Tuesday, June 3, 2008

Bercerita kisah mula-mula mengenal buku atau pun lebih tepat lagi mengenal novel, bermula masa zaman sekolah lagi. Tapi semasa itu mengenal buku/novel tidak seperti sekarang.



Novel pertama yang betul-betul mb baca sehingga habis dan membaca dalam keadaan yang tidak terpaksa (ada juga novel yang terpaksa di baca sehingga habis sebelum itu) adalah novel Fauziah Ashari bertajuk Ombak Rindu. Novel terbitan Alaf 21 ini mb mula-mula kenal dari seorang teman yang asyik dengan novel itu. Niat asalnya saja-saja mahu mengusik tapi kemudian terus meminjam Ombak Rindu dari teman dan membacanya sehingga selesai.

Ceritanya pada masa mb membacanya itu sangat menarik. Kerana itu kali pertama membaca novel dengan hati yang rela dan redha. Tapi tidaklah sampai menangis membacanya. Seperti kata teman mb cerita ini sedih sampai boleh menitik air mata saat membacanya. Tapi mb tidaklah se 'touching' itu.

Dan selepas daripada itu mb mula ke kedai-kedai buku mencari novel-novel. Kalau dulu ke kedai buku hanya tengok pada kulit depan dan tajuk buku sahaja. Tapi kini bila dah lama-lama dan bila dah kenal penulis-penulis novel, hanya membeli kepada penulis yang biasa sahaja. Dah tak pandang lagi tajuk ke kulit depan ke. Nampak je nama dia terus beli.

Tapi ada juga sekali-sekala membeli novel-novel yang dirasakan bermutu. Novel-novel bestseller contohnya.

Selepas Ombak Rindu, mb baca Imam karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Terus terang semasa membeli novel ini yang mb tertarik adalah muka depan dia. Latar hitam dengan untaian tasbih berwarna keemasan. Itu sahaja sudah menarik hati mb sebagai pembaca baru untuk membelinya.

Membacanya pada kali pertama memang sedikit keliru dengan watak-wataknya dan jalan ceritanya. Maklumlah sahaja kali pertama. Tapi selepas dua tiga kali di ulang baca ternyata Abdullah Hussain penulis yang sangat baik. Menyusun plot-plot cerita dengan begitu teratur dengan kata-kata indah.

Begitulah perkenalan mb dengan SN Abdullah Hussain. Sejak dari itu mana-mana novel tulisan Abdullah Hussain pasti mb akan berusaha bersungguh membelinya.

Lagi antara novelis yang mb kenal awal-awal dulu ialah Faisal Tehrani. Menerusi novelnya 1511H Kombat. Kebetulan terbaca dalam surat khabar tempatan tentang pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tahun 2003. Dan pemenang pertamanya kategori novel remaja itulah Faisal Tehrani.



Melihat tajuk sahaja sudah faham kita ini novel tentang peperangan. Novel perang pada masa hadapan. Tidak hairan ia memenangi hadiah pertama. Ceritanya sangat menarik lagi mengujakan. Juga menaikkan semangat jihad yang membaca. Lagi-lagi watak dalam novel ini kebanyakkannya muda belia lagi. Terasa dekat dengan mb masa membacanya.

Latarnya 1511 hijrah. Tahun 2087 Masihi. Gambaran masa hadapan. Dihidangkan perang jenis teknologi. Cyborg, cypher, sarcos, Ababil, Mikraj, hidrogen sianida, dan segala macam teknologi.

Menulis novel ini memerlukan imaginasi yang sangat-sangat tinggi. Dan Faisal Tehrani memilik itu. Gaya bahasa yang digunakan Faisal Tehrani begitu cepat menambat mb untuk membaca lagi dan lagi. Dengan harga RM 24 ianya begitu berbaloi.

Itulah sedikit sebanyak cerita tentang hari-hari awal mb mengenal dan melihat buku. Novel-novel awal itu masih tersimpan dan terjaga dengan elok dalam rak buku mb. Bagi mb ianya adalah harga berharga buat mb. Banyak kenangan saat-saat membacanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...