Thursday, January 27, 2011

Mat Som - Datuk Lat (episod 1)


Jika mahu dihitung statistik rakyat Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya satu laman blog sendiri, saya tidak jumpa lagi angka yang tepat. Tapi menurut laman Internet World Stats, pengguna internet di Malaysia pada tahun 2009 berjumlah 16 juta 902 600. Dan pasti angka itu makin meningkat kini.

Bermakna rakyat Malaysia kini telah ramai yang menggunakan internet untuk mendapatkan sesuatu. Sama ada membeli barang, urusan bank, maklumat-maklumat, bersosial, bahan bacaan dan lain-lain. Tidak kurang juga di dalam angka 16 juta itu yang telah dan akan memiliki laman blog masing-masing.

Akhbar baru-baru ini melaporkan mengenai blogger untung RM1 juta hasil dari menulis blog sahaja. Pergh! Hanya menjadi seorang blogger dan anda mampu kaut untung sebegitu besar dan masuk muka hadapan dalam akhbar utama negara! Pergh sekali lagi!

Bila cerita-cerita begitu disampaikan kepada khalayak, maka makin ramai yang timbul kesedaran bagaimana betapa mudahnya untuk mendapatkan 'wang sampingan' menerusi blog. Dan banyak pulalah selepas dari ini blog-blog baru akan muncul.

Saya mahu bercerita mengenai buku Mat Som karya Datuk Lat sebenarnya. Buku kartun mengenai kisah hidup Mat Som yang berhijrah ke Kuala Lumpur. Bekerja sebagai penulis bebas. Itu yang sebetulnya mahu saya tuliskan. Mengenai penulis bebas.

Sebelum membaca buku Mat Som ini, (sebenarnya Mat Som telah lama saya baca, ini sekadar ulang-ulang baca sahaja) saya juga membaca sebuah novel tulisan A Samad Said, Hujan Pagi. Novel itu juga bercerita mengenai kisah hidup penulis@wartawan.

Apa yang sama mengenai kedua-dua buah buku ini adalah isi ceritanya. Kesusahan, kepayahan, kesulitan, dan kekurangan hidup menjadi seorang yang bergelar penulis pada zaman itu. Sama ada Hujan Pagi atau Mat Som, menjadi penulis bukanlah sesuatu yang 'lumayan' ketika itu. Berbagai halangan dan rintangan yang dihadapi oleh penulis. Maka untuk mendapat RM 1 juta dengan menjadi penulis ketika itu, tidak hanya di alam realiti, bahkan bermimpi pun tidak ada yang berani.

Tetapi kini cerita-cerita mengenai penulis blog yang mendapat bayaran wang yang lumayan setiap bulan hasil dari blog mereka makin banyak didengar. Sudah tentu wang-wang itu datangnya dari iklan yang diletakkan di dalam blog mereka. Iklan-iklan yang menjadikan sumber pendapat mereka sampai RM 1 juta itu. Dan untuk mendapatkan perhatian dari syarikat atau produk yang mahu barangan mereka diiklankan di blog kita, perkara pertama yang mesti dilakukan adalah memastikan blog kita popular dan ramai pengunjungnya. Atau dalam bahasa internet, tinggi bilangan traffiknya.

Itu bermakna, tidak kisahlah bagaimana atau apa gaya sekalipun cara kita di dalam blog itu, sama ada tulisan sahaja, atau gambar sahaja, atau campuran keduanya, yang penting, pembaca suka dan akan datang berkali-kali.

Photobucket
Betapa saya ingin nyatakan di sini bahawa zaman berubah. Cara hidup juga berubah. Kalau dulu penulis bersusah-susah mahu artikel diterbitkan, demi mencari wang menyara keluarga, tetapi kini hanya berbekalkan blog sahaja, menulis pula sesuatu yang bebas asalkan pembaca suka, sudah boleh mendapatkan wang.

Kadang-kadang blog yang tinggi bilangan traffiknya tidaklah 'ada apa sangat'. Bila kita baca-baca, mereka hanya bercerita mengenai hal peribadi yang berlaku sehari-hari. Hal anak, suami, kerja, dan lain-lain. Dengan menulis begitu pun boleh mendapat ramai peminat setia blog mereka.

Sangat berbeza dengan kerjaya sebagai seorang penulis menerusi buku Hujan Pagi dan Mat Som ini.

Tetapi sedarkah para blogger bahawa kerajaan Malaysia kini sedang bercadang untuk meminda semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Pindaan yang menurut sesetengah parti politik sebagai suatu sekatan kepada kebebasan  media. Bermakna laman-laman blog akan ada pantaun, tidak boleh lagi menulis dengan sebarang tulisan. Sekatan. Menyekat.

Tapi itu hanya pandangan sesetengah pihak. Kita kena mendengar hujah kerajaan juga. Untuk itu, semalam, menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata, klik sini. (Panjang sangat kata-katanya, tak daya nak menulisnya di blog ini)

Apa-apa pun, sekat atau tidak, bebas atau tidak, kita tidak harus menjadikan laman blog sebagai satu lapangan untuk kita bersenang-senang menulis mengikut sesuka hati sahaja. Yang dosa tetap dosa tidak kira kerajaan sekat atau tidak. Setiap penulis@blogger perlu bertanggungjawab atas apa yang mereka tuliskan.

Sebenarnya jika mengikut standard SPM mahupun PMR, entri saya kali ini sudah terpesong jauh. Sepatutnya saya menulis mengenai Mat Som, bukan pasal blogger RM 1juta, pasal sekatan-sekatan itu semua.

Tapi tidak mengapa. Oleh kerana blog saya belum disekat lagi, insyaAllah entri akan datang saya tulis mengenai melihat buku Mat Som karya Datuk Lat. Sebuah buku yang menarik pastinya!

2 comments:

Anonymous said...

maaf saya nak tanya
saya dari Indonesia
apakah buku Mat Som ini nak dijual?
karena saya sedang cari buku ni

melihat buku said...

Wslm,

1. Maaf sudara/sudari, saya tidak menjual buku ini

2. Mungkin mphonline.com bisa membantu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...