan di bumi yang tidak lagi dihuni oleh manusia seperti kita.

3. Sebuah buku yang sarat dengan kecanggihan teknologi.

4. Novel ini dihadiahkan kepada saya oleh penulisnya sendiri, Kusyi Hirdan. Dan saya berasa pasti punya kelainan tersendiri yang ditampilkan penulisnya lewat novel ini untuk dikongsi bersama pembaca.

5. Secara ringkasnya, novel ini berkisar mengenai sebuah kerajaan di masa hadapan, ribuan tahun dari masa sekarang. Zaman pasca-apokalips, zaman Gagasan, Kota Unggu namanya.

6. Hidup secara harmoni pada mulanya, sehingga terjadi bencana empangan pecah (bencana yang telah dirancang) yang mengakibatkan banjir besar. Dari situ, satu demi satu rahsia tersingkap mengenai asal usul setiap penghuni Kota Unggu. Siapa, dari mana, keturunan, semuanya berjaya dirungkaikan oleh sekumpulan saintis kerajaan diketuai oleh Profesor Surima.

7. Sebagai pembaca, saya dapat bayangkan betapa jauh imaginasi penulisnya telah pergi dalam menghasilkan novel ini. Bermain dengan masa hadapan, dengan kecanggihan dan kompleksiti teknologi akan datang, dengan cara berfikir manusianya, kehidupannya, dan banyak lagi bayangan-bayangan masa depan yang disajikan.

"Sepanjang umurnya, ibu bapa serta nenek moyangnya, mereka tidak pernah melihat tanah kerana bentuk muka bumi itu sudah ditambak dan diselaputi gelas fiber demi mengelakkannya terus merekah dan musnah selepas pemanasan global besar-besaran pada awal zaman gagasan." (ms 102-103)

8. Secara tidak langsung, penulis juga cuba menyelitkan antara perbuatan manusia zaman sekarang (zaman tamadun baru menurut novel ini) yang telah mengakibatkan berlakunya kepupusan semua tumbuhan dan haiwan pada masa hadapan. Di mana pada zaman gagasan itu, di Kota Unggu, mereka tidak pernah melihat apa itu pokok, buah, gajah, tikus, dan sebagainya.

"Tamadun baru adalah zaman binatang masih wujud dalam dunia ini. Ia musnah perlahan-lahan kerana gangguan manusia pada habitat alam semula jadi." (ms 97)

9. Selain itu, novel ini turut menuliskan mengenai dunia politik yang kotor, yang tidak jauh bezanya dengan politik zaman kita sekarang, kronisme. Dan mungkin ada ayat-ayat sinis di sana sini berkaitan dengan kerajaan.

"Semalam terpaksa melalui bencana negara yang menakutkan dan kini, tenaganya dikerah pula oleh pemerintah. Sudah nasib, bekerja di jabatan kerajaan." (ms 25)

10. Kita juga dapat melihat bagaimana penulis mengangkat nilai ilmu itu pada tahap yang paling tinggi, tempat yang sepatutnya ia berada, di dalam novel ini. Bagaimana Surima menggunakan ilmu pengetahuannya dalam mencari kebenaran mengenai asal usul mereka, walaupun perkara itu dilarang oleh kerajaan.

11. Surima seorang wanita yang berani kerana benar, tidak gentarkan akan kerajaan yang menyekat rakyatnya dari mengetahui kebenaran itu. Surima tetap bertegas bahawa kebenaran itu perlu sampai kepada semua walau terpaksa melawan arus, berseteru dengan pemerintah sekali pun.

12. Penulis membawakan watak seorang wanita yang cekal dan berani sebagai contoh untuk pembacanya. Namun kecekalan dan keberanian itu haruslah dipadankan dengan penguasaan ilmu pengetahuan yang sahih pula. Masalah ditindas, dipergunakan seharusnya tidak akan wujud lagi sekiranya kaum wanita benar-benar dapat menguasai ilmu pengetahuan.

13. Terima kasih buat Kusyi Hirdan di atas novel ini. Walau mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan penceritaan novel ini, tetapi ia tidak mengurangkan rasa ingin tahu sehingga akhir novel. Buat pembaca, novel ini menyajikan pengalaman yang unik, yang mampu membuat pembaca melekat sehingga ke helaian terakhir.

Semoga bermanfaat.

2 comments:

Kusyi Hirdan said...

Terima kasih atas komen ini. Sebagai peminat sai-fi tegar saya berharap buku sai-fi Melayu dapat diterima oleh pembaca Malaysia sebagaimana novel barat yang dibangga-banggakan. Mungkin lambat lagi...
Terima kasih sekali lagi.

Kusyi Hirdan
www.jendelaku.com

melihat buku said...

InsyaAllah, ada pengikutnya, bertambah setiap hari dengan adanya buku-buku seperti ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...