Saturday, January 29, 2011

Kemusykilan dan Motivasi Remaja plus Pluralisme

**Sebelum saya menyambung tulisan mengenai Mat Som (episod 2) dan Budak Kampung, saya ada buku yang mahu disyorkan dalam entri kali ini.**

Perkara ini sudah berlaku agak lama sebenarnya. Cuma kini saya berasa makin kerap pula. Makin sering ia diulang-ulang, dijaja-jaja. Dan seolah telah menjadi wabak yang lekas pula merebakkan virusnya.

Perkara yang saya maksudkan adalah rancangan berunsur keagamaan di kaca tv. Tak kiralah rancangan di tv percuma atau berbayar, benda yang sama juga berlaku.

Jika diperhatikan program-program yang berbentuk kerohanian di dalam negara kita kini seolah mengalami suatu macam transformasi. Perubahan yang bagi saya tak ada baiknya.

Kenapa?
Kerana kalau kita lihat sekarang, rancangan-rancangan seperti itu bagaikan ada 'tangan-tangan' yang mengawal disebaliknya. Makna, ada pihak yang tertentu yang telah menentukan apa tajuk yang boleh dibawa, apa perkara yang jangan disentuh, siapa yang digalakkan untuk dijemput, siapa pula yang telah disenarai hitamkan dari keluar tv. Semuanya telah ada disusun. Mereka yang terlibat hanya perlu ikut sahaja segala jadual dan program yang telah diatur. Seolah ada agenda yang tersembunyi.

Makna, perkara agama kini perlu mengikut jalan dan lorong yang telah ditentukan oleh pihak-pihak yang berkepentingan ini. Sekiranya terdapat hukum di dalam agama yang bercanggah dengan keselesaan mereka, perkara itu tidak boleh disampaikan lewat program-program ini kerana akan merugikan pihak mereka sendiri. Jadi hukum itu hanya ada di dalam kitab-kitab, dan dibaca hanya oleh pelajar-pelajar jurusan agama. Perkara itu tidak sampai kepada khalayak melalui saluran yang paling berkesan iaitu televisyen.

Tapi itu hanya dari penglihatan saya sahaja.

Sama juga seperti hal khutbah Jumaat. Teks-teks yang dibaca telah ditulis terlebih dahulu, khatib hanya tinggal baca sahaja. Isinya pula, alahai. Letih nak cakap. Sehingga ada seorang ustaz yang menyampaikan tazkirah sebelum khutbah Jumaat menegur perkara ini. Katanya, khutbah Jumaat sekarang telah diisi dengan perkara yang tidak sepatutnya. Contoh kalau kebetulan hari Jumaat hari itu jatuh bertepatan dengan mana-mana perayaan, sambutan Hari Wilayah katakan, maka khutbahnya pasti dan pasti, berkaitan dengan Hari Wilayah.

Seperti mana yang kita tahu, terdapat bermacam ragam manusia di kalangan kita kini. Salah satunya adalah mereka yang hanya bersolat kalau ada berkhutbah sahaja. Contohnya solat Jumaat dan dua solat hari Raya. Bermakna hanya pada ketiga hari itu sahajalah mereka datang ke masjid@surau untuk bersolat. Fardhu-fardhu yang lain tidak dibuatnya kerana tak ada khutbah.

Barangkali mereka yang di dalam kategori ini suka sekali mendengar khutbah. Sehingga hanya memilih solat yang ada khutbah sahaja baru nak datang.

Dan golongan ini sebenarnya amat ramai jumlahnya. Jadi bilamana kesanggupan mereka untuk hadir bersolat dan mendengar khutbah, haruslah pula kita menjadikan mimbar dan khutbah itu sendiri sebagai suatu medium yang paling berkesan untuk mendekatkan diri mereka dan diri kita sendiri kepada Allah azzawajalla.

Isilah khutbah dengan perkara-perkara yang menyentuh berkaitan akidah dan iman dan taqwa kepada Tuhan. Supaya jiwa-jiwa para jemaah yang mendengar dapat tersentuh dan merasa lebih mengenali dan mendekati kepada Pencipta yang selama ini dirasakan jauh. Baru timbul keinsafan dan rasa bersalah dalam diri lantaran jauh terpesong kehidupannya.

Selepas dari itu barulah dapat dilihat kelahiran model insan-insan rabbani hasil dari khutbah-khutbah yang berkesan dan menyentuh dasar hati yang paling dalam.

Berbalik kepada program tv tadi. Kalau kita tengok, sangat jarang untuk mendapati para ustaz yang muncul di kaca tv itu memakai serban, atau jubah-jubah, atau sedikit sekali ustaz-ustaz yang hadir itu menyimpan janggut seperti mana yang disunnahkan.

Walaupun perkara ini hanya dari luaran, tetapi dari segi imej dan penampilan yang mahu kita fahamkan kepada anak-anak kecil yang menonton, bahawa begitulah sunnahnya orang Islam berpakaian, perkara ini sangat penting. Jika tidak kita yang menghidupkan, siapa lagi.

Dan sekarang kesannya telah pun kita lihat. Anak-anak kecil ada yang berasa takut jika berjumpa dengan pakcik-pakcik yang berjubah putih, berlilit serban di kepala, berjanggut lebat, dan memakai celak. Penampilan seperti ini, kerana kita tidak menjaganya sebagai imej kita, maka media barat telah mengambil kesempatan dengan melabelkannya sebagai pengganas. Teroris.

Berbalik kepada tadi, bagai ada 'tangan-tangan' yang melarang ustaz-ustaz yang berserban dan berkopiah putih ini keluar tv. Mungkin sebab penampilan seperti ini melambangkan orang-orang dari sesuatu parti politik.(PAS?) Jadi mereka tidak dibenarkan keluar tv yang dijaga sepenuhnya oleh pihak pemerintah.

Satu lagi 'transformasi' yang dapat kita lihat adalah para tetamu yang diundang dalam rancangan keagamaan tersebut. Orang yang selayaknya bercakap tentang agama tidak dipanggil. Maka jadilah program-program itu seperti program soal-jawab lainnya. Ada pula tu, diselitkan dengan nyanyian untuk hiburan sementara para 'ustaz' berehat minum.

Tetamu wanita yang dijemput pula, kadang-kadang tidak menutup aurat dengan sempurna. Bayangkan program agama, panggil pula tetamu wanita yang hanya 'bertudung separuh'. Bayangkan la.

Apa pula natijahnya kepada anak-anak kita, para remaja-remaji, muda-mudi yang menontonnya (jika ada yang menonton) Mereka akan berfikir berpakaian seperti itu, yakni tudung tutup separuh-separuh, atau tudung pakat lilit-lilit di leher membiarkan dada terbuka, adalah dibenarkan agama kerana tetamu-tetamu itu hadir dalam rancangan agama.

Mungkin jarang untuk anak-anak muda menonton rancangan berbentuk keagamaan seperti itu, kebanyakannya pakcik-pakcik dan makcik-makcik sahaja yang setia menunggunya. Dan pakcik-pakcik yang selama ini mengaji di pondok bahawa tudung wanita itu harus dilabuhkan menutup dada, tiba-tiba dalam program agama keluar pula ustazah bersama dengan tetamu yang langsung tak pakai tudung, sekadar berselendang sahaja. Runsing jadinya fikiran pakcik itu.

Ya, semuanya hanya dari luaran semata. Apa ada dengan luaran. Yang maha penting adalah isi rancangan tersebut. Ilmu dari tetamu yang diundang itu yang harus diambil dan dimanfaatkan. Tidak kira dia tutup atau buka auratnya, tidak kisah dia tampil dalam program agama atau hiburan, asalkan ilmunya sampai kepada khalayak. Baiknya kita ambil, buruknya kita jauhkan.

Fahaman dan fikiran sebegini telah lama wujud sebenarnya.

Melihat akan semua ini membuat saya teringat akan sebuah filem Hindustan. Tajuknya My Name Is Khan. Lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol. Diarahkan oleh Karan Johar. Sebuah filem yang pada keseluruhannya mendasar kepada fahaman bahawa semua agama adalah sama. Hanya yang ada baik dan jahat sahaja. Tidak kira Islam, Kristian, Yahudi, Budhha, semuanya adalah baik jika penganutnya berkelakuan baik dalam bermasyarakat. Dan semuanya jahat jika mereka melakukan kebatilan.

Pluralisme. Bila menyebut tentang pluralisme ini terbayang pula novel Tuhan Manusia tulisan saudara Faisal Tehrani.

Adakah sebenarnya program-program keagamaan kita sekarang ini sedang menuju ke arah sana? Semoganya tidak. Baca tulisan Dr Danial mengenai pluralisme dan pendirian Islam. Sini.

Buku yang mahu saya syorkan diawal tadi adalah buku Motivasi Nilai Muda-Mudi Islam Kini dan Kemusykilan Remaja 300 Soal Jawab.

Kedua-dua buah buku ini bukanlah terbitan terbaru, sudah bertahun berada di pasaran. Tapi bagi saya buku-buku ini sangat sesuai dijadikan bahan bacaan untuk remaja kerana isinya yang mudah difahami dan motivasi yang diberi begitu mengesankan.

Pelbagai tajuk menyentuh perihal-perihal remaja zaman kini dimuatkan dalam kedua buah buku ini. Buku Kemusykilan Remaja ini mengandungi 300 soalan yang ditanya sendiri oleh para remaja dan dijawab oleh Ustaz Maszlee Malik.

Sementara buku Motivasi Nilai Muda-Mudi Islam Kini adalah tulisan Tuan Abdullah Al-Qari Bin Haji Salleh (A.Q.H.A.S). Buku ini diterbitkan dengan gaya bahasa yang mudah difahami oleh para remaja berkaitan soal akidah, ibadah, muamalat, dan lain-lainnya.

Zaman ini mencari ilmu tidak boleh bersandarkan kepada seseorang atau satu saluran sahaja. Perlu berusaha lebih untuk memahami sesuatu perkara, lebih-lebih lagi berkaitan dengan hal agama. Telah terbit banyak buku-buku agama di pasaran kini yang golongan sasarnya adalah para remaja. Boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai buku.

Saidina Ali Karamallahuwajhah pernah berkata, "Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...