Tuesday, June 1, 2010

Abdullah Hussain



Sebelum saya mula membaca tulisan daripada Sasterawan-sasterawan Negara yang lainnya seperti SN Dato' Shahnon Ahmad (1982), SN Dato' Dr Usman Awang (1983), SN Dato' A Samad Said (1986), (sekadar menyebut beberapa nama) lama sebelum itu saya telah menekuni karya-karya dari seorang lagi tokoh Sasterawan Negara, Dato' Abdullah Hussain (1996).

Bermula dengan novel Konserto Terakhir, yang merupakan teks wajib bagi pelajar-pelajar SPM, saya langsung terpikat dan terpesona membaca tulisan Abdullah Hussain ini.

Selepas dari itu saya mula mengumpul sebuah demi sebuah buku hasil buah tangan beliau. Dan seperti lazimnya, tidak sering untuk kita ketemu buku-buku dari tulisan Sasterawan Negara ini. Bukan sahaja karya Abdullah Hussain, bahkan sasterawan seperti Keris Mas, Arena Wati, Muhammad Hj Salleh, S. Othman Kelantan, serta yang lain-lainnya juga amat rumit untuk ditemukan karya mereka di toko-toko buku. Bahkan ada juga tulisan daripada Sasterawan Negara ini yang telah diharamkan buku mereka dari diterbitkan.

Antara lain karya-karya Abdullah Hussain yang sempat saya miliki selama beberapa tahun mencari ini adalah seperti,

Konserto Terakhir - Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (2001)

Imam - Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (2000)

Dan Malam Apabila Ia Berlalu - Dewan Bahasa dan Pustaka (2006)

Noni - Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (1997)

Interlok - Dewan Bahasa dan Pustaka (1996)

Perjalanan Mencari Diri - Dewan Bahasa dan Pustaka (2004)

Pertemuan Abadi Koleksi Terpilih Abdullah Hussain - Dewan Bahasa dan Pustaka (2005)

Tidak banyak yang saya perolehi namun ia telah menjadi antara koleksi berharga saya.


Di sini mulanya

Beliau dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman. Menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Limau sehingga lulus darjah 5 dalam tahun 1931.

Beliau meneruskan pengajian di Sekolah St. Michael, Alor Setar sehingga tamat pada tahun 1935.

Pernah bekerja sebagai penolong penjaga stor di Pahang dalam tahun 1939 setelah permohonannya untuk menjadi guru pelatih ditolak.

Beliau kemudiannya berpindah ke Pulau Pinang dan telah diterima untuk berkhidmat di dalam sebuah syarikat penerbitan surat khabar, Sahabat. Di sinilah beliau mula mengasah bakat beliau dalam penulisan ketika baru berusia 20 tahun.

Abdullah Hussain juga merupakan salah seorang pengasas bagi ASAS 50. Karya pertama beliau telah disiarkan di dalam majalah Tanah Melayu yang merupakan sebuah cerita lucu pada tahun 1939.

Sememangnya Abdullah Hussain merupakan seorang seniman yang sangat disegani. Berkebolehan menulis dalam pelbagai genre sastera seperti cerpen, novel, puisi, drama, esei, autobiografi, biografi, skrip filem, tulisan umum, dan terjemahan.

Antara beberapa karya besar dari luar yang sempat beliau terjemahkan ke dalam bahasa Melayu adalah seperti, Orang Tua Dengan Laut karya Ernest Hemingway (1961), Mutiara karya John Steinbeck (1962), Angin Timur Angin Barat karya Pearl S. Buck (1964), Lorong Midaq karya Naquib Mahfouz (1986).

Dalam penulisan novel pula, beliau telah mengarang lebih daripada 27 buah novel. Dan antara novel beliau yang masih disebut sehingga ke hari ini adalah seperti, Terjebak (1964), Interlok (1971), Masuk ke Dalam Cahaya (1983), Imam (1995), dan beberapa lagi.

Gaya penulisan beliau ini sebenarnya pada peringkat awal penglibatannya dilihat banyak terpengaruh dan dibayangi oleh penulis-penulis dari Indonesia dan Russia.

Mungkin ramai di antara kita yang mengenal tokoh besar dunia sastera ini melalui nama Abdullah Hussain-nya sahaja. Namun sebelum dari ini, beliau mempunyai nama pena yang pelbagai. Antaranya, A.A., Adiwijaya, A.H., Andi Jaya, Asly, Bintang Kecil, Iskandar Muda, Roslany Ashikin, Suryakanta, dan A. Zamroed.

Beliau telah dianugerahkan S.E.A Write Award pada tahun 1981 oleh kerajaan negara Thailand. Juga beliau telah dianugerahkan Anugerah Sasterawan Negara pada 5 April 1996 yang menjadikan beliau sasterawan negara yang kelapan selepas Dato' Noordin Hasan.

Dato' Abdullah Hussain yang sangat versatil dalam tulisan beliau boleh dianggap sebagai P. Ramlee dalam dunia sastera, menurut Dr. Talib Samad. Sumbangan beliau sangat besar dengan tulisan-tulisan beliau yang produktif serta signifikan yang menyumbang kepada dunia kesusasteraan negara.

Saya secara peribadi amat mengagumi beliau. Dan memiliki buku-buku tulisan beliau merupakan sesuatu yang bernilai buat saya. Mungkin agak sukar untuk menemukan karya-karya beliau di luar sana, namun sebagai generasi muda, Abdullah Hussain sangat dekat dengan saya menerusi setiap bukunya yang saya baca.

Diharap pihak-pihak yang berwajib, tidak melupakan kami, generasi-generasi muda, yang dahagakan bacaan dari tulisan Abdullah Hussain ini. Semoga karya Abdullah Hussain tidak terus sepi dan sukar ditemui selepas dari ini.

InsyaAllah jika diberi kelapangan waktu, saya ingin sekali menulis di sini mengenai Abdullah Hussain ini ketika beliau di Brunei, ketika beliau menderita penyakit gout, mengenai beliau dan sahabat baiknya, Arena Wati, mengenai beliau dengan kucingnya, angsanya, ikannya, tentang novel Imamnya yang pernah beliau wasiatkan kepada anak-anaknya sebagai tulisannya yang terakhir, tentang kembaranya di Yunan, di Sri Lanka, tentang beliau dan pencalonannya untuk Anugerah Sasterawan Negara, tentang, tentang, tentang...

Semoga dimudahkan.


5 comments:

Pelangi Petang said...

Assalammualaikum...
Ada buku Masuk Dalam Cahaya x?
Saya teringin memiliki buku tersebut...

Nurhaziq Abdul Hafiz said...

Mana nak dapatkan buku dia ye? Susah betul nak cari.

Qurratu'Aini said...

Boleh tolong jawab survei berkaitan dengan novel interlok?http://questionpro.com/t/ALH6vZRn4a

anep said...

Assalam.
Saya mencari novel Dan Malam Pabila ia Berlalu. Nak jual x? Sebab dh hampir 6 tahun saya mencarinya.
Sila hubungi saya /whatsapp di 0176314249

Anonymous said...

Assalammualaikum, saya telah kehilangan novel isabella islam disepanyol terjemahan abdullah hussain yg diterbitkan oleh marwilis. Boleh bantu saya bagaimana untuk mendapatkan novel tersebut? Pls reply 0182200793

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...