Tuesday, August 25, 2009

Rahsia Ummi - Faisal Tehrani


  • Judul : Rahsia Ummi
  • Penulis : Faisal Tehrani
  • Terbitan : Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
  • Harga : RM 19.00

Bacaan santai. Cerita cinta terhalang. Cerita cinta agung. Cerita cinta suci. Cerita cinta syed syarifah.

Namun kadang-kadang terasa pada sekelian-sekelian bab dalam novel ini terdapat kekeliruan, ketidakfahaman apa yang cuba disampaikan oleh penulis.

Syed Hasan bapa kepada Syed Hairi semasa muda telah bercinta dengan Faizah ibu kepada Sharifah Aini yang mana cinta mereka terhalang kerana tidak mendapat restu kedua orang tua.

Watak dalam novel ini agak banyak dan ada yang tidak dinyatakan dengan terperinci wataknya sehingga ia muncul tiba-tiba dan kita tidak tahu siapakah dia.

Inilah satu-satunya novel Faisal Tehrani yang mb rasa begitu sukar untuk dihadam dan dilancarkan bacaannya.

Bacaan mb ternyata tersangkut-sangkut kerana jalan ceritanya. Beberapa kali terpaksa mengimbas semula bab-bab terdahulu untuk mengetahui cerita selanjutnya.

Mungkin juga kerana gaya bahasa yang digunakan Faisal dalam novel ini membuat ia begitu serabut untuk di baca.

Ada satu tahap kita bertanya-tanya, 'dialog ini siapa yang ucapkan?', 'sharifah mana yang dimaksudkan ini?', 'siapa pula dia ini?', 'kenapa jadi begini dengan tiba-tiba?'.

Soalan-soalan begitu kerap bermain dalam fikiran mb bila membaca Rahsia Ummi ini.

Bahkan Faisal Tehrani sendiri telah memberitahu bahawa ada yang menganggap novel ini sebagai gagal. Dan Faisal sendiri berasa aneh pernah mengarang novel sebegini.

Benarlah ianya aneh dan gagal!

Kesudahannya juga bagi mb sangat tergantung. Apa yang berlaku? Matikah Faizah? Kahwinkah Aini dan Hairi? Ke mana pula hilangnya Sharifah Hasina?

Mungkin FT merencana untuk membuat bahagian kedua dari novel ini. Sebab itu akhirnya penuh dengan tanda tanya.

Bukankah selalunya para penulis gemar membuat pembaca tertanya-tanya?

FT memberitahu di muka depan tentang novel ini bahawa terdapat lamaran untuk mengambil novel ini di bawa ke layar perak. Dan FT hanya sambut dengan gelak ketawa.

Satu lagi keanehan. Bagaimana pula novel yang dikatakan gagal ini berjaya memikat hati penerbit dengan bersungguh mahu novel gagal ini dilayarperakkan?

Memang novel ini aneh!

Tapi bagi mb, novel ini punya kekuatan sendiri untuk didramakan atau difilemkan sekalipun.

Ceritanya klise. Seperti filem-filem hindustan.

Cinta yang agung sanggup berkorban walau sekali pun tidak bersama.

Cinta Syed Hasan dan Faizah terhalang kerana berbeza keturunan, berbeza darjat, berbeza darah.

Sekalipun Syed Hasan telah berkahwin dengan Syarifah Hasina dengan cara paksa, namun di hatinya tetap cinta kepada Faizah.

Begitu juga Faizah. Sedikitpun tidak pernah kurang cintanya kepada Syed Hasan.

Benar-benar mirip filem hindustan. Juga kalau diperhatikan sedikit sebanyak punya persamaan dengan filem lakonan allahyarham Tan Sri P Ramlee, 'Antara Dua Darjat'.

Barangkali dengan kekuatan ini penerbit berani menawarkan novel ini untuk di bawa ke layar perak.

Akhir sekali. Apa yang mb dapat dari novel ini?

Ya selain dari kisah cinta agung, selain dari gila manusia pada nama dan keturunan, mb rasa cerita ini tetap menjadi rahsia seperti rahsianya ummi.

Tapi bukanlah satu kerugian membeli novel ini. Sebagai penggemar Faisal Tehrani, ianya sesuatu yang berbaloi mengumpul dan membaca tulisan-tulisan beliau samada tulisan lama dulu masa beliau mula-mula merangkak ke dunia penulisan, mahupun tulisan yang terkini yang dilihat makin pedas dan makin tidak menjaga hati.

Novel ini masih baru diterbitkan. Terdapat banyak naskah-naskahnya di toko-toko buku di serata tempat. Dapatkan satu untuk merasai bagaimana membaca novel 'aneh' ini.

Selamat membaca.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...