Friday, May 28, 2010

Cerpen - Sang Goda Sakti oleh Wardah Munirah


Cerpen Sang Goda Sakti ini adalah hasil tulisan saudari Wardah Munirah yang tersiar dalam majalah Tunas Cipta edisi Mei 2010. Melihat kepada judul yang dipilih penulis, sepertinya menjanjikan sesuatu kelainan yang bakal dihidangkan melalui cerpen ini.


Sang Goda Sakti mengisahkan mengenai seorang atau sejenis makhluk yang bergelar Patri Putar. Beliau merupakan seorang pemimpin tertinggi di kalangan masyarakatnya. Juga digambarkan sebagai seorang yang kejam dan zalim,


“…deria kehaiwanan yang bersemayam di naruni seorang makhluk yang tidak mengenal erti kemanusian.”


Namun terdapat sedikit kontras terhadap watak Patri Putar ini apabila penulis menzahirkan pula sifat-sifat yang terpuji seperti sabar, tekun, dan bijak mengawal amarah,


“Patri Putar sungging senyum. Dia tidak akan marah kerana amarah akan menjunamkan dia ke lembah sial"


Gambaran awal tentang sifat kebinatangan Patri Putar yang cuba diwujudkan penulis seolah tidak dapat dirasai oleh pembaca apabila Patri Putar ini diberikan akhlak terpuji pula. Satu lagi sifat terpuji,

“Dia perlu tekun dan sabar menghadapi kerenah Pres."

Pertentangan-pertentangan sifat ini membuatkan kejahatan dan keiblisan yang cuba diserapkan ke dalam watak Patri Putar, walaupun tidak banyak, tetapi secara tidak sedar ia telah ‘dibaikkan’ oleh penulis, membuatkan pembaca kurang merasa betapa durjananya si watak Patri Putar ini.

Satu lagi watak di dalam cerpen ini adalah Pres. Pres merupakan seorang pemimpin di kalangan manusia yang baru sahaja memenangi hati rakyat jelata menerusi pilihan raya yang telah diadakan.


Dan diperikan bahawa kemenangan Pres sangat bersangkut dengan pertolongan daripada Patri Putar ini. Tapi jenis pertolongan itu tidak pula dinyatakan secara jelas di dalam cerpen ini.


Pertemuan antara Patri Putar dengan Pres di puncak Ancala Sesakti menjadi tumpuan utama penceritaan di dalam cerpen. Sesuatu yang perlu diperhatikan benar-benar oleh penulis, bahawa dinyatakan pada awal perjumpaan Patri Putar dan Pres itu adalah kerana Pres ingin memohon suatu bentuk pertolongan daripada Patri Putar,


“Sebenarnya saya ingin meminta hanya satu lagi bantuan daripada Tuan Patri. Hanya satu ini sahaja sebelum projek mega menjadi kenyataan.”

Namun setelah saya membaca cerpen ini, bahkan membacanya berulang kali, masih tidak dapat menemukan jenis bantuan apakah yang diperlukan oleh Pres itu. Proses pertemuan antara kedua mereka lebih kepada sesi memberi laporan mengenai perkembangan pembinaan Tembok Agung Sesakti di Wilayah Sesakti II dan III dan IV.


Seolah penulis hilang punca seketika dalam penceritaannya menerusi cerpen ini. Atau sahaja penulis terlupa untuk memerikan jenis bantuan itu kerana terlalu ghairah mengembangkan cerita mengenai Patri Putar yang sedang asyik mempergunakan manusia seperti Pres untuk meluaskan tanah takluknya. Mungkin…


Sesi memberi laporan Pres kepada Patri Putar di puncak Ancala Sesakti itu banyak berkisar kepada perkembangan pembinaan Tembok Agung Sesakti. Tembok yang sedang diusahakan oleh rakyat jelata pimpinan Pres bagi mengukuhkan kekuasaan Patri Putar. Pembinaan tembok ini sebenarnya tanpa disedari oleh Pres sendiri adalah muslihat Patri Putar untuk menjadi makhluk manusia di bawah pimpinan Pres sebagai tawanannya.


“Pres tidak pernah tahu bahawa Tembok Agung Sesakti hanya diasaskan dan dipaksa untuk menyekat seluruh penduduk Wilayah Sesakti IV Bahagian agar terperangkap di dalamnya. Agar menjadi tawanan bebas Patri Putar dan konco-konconya."


Kerana Pres telah termakan budi Patri Putar yang membantunya memenangi pilihan raya, (penulis tidak menyatakan jenis bantuan) dia terpaksa menurut perintah yang dikeluarkan Patri Putar yang mengatakan kononnya pembinaan tembok itu adalah sebagai langkah keselamatan daripada bencana besar yang akan berlaku nantinya.

“…sebagai persiapan menanti kecelakaan yang bakal menjelang tidak lama lagi. Semua yang berada di dalam kawasan tembok akan selamat.”

Rakyat di bawah pimpinan Pres semuanya telah dikaburkan pandangan mereka sehingga kebenaran yang di bawa oleh seorang watak kecil, Mulya, juga tidak dapat mereka terima. Perhatikan dialog antara Mulya dengan salah seorang yang terlibat di dalam pembinaan tembok itu.


“Pak cik, Mulya bukan hendak mengganggu. Mulya ingin membantu, kerana Mulya belajarlah maka Mulya tahu bahawa tembok ini tidak sepatutnya didirikan. Bagaimana kalau tiba-tiba tembok ini akan menyebabkan kita terperangkap apabila banjir melanda, empangan pula pecah? Kita akan tersekat di sini. Kita akan mati di sini!”


“Kita hanya mengikut perintah Pres yang memerintah. Selebihnya, kita tidak mampu, Mulya.”


Kehadiran watak Mulya ini amat merunsingkan Patri Putar. Kerisauannya begitu besar memikirkan anak kecil itu. Yang padanya mampu untuk membuat empayar yang telah dibina roboh. Kerana itu dia memerintahkan Pres untuk menamatkan riwayat Mulya ini.

Dan, di sinilah penulis melukiskan penyesalan yang tidak sudah-sudah pada watak Pres. Pres sangat tidak sangup untuk membunuh anak sekecil Mulya, walaupun dia pernah menjadi begitu tegar menyerahkan isterinya kepada Patri Putar selepas menang pilihan raya. Tetapi untuk membunuh Mulya, dia tidak tergamak.


“Sekarang pula, rayuan dan seruan agar pulang ke peribadi asal berlegar-legar di benak fikirnya ketika itu.”

“…tetapi untuk menjadikan kanak-kanak yang hampir sebaya dengan anaknya yang meninggal usai melanggar perjanjian awal dengan Patri Putar menyebabkan fikirnya berputar 25 kali…”


“Tapi, tuan … dia masih kecil.”


Namun kerana janji yang telah termeterai antara Pres dengan Patri Putar membuatkan dia tiada jalan lain selain menuruti kehendak Patri Putar. Pada akhir cerpen ini, penulis membiarkan pembaca hanyut dengan penyesalan yang tidak sudah-sudah daripada Pres kerana terjebak dengan muslihat Patri Putar ini
.

“Hati Pres ingin berkata, ‘Saya tidak sanggup lagi mengkhianati rakyat. Saya khilaf, saya tidak mahu lagi.”


“Tidak, anda tidak boleh menarik diri. Kecuali anda sanggup menyerahkan nyawa anda kepada saya,” kata-kata Patri Putar membuatkan kedua-dua lutut Pres bergetar lalu terjelepok di hadapan Patri Putar.
"

Saya melihat penulis cerpen ini berjaya mengawal gaya tulisan dan bahasanya sedari awal hingga ke akhir cerpen. Dan itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, lebih-lebih lagi kepada penulis-penulis muda. Tahniah untuk itu.

Namun suatu yang harus dijaga dengan cermat oleh penulis. Iaitu apabila beliau gemar bermain dengan banyak tempat seperti Wilayah Sesakti I, II, III, dan IV. Walaupun hanya disentuh secara halus, namun permainan tempat atau latar di dalam cereka sependek cerpen ini harus diadun dan dijalin dengan sulaman yang kreatif serta penuh imaginasi. Agar ia mempunyai asosiasinya tersendiri dan tidak kelihatan bersepah-sepah di sana sini. Jika ini berlaku, perasaan rimas pembaca akan terjentik ketika membaca sesuatu cerita itu. Dan ini adalah malang yang besar buat penulis.


Penulis merupakan seorang penuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Ijazah Sarjana Muda) dalam pengkhususan Penulisan Kreatif. Dan, pernah serta masih berguru menadah ilmu dengan beberapa tokoh penulisan yang besar di dalam negara, contohnya seperti Sasterawan Negara Dato’ Anwar Ridhwan.


Jadi saya tidak berasa hairan jika terbayang stail SN Dato’ Anwar Ridhwan di dalam tulisan penulis, terutamanya di dalam cerpen Sang Goda Sakti ini.


Sesebuah karya dan tulisan yang baik, terutama di dalam penulisan kreatif seperti puisi, cerpen, dan novel, seperti kata Pak Shahnon (SN Dato’ Shahnon Ahmad) harus mampu untuk diselitkan makna-maknanya yang tersirat dengan penggunaan lambang dan perlambangan yang sesuai dan menarik.


Harus untuk sesebuah karya itu menuntut para pembacanya tidak hanya membaca secara kosong dan nihil, tetapi perlu pula mengupas satu demi satu lapisan kulitnya untuk merasai dan menikmati isinya yang sebenar. Sehingga dalam perbuatan mengupas itu pula, pembaca boleh menjadi lebih berimaginasi daripada penulis sehingga mampu mencelah-celah ke ruangan yang tidak pernah penulis sendiri terfikir di dalam karyanya.


Saya mencuba untuk mengupas sedaya mampu terhadap kulit cerpen Sang Goda Sakti tulisan penulis muda Wardah Munirah. Saya simpulkan begini.


Di dalam dunia kini perebutan untuk menjadi lebih berkuasa adalah perkara asas dan biasa apabila ianya terhidang dengan tipu helah, mainan kotor politik (atau lebih tepat politaik), rasuah, kroni, dan sebagainya. Ia sudah menjadi semacam perkara yang perlu dilakukan bahkan wajib ditunaikan untuk menjadi berkuasa dan memerintah.


Melihat ke dalam cerpen ini, ia tidak jauh bezanya dengan realiti yang sedang dihadapi.

Seorang atau sejenis makhluk bernama Patri Putar digambarkan sebagai pemimpin yang berkuasa yang ingin menakluk dunia. Saya suka untuk melihat lebih ke dalam lagi watak Patri Putar ini, sehingga saya menyamakan watak ini dengan negara Amerika. Sebuah negara yang berkuasa, yang selalu ingin menyebarluaskan lagi pengaruh kuasanya ke atas negara-negara lain, terutama negara-negara kecil.


Dan negara kecil di dalam cerpen ini terdapat pada watak Pres. Pres juga merupakan seorang pemimpin di dalam wilayahnya. Namun Pres memimpin bukan dengan kebijakannya sendiri melainkan hanya semata mengikut telunjuk Patri Putar (Amerika)


Kita dapat merasakan bahawa Pres sedar pada akhirnya yang beliau telah dipergunakan oleh Patri Putar itu untuk melaksanakan misinya menguasai dunia dengan membina Tembok Agung Sesakti sebagai penjara bagi rakyat yang di bawah pimpinan Pres namun beliau tidak nampu untuk berbuat apa.


Saya berimaginasi mengandaikan bahawa tembok itu sebagai wadah yang digunakan oleh Patri Putar (Amerika) untuk menyekat pergerakan dan kebebasan rakyat pimpinan Pres. Tembok itu sebagai suatu alat jajahan yang digunakan Patri Putar (Amerika) dalam usaha untuk menjadi lebih berkuasa.


Sesuatu yang tidak dapat untuk saya kupas kulitnya adalah pada akhiran cerpen ini melainkan rasa sesal yang berganda di dalam diri Pres kerana telah terlajak berhubungan dengan Patri Putar (Amerika) ini. Saya tidak dapat melihat yang lain selain penyesalan itu!

Mungkin penulis boleh memikirkan sesuatu yang lain dari hanya sekadar penyesalan Pres itu. Keseluruhan cerpen ini menarik untuk dibaca, bahkan menjadi semakin menarik pada bacaan kali kedua dan ketiga. Supaya lebih memahami, harus cerpen ini dibaca berulang kali.


Selamat membaca dan mengambil manfaat dari bacaan.


Buat Wardah, terus menulis!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...