Tuesday, August 24, 2010

Indonesia o Indonesia...

1.     Tidak tahu apa virus dan bakteria atau mungkin sahaja racun yang telah disebarkan pihak-pihak berkepentingan ini sehingga kita, wahai Indonesia, menjadi kacau sebegini. 

2.     Tentunya ada seseorang atau sekelompok manusia yang berasa hasad terhadap harmonis yang terjalin antara dua negara sebangsa seagama ini sehingga sanggup menciptakan segala permasalahan yang wujud kini antara dua negara ini. 

3.     Kejadian demi kejadian bersangkut sangkut terbawa-bawa sehingga yang terbaru ada yang sanggup melempar najis ke arah kedutaan jiran. Pastinya pihak tertentu itu bergembira dengan perkara ini yang bakal menyemarakkan api antara dua negara serumpun ini. 

4.     Bagi rakyat Malaysia yang menggunakan emosi tentu kejadian melempar najis ini sesuatu yang tidak dapat diterima akal. Ini boleh menciptakan amarah yang tidak sedikit lalu berlaku sengketa sehingga bakalan berdendam dendam antara dua negara. Namun tentunya kita tidak mahu perkara perkara yang sebegitu berlaku. Ini tentu merugikan. Kita bermusuh kerana sesuatu yang tidak jelas duduknya, sesuatu yang sekadar disensasikan pihak media yang mencuba mengada ngadakan berita berita yang panas sehingga pembaca tertarik untuk membeli ataupun menonton saluran mereka. Semua ini dilakukan demi keuntungan yang sedikit untuk poket sendiri tapi bakal memusnahkan ikatan adik abang dua buah negara.


5.     Perkara ini bertambah serius apabila ada pula yang ingin mengambil tindakan sendiri dengan mengharamkan rakyat Malaysia untuk ke Indonesia bahkan sesiapa rakyat Malaysia yang dijumpai di sekitar Indonesia akan diusir dengan terhinanya. Sesuatu yang perlu diambil tindakan segera oleh kedua dua pemerintah negara. 

6.     Sebagai seorang pembaca, banyak antara koleksi buku saya berasal dari Indonesia. Dan tidak hanya saya, namun ramai lagi pembaca Malaysia di luar sana yang meminati tulisan tulisan dari penulis negara jiran, Indonesia ini. Antara nama penulis dan novelis Indonesia yang saya punya adalah seperti Buya Hamka, Putu Wijaya, Andrea Hirata, Pramoedya Ananta, Habiburrahman, Taufiqurrahman, Vanny Chrisma, dan bahkan penulis Abdoel Moeis juga terdapat bukunya di dalam koleksi saya. 

7.     Beliau yang merupakan seorang sasterawan juga wartawan Indonesia yang disegani, sehingga nama beliau telah diabadikan pada hampir setiap jalan di kota Indonesia. Jalan Abdul Muis. Beliau merupakan seorang penulis yang telah lama saya mencari tulisannya sehinggalah terjumpa dengan novelnya yang pertama, Salah Asuhan, 1928 yang mana novel ini telah difilemkan dengan judul, Asrul Sani, 1972. 

8.     Secara peribadi saya amat meminati tulisan tulisan dari penulis Indonesia ini tanpa mengurangi kekaguman saya pada penulis-penulis  Malaysia juga. Adalah sesuatu yang malang serta rugi bahkan jijik untuk difikirkan jika suatu masa nanti kami, pembaca dari Malaysia tidak dibenarkan membaca buku buku dari Indonesia lantaran salah faham yang terjadi kini. Begitu juga sebaliknya jika pembaca-pembaca Indonesia tidak dibolehkan membaca tulisan-tulisan kami kerana angkara yang dicipta-ciptakan ini.

9.     Berdoa sempena bulan Ramadhan yang berkah ini, kita, rakyat Malaysia dan Indonesia, kembali berbaik dan saling mengamankan. Amin.





Tuesday, August 17, 2010

Melihat Buku

1. Pabila saya meletak nama melihat buku sebagai nama bagi blog ini, saya benar-benar memaksudkan perbuatan melihat itu sebenar-benarnya. Selain daripada membeli dan menyusun buku-buku yang dibeli ke dalam rak, antara perbuatan saya terhadap buku yang gemar saya lakukan adalah melihat-melihat mereka.

2. Melihat buku merupakan suatu aktiviti dan perkara yang menyenangkan bagi saya. Melihat buku tidak hanya melihat kulit-kulitnya sahaja, namun saya juga akan melihat sekalian banyak kenangan dan peristiwa dan suasana yang terikat dengan sesebuah buku tersebut.

3. Saya mempunyai beberapa buah buku di dalam rak yang jika melihatnya sahaja saya akan lekas terimbas pada bulan Ramadhan yang lepas, tahun 2009. Antara buku-buku tersebut adalah Gedung Kartun Vol : 1. Untuk pengetahuan, GK yang pertama sekali diterbitkan adalah pada tahun lepas ketika bulan puasa sebelum pejabat mereka diserbu dan dirampas majalah-majalah mereka oleh KDN. Cukup sensasi majalah ini ketika itu lebih-lebih lagi setelah KDN di bawah Hishammuddin ‘mempromosikannya’.

4. Saya masih ingat ketika bulan puasa tahun lepas, saya ke pejabat GK untuk membeli majalah tersebut di Brickfield. Masih ingat ketika petang bulan puasa itu dengan menaiki motorsikal melalui jalan Bangsar yang sesak dengan mereka yang berpusu-pusu untuk pulang ke rumah berbuka. Saya masih ingat semua itu satu-satu, jelas-jelas apabila melihat majalah Gedung Kartun Vol : 1 ini. Bahkan saya juga masih dapat melihat saudara Jonos, kartunis GK, yang menyambut kedatangan kami pada petang Jumaat yang mendung itu dengan pakaian kurta hitamnya sambil tersenyum menjemput kami masuk ke dalam pejabat GK. Semua itu dapat saya bayangkan kembali apabila melakukan perbuatan melihat itu ke atas majalah Gedung Kartun ini.

5. Sebuah lagi buku yang apabila melihatnya saya akan terbayang kenangan ketika membacanya. Buku ‘Baromkeh matamu di mataku’ hasil tulisan Ummu Hani Abu Hassan. Saya menamatkan bacaan pada buku ini beberapa tahun yang lepas ketika sedang bercuti di Johor Bahru.

6. Masih jelas ketika membaca buku ini saya sedang bersantai-santai di bilik hotel sambil menghadap negara Singapura di seberang sana. Novel ini memenangi tempat ketiga pertandingan novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tahun 2007.

7. Melihat kembali novel ini di rak, membuat saya teringat akan negeri Johor dan kenangan-kenangan ketika berada di sana.

8. Menjadi tabiat saya apabila ke mana-mana akan membawa paling tidak sebuah buku untuk di baca. Ini bermakna setiap buku saya mewakili tempat-tempat yang pernah saya singgah sebelum ini. Seperti buku ‘165 Kebiasaan Nabi saw’ ini. Saya membaca buku ini ketika berada di dalam kereta api menuju ke negara Thailand. Perjalanan yang jauh membuatkan saya mempunyai masa yang banyak untuk membaca buku ini.

9. Buku karangan Ust Abduh Zulfidar Akaha ini sebenarnya merupakan terbitan dari Indonesia dan telah menjadi antara buku terlaris di sana. Buku ini membicarakan 165 dari kebiasaan Rasulullah saw semasa hayatnya mencakupi masalah ibadah, syariat, juga berkaitan dengan masalah-masalah yang bersifat manusiawi. Buku ini sangat bermanfaat untuk dijadikan rujukan sepanjang masa.

10. Berketepatan dengan bulan puasa kini, saya ingin memetik satu daripada kebiasaan Baginda saw yang terdapat di dalam buku ini. Pada kebiasaan yang ke 76, di muka surat 223 dituliskan mengenai solat malam.
“Dan dari Aisyah ra, ia berkata, ‘Rasulullah saw bersungguh-sungguh di bulan Ramadhan tidak seperti kesungguhan beliau di bulan-bulan yang lain.’ (Muslim)
Menjelma sahaja bulan Ramadhan Baginda Nabi saw akan memperbanyakkan ibadah dan amalan pada sebelah malamnya seperti solat tahajjud atau yang kemudiannya dikenal dengan istilah solat tarawih. Perkara untuk miningkatkan amalan di bulan Ramadhan ini telah disebut sekalian banyaknya oleh Baginda saw berserta dengan ganjaran-ganjarannya pula.
Rasulullah saw bersabda, maksudnya,
“Barangsiapa yang mendirikan solat di bukan Ramadhan kerana iman dan mengharap ridha-Nya, maka diampuni dosa-dosanya yang lalu.” (Muttafaq Alaih)

11. Kepada semua, selamat melakukan ibadah-ibadah dengan banyak dan dengan berkualitinya sepanjang bulan Ramadhan ini. Sama-sama merebut kesempatan yang ada sementara masih berkesempatan.

**Kebelakangan ini rak buku saya menjadi meriah dengan kehadiran buku-buku dari penulis-penulis besar seperti Abdullah Hussain, S. Othman Kelantan, A. Samad Said, Abdoel Moeis, Muslim Burmat, dan beberapa yang lain. Saya masih tidak berkesempatan untuk berkongsi buku-buku tersebut di sini. InsyaAllah saya cuba melihat-lihat masa yang terluang untuk menuliskan entri mengenai buku-buku baru tersebut.





Monday, August 9, 2010

Ramadhan 2010

1. Tinggal tidak berapa hari sahaja lagi kita umat Islam di dunia akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Bulan yang di tunggu-tunggu kehadirannya oleh kita semua. Bulan yang mana di dalamnya penuh dengan keberkahan. Bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Bulan yang kita akan berpuasa siangnya, dan beribadah pada malamnya. Bulan yang tidak putus-putus keampunan daripada Tuhan Rabbul Jalil. 

2. Melangkah masuk ke dalam bulan Ramadhan ini, seperti yang dilontarkan oleh seorang ustaz, biarlah dengan langkahan orang yang mempunyai ilmu di dadanya. Mempunyai ilmu tentang Ramadhan, tentang puasa, tentang bersahur, tentang berbuka, tentang tarawih, tentang tadarus, tentang qiamullail, tentang, tentang, tentang, tentang, ilmu, ilmu, ilmu, ilmu. Biarlah sebagai seorang hamba yang mengerti tentang apa yang sedang dilakukannya buat dipersembahkan kepada Tuhan Azzawajalla. 

3. Kini banyak cara yang boleh dilakukan untuk mendapatkan ilmu. Salah satunya adalah dengan buku. Saya kembali melihat-lihat rak buku, dari satu buku ke satu buku yang mempunyai kaitan dengan bulan Ramadhan, bulan puasa. Dan kebanyakan buku yang berada di dalam rak saya adalah mengenai soal jawab dan fatwa-fatwa dari mereka yang arif. 

4. Perlahan-lahan akan melakukan ulangkaji sendiri, mengingat kembali perkara-perkara berkaitan puasa yang mungkin telah terlupakan. 

5. Mengucapkan, selamat menyambut bulan Ramadhan, selamat berpuasa, selamat beribadah, selamat meraih cinta Ilahi.

Monday, July 26, 2010

Sutan Baginda - SN Dato' Shahnon Ahmad



1. Sutan Baginda merupakan sebuah novel lama daripada pengarang tersohor negara, Shahnon Ahmad. Diterbitkan kali pertama pada 1989 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Rasa bertuah tidak dapat disembunyikan ketika kali pertama memegang nashkah buku ini di tangan. Menambahkan lagi koleksi buku Pak Shahnon di dalam rak.

2. Secara sinopsisnya, novel ini berkisah tentang seorang ahli politik yang diberi nama Sutan Baginda. Watak Sutan Baginda@Su@Utan digambarkan sebagai seorang politikus yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-citanya memegang tampuk pemerintahan negara. Segalanya sanggup beliau lakukan termasuk menggadaikan maruah diri serta maruah isteri-isteri beliau juga.

3. Menurut apa yang diperkatakan oleh Zulkefle Dollah di dalam buku ‘Shahnon Ahmad dalam esei dan kritikan’ mengenai novel ini bahawa Sutan Baginda merupakan sebuah tulisan yang mendekati teori Islami di dalamnya. Apa yang dikata sastera Islami itu turut diterangkan oleh beliau dengan menyatakan bahawa teori sastera Islami itu mementingkan tujuan atau matlamat dalam penghasilan sesebuah karya.

4. Jika begitu memang layak dikatakan novel Sutan Baginda sebuah novel bercorak Islami. Shahnon Ahmad memulakan novel dengan penceritaan dari sudut pandang beberapa orang yang rapat dengan watak Sutan Baginda seperti isteri pertama dan kedua serta perempuan simpanannya. Menerusi penceritaan mereka itu kita (pembaca) dikenalkan kepada siapa itu Sutan Baginda dari sisi orang sekelilingnya. Dan diakhir bab kita baru dimasukkan ke dalam diri Sutan Baginda itu sendiri supaya lebih memahami watak Sutan Baginda ini apabila Shahnon Ahmad menulis tentang monolog dalaman Sutan Baginda kepada pembaca.

5. Sutan Baginda adalah seorang pemain politik yang kejam dan penuh bernafsu dalam mainan politiknya. Seperti yang berkali diterangkan oleh Pak Shahnon bahawa penekanan serta tekanan hidup yang mengharukan serta menggelisahkan jiwa telah menjadi unsur yang melahirkan dan mengilhamkan sesebuah karya beliau. Begitu jugalah dengan novel Sutan Baginda ini. Tekanan yang membuncahkan hati semasa beliau terlibat dengan politik selama beberapa tahun itu telah melahirkan Sutan Baginda ini.

6. Dan seperti kata Pak Shahnon juga bahawa seseorang sasterawan harus berkarya berdasarkan realiti masyarakatnya tanpa menyembunyikan kebenaran yang berlaku. Begitulah juga Sutan Baginda terlahir dengan penuh erotika di dalamnya seolah Pak Shahnon mahu memberitahu politikus (paling tidak semasa zaman beliau) tidak dapat dipisahkan dengan skandal.

7. Membaca Sutan Baginda seolah membaca sebuah tulisan picisan yang mengangkat tema seks yang matlamat utamanya adalah memberi keghairahan dan kesedapan buat pembaca tanpa tujuan dan hala tuju yang pasti. Namun seperti yang ditegaskan Pak Shahnon pada tulisannya yang lain, seperti yang diterangkan pada not 6 di atas, pengarang harus berani membawa kebenaran yang berlaku dalam bangsa atau negaranya walaupun hal itu mungkin merupakan sesuatu yang menjijikkan, meloyakan, dan tidak sopan. Namun yang membezakan karya yang baik, yang asli, serta penuh estetika dengan karya picisan murahan adalah peleraian serta jalan keluar yang dibentangkan di dalam karya tersebut. Peleraian-peleraian terhadap masalah yang ditimbulkan pengarang itu merupakan tujuan serta matlamat utama sesebuah karya dihasilkan.

8. Dengan menggunakan realiti yang terjadi, yang mencerminkan kehidupan masyarakatnya, pengarang perlu bermain dengan imaginasi serta mengerah daya kekreatifan pada tahap paling tinggi untuk menghasilkan sebuah karya yang betul-betul bermutu.

9. Bila Pak Shahnon menuliskan Sutan Baginda dengan penuh aksi erotika serta seks di hampir setiap helaian muka suratnya, seolah mahu memberitakan tentang kebobrokan politikus-politikus yang sedang berpolitik semasa zaman beliau.

10. Dan perlu untuk setiap karya yang baik itu disuguhkan peleraiannya, Pak Shahnon telah menamatkan kisah Sutan Baginda ini dengan tragis sekali. Segala tipu helah dan muslihat yang cuba dimainkan oleh Sutan Baginda dalam usaha beliau untuk menjatuhkan pemimpin tertinggi telah menemu jalan buntu. Rancangannya gagal secara total! Dan kerana kegagalan itu beliau menjadi kurang siuman dan disisihkan pula oleh isteri-isteri dan kawan-kawannya. Pak Shahnon akhirnya ‘menghukum’ watak Sutan Baginda ini dengan menamatkan riwayatnya dengan kematian yang paling jijik.

11. Walaupun novel ini dipenuhi oleh lambakan erotika, namun menurut Kassim Ahmad, novel ini diselamatkan daripada menjadi novel pornografi apabila Pak Shahnon menggunakan bahasa-bahasa simbolik dan kiasan yang sememangnya menjadi kepandaian sasterawan negara ini bermain dengannya. Tetapi saya secara peribadi berpandangan kiasan-kiasan yang digunakan Pak Shahnon dalam novel Sutan Baginda ini pada sebahagian-sebahagian tempat sudah tidak menjadi kiasan lagi. Ia telah jelas maksud dan gambarannya. Mungkin pada ketika novel ini mula-mula ditulis, perkara itu masih dianggap kiasan tapi pada masa kini, ia tidak lagi. Mungkin.

12. Novel ini sebuah bacaan yang memperlihatkan kepada kita tentang keadaan politik tanah air pada masa ia ditulis iaitu sekitar tahun akhir 80 an. Bahkan realiti itu masih tetap berlaku sehingga ke hari ini. Menjadikan novel Sutan Baginda ini tidak tenggelam di makan usia. Kepada anda yang meminati tulisan-tulisan Pak Shahnon, pasti tidak akan berasa rugi memiliki buku ini walau Sutan Baginda ini tidaklah segah karya-karya beliau yang lain seperti Srengenge, Ranjau Sepanjang Jalan, dan lain-lain. Selamat membaca dan selamat mengambil manfaat dari bacaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...