Wednesday, January 6, 2016

Pulang - Leila S. Chudori

1. Buku 1/2016.

2. Perjuangan cinta air mata kehidupan dan pengorbanan.

3. Sesuatu yang pergi, suatu masa, antara cepat dan lambat, pasti akan kembali, menemui jalan pulang.

4. Novel ini saya beli di kedai buku Gerak Budaya di Pulau Pinang sewaktu dalam perjalanan pulang setelah usai pengembaraan saya di negara-negara Indochina. 

5. Sebetulnya saya tidak berhajat langsung untuk membeli buku petang sesudah solat Jumaat hari itu. Melangkah ke dalam kedai hanya untuk melihat-lihat buku-buku terbitan terbaru. Saya tidak mahu menambah berat pada backpack yang sudah sedia berat dengan membeli buku.

6. Tapi saat melihat Pulang dan membaca baris pertama isinya, saya merasa ralat jika tidak membelinya. 15 minit berlalu dan saya masih di dalam kedai melihat-lihat buku sambil fikiran masih memikirkan beli-takbeli novel yang memenangi Khatulistiwa Literary Award 2013 itu.

7. Setelah melakukan pusingan sempurna di seluruh ceruk kedai, akhirnya saya kembali ke rak yang sedang menatang Pulang dengan seribu godaan. Sekali lagi saya membaca baris pertama novel yang bakal memberatkan beg galas saya.

"Malam sudah turun, tanpa gerutu dan tanpa siasat. Seperti jala hitam yang mengepung kota ; seperti tinta yang ditumpahkan seekor cumi raksasa ke seluruh permukaan Jakarta. Seperti juga warna masa depan yang tak bisa kuraba."

8. Siapa yang tak akan tertarik pada novel dengan pembukaan yang seperti itu? Ketawakan saya jika tidak bersetuju, tapi saya selalu menilai sesebuah novel pada perenggan pertamanya. Bagi saya ia adalah penentu keseluruhan perjalanan novel dan keindahan serta kebijakan penulis terletak di situ. Silakan berasa lucu tapi begitulah cara saya menilai proposal-proposal yang dihantarkan kepada saya.

9. Pulang adalah kisah sejarah pergolakan politik tahun 1965 di Indonesia yang telah membawa lari beberapa tahanan politik ke bumi Paris setelah didakwa terlibat dengan Partai Komunis Indonesia. 

10. Jejak hitam yang mereka tinggalkan turut mengheret ahli keluarga serta sahabat handai yang didera mental fizikalnya oleh pihak berkuasa. 

11. Ada cinta yang mekar di sebalik duri-duri yang menikam hujungnya. Penulis menggaul dengan baik sehingga penceritaan yang bertukar-tukar sudut pandangnya memberi kepingan-kepingan gambaran jelas dan adil kepada para pembaca.

12. Sebuah novel yang akan membuat kita berasa menyesal kerana begitu lekas menghabiskannya. Sebuah novel yang bagus sebagai pembuka untuk tahun baru, 2016.





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...