Wednesday, August 19, 2009

Kasih Nan Agung - Sri Rahayu Mohd Yusop


  • Judul : Kasih Nan Agung (Tempat Pertama HSKU 2008)
  • Penulis : Sri Rahayu Mohd Yusop
  • Terbitan : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
  • Harga : RM 19.00

Novel ini memenangi tempat pertama kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008.

Ini bukan kali pertama penulis novel ini meraih tempat dalam HSKU ini.

Di lihat-lihat balik, pada tahun 2007 dan 2006 penulisnya, Sri Rahayu Mohd Yusop juga telah mendapat tempat pertama dalam kategori remaja ini.

Bermakna ini adalah tahun ketiga kemenangan berturut-turut beliau.

Tahniah dan syabas diucapkan.

Namun bukan setakat itu sahaja yang pernah diraih oleh penulis.

Sebelum ini pada tahun 2000 penulis juga telah memenangi tempat pertama HSKU menerusi novelnya, 'Bukan Legasi Lalang'.

Kemudian pada tahun 2002, beliau meraih tempat ketiga kategori yang sama dengan novelnya yang berjudul 'Merdekakan Cinta Ratna'.

Jadi Sri Rahayu bukanlah muka baru dalam HSKU ini. Namanya juga telah dikenali ramai.

Melihat kepada muka depan novel ini, dengan seorang pemuda berdiri seorang diri berlatarkan hutan dan anak sungai, tidak dapat untuk mb kaitkan antara kulitnya dan kandungan di dalamnya.

Setelah selesai membacanya baru mb mengerti apa yang cuba disampaikan dari kulitnya.

Pemuda yang menggalas beg merah itu boleh diberikan kepada Jaka Sulaiman, watak utama dalam novel ini. Berada di dalam hutan demi mencari kebenaran yang nyatanya telah benar, tapi untuk dibuktikan kepada mereka yang bermahzab Charles Darwin ini.

Bahawa sesungguhnya manusia ini adalah hamba-hamba terpilih yang tarafnya bukan sekata dengan haiwan-haiwan di hutan.

Kerana mengikut pendukung evolusi Charles Darwin ini, manusia ini asalnya daripada haiwan. Atau lebih tepat datuk nenek moyang manusia adalah beruk!

Itu yang mereka juangkan. Dan itu yang cuba Jaka Sulaiman buktikan bahawa mereka silap dan sesat.

Judulnya 'Kasih Nan Agung' bolehlah disimpulkan setelah membaca novel ini, bahawa kasih yang dimaksudkan dengan agung itu adalah kasih ALLAH swt kepada hamba-hamba-NYA yang menuruti dan sentiasa mencari redha-NYA.

Kasih-NYA Yang Maha Agung itu telah menjadikan setiap manusia itu sebagai makhluk pilihan yang telah diciptakan-NYA dengan sebaik-baik kejadian.

Bukan diletakkan sama kedudukannya dengan haiwan di hutan. Kerana manusia itu dikurniakan akal fikiran yang mampu untuk membezakan baik buruknya sesuatu perkara.

Novel ini sarat dengan bahan-bahan ilmiah di dalamnya. Serasa begitu banyak sehingga terdapat istilah-istilah yang digunakan tidak dapat difahami dengan mudah. Melainkan perlu dibaca dengan tumpuan yang penuh.

Bagi mb secara peribadi, mb telah membaca mengenai teori Darwin dan para pendukungnya di banyak tempat. Pernah membaca tulisan-tulisan di buku, menonton VCD-VCD di TV, mendengar ceramah-ceramah dari pensyarah, mungkin sebab itu mb sedikit 'layu' bila mengetahui (setelah membaca beberapa bab) bahawa novel ini tentang 'Charles Darwin'.

Bukan tak bagus, bukan juga bahan yang sudah basi, namun ini hanya pandangan peribadi mb.

Kerana mb sudah mengetahui bicara tentang Darwin dari banyak arah, dan juga pembicaraan tentang Darwin yang mb baca sebelum ini begitu mudah difahami.

Tidak bermaksud novel ini payah untuk dihadamkan. Tapi begitulah, mb merasa banyak perkataan-perkataan, istilah-istilah yang tak pernah di dengar dan kurang difahami.

Namun bukan hanya bukti kebodohsombongan Charles Darwin yang cuba disampaikan melalui novel ini. Novel ini adalah pemenang kategori remaja. Banyak sifat-sifat dan contoh-contoh positif dari watak remaja yang digambarkan antara lain Jaka Sulaiman.

Pemuda tegas, berani, berpendirian yang lantang bangkit melawan jika agamanya dimain-mainkan.

Novel ini berharga hanya RM 19.00 sahaja. Boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Atau di kedai-kedai buku online.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...