Monday, June 28, 2010

Ip Man, Ruang Perjalanan, dan Senaman Tua


1. Saya berkesempatan untuk menonton filem Ip Man 2 baru-baru ini. Sebuah filem mengenai sejarah hidup seorang tokoh seni mempertahankan diri terkenal China, Yip Man. Beliau lahir pada 1 Oktober 1893 di daerah Foshan, China. Merupakan orang yang bertanggungjawab mengembangkan seni mempertahankan diri Wing Chun yang berasal dari negara China ke seluruh dunia. Antara anak didik beliau yang terkenal adalah Bruce Lee. Beliau meninggal dunia pada 2 Disember 1972 ketika berusia 79 tahun akibat kanser yang dideritainya sekian lama.

2. Filem Ip Man (1 dan 2) ini begitu menarik minat saya. Walaupun saya bukan di kalangan penggila filem, namun menonton filem ini, saya dapat merasakan semangat serta mesej yang cuba disampaikan oleh pengarahnya.

3. Peribadi Yip Man dalam filem ini begitu memikat para penonton. Sifat tenangnya sentiasa didahulukan walau dalam setiap situasi apa pun. Falsafah serta pegangan hidupnya mengenai seni mempertahankan diri ini juga amat baik untuk dihayati.

4. Bagi beliau, mempelajari sesuatu ilmu mempertahankan diri itu bukan sekadar untuk memiliki kekuatan dan menjadi yang terhandal di antara yang lain, namun seni itu adalah lambang kepada sesuatu bangsa dan harus menjadi kebanggaan bangsa itu sendiri. Kerana itu beliau menjadi begitu gigih mengajar dan mengembangkan seni kung fu Wing Chun ini ke serata benua untuk memperkenalkan bangsa dan budaya masyarakat China kepada dunia.

5. Saya menjadi teringat kepada seorang guru silat di Malaysia yang sangat berusaha dengan keras untuk menjadikan silat Melayu sesuatu yang dikenali ramai. Beliau yang saya maksudkan adalah Tuan Guru Azlan Ghanie.

6. Dalam dunia persilatan di negara kita, nama beliau begitu disegani. Beliau merupakan tulang belakang kepada penerbitan majalah Seni Beladiri yang diterbitkan pada setiap bulan. Majalah Seni Beladiri ini merupakan satu-satunya majalah yang berani membawa kepada khalayak ramai kisah tok guru-tok guru silat di Malaysia dan Indonesia yang mana sebelum ini majalah ini dikenali dengan nama Pendekar.

7. Satu lagi usaha Tuan Guru Azlan Ghanie untuk memartabatkan seni silat ini, beliau telah mengarang sebuah buku yang dijudulkan, Senaman Tua. Menonton filem Ip Man membuat saya teringat dan kembali menyelak rak mencari buku Senaman Tua itu.

8. Buku ini diterbitkan kali pertamanya pada tahun 2007 oleh Azlan Ghanie (M) Sdn Bhd. Seperti yang dinyatakan sendiri oleh Tuan Guru Azlan Ghanie, “buku Senaman Tua ini bagai membuka tudung yang menutup hidangan nikmat ilmu Melayu. Ia asal dari beladiri bangsa itu yang menjuruskan kepada kecergasan, kekuatan, kepantasan, dan ilmu tempur.”

9. Tidak banyak yang dapat saya perikan di sini mengenai buku ini kali ini, namun insyaAllah jika punya kesempatan di lain ketika, saya akan menulis entri melihat buku Senaman Tua.

10. Beberapa ketika dahulu, saya pernah berada bersama untuk merasai rencah dalam dunia persilatan ini. Pengalaman berada di dalam hutan, di tengah malam yang sunyi dengan ditiup halus-halus angin yang lalu, hanya dicahayakan dengan lampu kalimantang sambil berkaki ayam menggerakkan tapak mengatur bunga dan buah silat di atas tanah yang kering, yang mana akan menjadi becak serta berlumpuh dengan lekas pula ketika hujannya, merupakan pengalaman yang berharga buat saya.

11. Namun berada seketika di alam persilatan itu saya masih samar-samar melihat tujuan serta matlamatnya. Hanya sebilangan kecil daripada kami yang merasakan bahawa warisan seni mempertahankan diri bangsa Melayu ini harus dipelajari dan dikembangkan agar tidak lenyap ditelan zaman sedangkan sebahagian besarnya pula masih ragu-ragu, masih tidak jelas mengapa mereka mempelajari ilmu persilatan ini. Hanya sekadar untuk memiliki kekuatan dan kemudiannya akan merasa bangga dan besar diri dengan kehandalannya bermain silat.

12. Saya juga melihat kurangnya penyatuan di antara pertubuhan-pertubuhan silat ini. Masing-masing cuba berdiri mendabik dada melalak memberitahu bahawa persatuan silatnyalah yang paling kuat, yang paling handal dengan tok gurunyalah yang paling tinggi ilmu silatnya, yang paling mengerti makna silatnya, yang paling dalam ilmu batinnya. Setiap daripada mereka merasa bangga dengan persatuan silat yang menaunginya sambil memandang rendah pada persatuan silat yang lain. Akhirnya dengan silat, kita tidak lagi dapat bersatu, dapat bersealiran memelihara warisan ini, tapi sebaliknya menjadi bahan untuk kita berpecah saling bermusuh dan berkelahi pula dalam menentukan siapa yang paling raja di dalam gelanggang silat. 

13. Ada pula yang mempolitikkan silat ini. Mereka hanya mahukan ahli yang ramai dengan mengenakan pula yuran yang pelbagai demi mengaut untung, memenuhkan poket sendiri. Soal kefahaman dan pengertian di sebalik ilmu persilatan itu tidak lagi diutamakan dalam pembelajaran kepada penuntut-penuntut baru, apa yang penting bagi mereka, yuran di bayar setiap bulan tepat pada ketikanya.

14. Ini pastinya mendukacitakan. Terpesong jauh dari falsafah seni silat Melayu itu sendiri yang mana di dalam gerakan dan tari bunganya melambangkan tentang penyatuan yang kukuh dan hubungan yang erat sesama kita, hamba Allah Azzawajalla. Bukannya saling bermusuh memamer kehebatan masing-masing.

15. Sebenarnya perkara sebegini tidak hanya di kalangan dunia persilatan alam Melayu sahaja, namun terjebak ke sekalian banyak jenis pertubuhan seni mempertahankan diri serata dunia. Kekurangan fahaman mengenai ilmu seni mempertahankan diri yang sedang ditekuni menyebabkan ramai di antara penuntut yang menyalahgunakan ilmu yang diperolehi ke jalan yang salah.

16. Dalam filem Ip Man 2, di babak yang terakhir, Sifu Yip Man didatangi seorang anak kecil yang ingin mempelajari seni kung fu Wing Chun dengan beliau. Ketika ditanya tujuannya untuk mempelajari kung fu ini anak kecil itu menjawab bahawa dia mahu belajar kung fu supaya nanti dia boleh menjadi kuat dan membuli kanak-kanak yang lainnya. Babak diakhiri dengan Sifu Yip Man menggeleng-gelengkan kepala ketika mendengar penjelasan dan tahap kefahaman anak kecil itu mengenai seni kung fu ini. Anak kecil yang dimaksudkan itu adalah Bruce Lee yang mana menjadi anak didik Sifu Yip Man yang paling dikenali. Ini menunjukkan betapa ilmu seni mempertahankan diri itu masih belum difahami fungsinya dengan benar.

17. Kebetulan ketika menonton filem Ip Man, saya baru sahaja selesai menghabiskan bacaan pada novel Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan, Ruang Perjalanan. Suka untuk saya kaitkan novel ini dengan filem Ip Man yang baru sahaja ditontoni.

18. Ringkasnya novel ini mengenai masa hadapan, mengenai kehidupan manusia di zaman akan datang. Garapan serta setingnya begitu menarik sehingga memikat saya terus membaca tanpa mahu berhenti. Diterbitkan kali pertama pada tahun 1989.

19. Penulis menggambarkan masa hadapan, di dalam abad-abad mendatang, sebagai zaman teknologi, zaman di mana manusia akan kehilangan kemanusiaannya, zaman di mana setiap insan akan kepupusan nilai insaninya.

20. Disebalik sirnanya adab dan budaya ketimuran masyarakat Melayu ketika itu, penulis menghidupkan sebuah watak, yakni watak seorang tua dari zaman lampau yang tetap hidup demi untuk membudayakan semula manusia-manusia di abad itu.

21. Novel ini mengenai nilai kemelayuan yang makin menjauh dari diri anak-anak di masa hadapan. Di masa hadapan yang mana anak-anaknya sudah tidak mengenal dan tidak mahu mengakui adanya Tuhan lagi. Kepesatan kemajuan teknologi begitu memainkan peranan yang penting kepada gejala sebegini berlaku sehingga nantinya manusia beranggapan tiada perlu lagi kepada kuasa Tuhan kerana mereka berupaya bahkan mampu beroleh segalanya dengan teknologi di masa hadapan itu nanti.

22. Ironinya mengenai filem Ip Man dan novel Ruang Perjalanan ini adalah ketika Sifu Yip Man sedaya mungkin membawa dan memperkenal serta memperkembangkan budaya masyarakat China melalui seni kung fu Wing Chunnya, S. Othman Kelantan pula bermain kala masa hadapan dengan melihat nilai-nilai budaya ketimuran yang sudah hilang dan mengarangkan sebuah novel mengenai natijahnya apabila lupusnya budaya ini kepada generasi akan datang.

23. Seperti selalu yang saya katakan bahawa saya akan berasa terpesona dengan gaya bahasa serta penulisan sasterawan negara ke-9 ini. Begitu memikat dan begitu menarik minat terhadap apa yang sedang saya baca. Ia menampilkan ragam dan langgam yang berbeza dari sasterawan-sasterawan lainnya.

24. Penutup, pastinya saya akan mencadangkan kepada khalayak untuk menonton filem Ip Man (1 dan 2) kerana, percaya kepada saya, kalian akan merenung ke dalam diri masing-masing selepas menonton filem ini. Juga, tentunya saya akan mengesyorkan novel Ruang Perjalanan buat kalian tekuni dan hadami. Ia akan membuat kalian berfikir, dan berfikir, lagi berfikir mengenai kehidupan kalian ketika ini. Dan, saya akhirnya akan berkata, peliharalah serta hargailah sekalian apa yang kita ada sebelum kita kehilangannya.


Thursday, June 3, 2010

Laknat Israel!


Awal minggu ini kita dikejutkan (mungkin istilah 'dikejutkan' ini kurang sesuai, melihat kepada fiil Israel yang tidak pernah tidak berlaku kejam) dengan laporan media seluruh dunia mengenai kebiadapan dan keangkuhan negara haram Israel menyerang serta menggunakan kekerasan ke atas sejumlah sukarelawan yang dalam misi menghantar bantuan kemanusian ke Gaza.

Sehingga ke hari ini Israel masih tetap mempertahankan tindakan mereka menggunakan senjata ke atas sukarelawan itu dengan alasan kononnya para sukarelawan di atas kapal terlebih dahulu menyerang mereka dengan kayu. 

Mereka kononnya hanya membalas serta mempertahankan diri, dengan melepaskan sekalian banyak ledakan peluru yang mengenai para sukarelawan di atas kapal tersebut sehingga mengakibatkan kematian.

Membaca pengalaman mereka yang ditahan oleh rejim Israel itu cukup untuk kita membayangkan betapa tidak berperikemanusiannya tentera Israel ini.

Dikepung, ditolak, dihentak, dipukul, ditembak secara rambang, semua itu merupakan coretan peristiwa yang tidak mungkin dilupakan oleh mereka yang terlibat.

Untuk membaca pengalaman mereka, di sini. Sini juga. Dan di sini untuk membaca surat terakhir yang sempat ditulis sebelum tentera Israel menawan kapal Mavi Marmara itu.

Saban hari membaca mengenai kekejaman Israel di dada-dada akhbar, di berita-berita online, di kaca-kaca televisyen ini, membuatkan saya teringat akan sebuah novel tulisan Shaari Isa yang agak lama telah saya baca.

Projek PL 5. Begitu judul novel yang setiap kali membaca mengenai Israel, saya terbayang sedang membaca novel ini.

Projek PL 5 - Shaari Isa
Novel ini merupakan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang mana cetakan pertamanya pada tahun 1988 sebelum diulang cetak untuk kali kedua selepas 19 tahun iaitu pada 2007. 

Projek PL 5 ini berkisar mengenai negara haram Israel dan rancangan rahsia mereka untuk melumpuhkan kekuatan umat Islam di Nusantara ini, terutama di Malaysia dan Indonesia.

Suatu konspirasi dan pakatan antarabangsa kaum Yahudi yang direncanakan dengan begitu canggih dan rapi sekali sehingga tiada siapa yang sedar akan rancangan jahanam mereka untuk memusnah dan melupuskan umat Islam dari muka dunia ini.

Ejen-ejen Yahudi yang terlatih di tempatkan di merata-rata ceruk di dalam komuniti umat Islam bagi mengintip dan mengetahui cara hidup masyarakat Islam di sesuatu kawasan sebelum meneliti kelemahan-kelemahan umat Islam itu, yang akan membawa keuntungan kepada mereka, bangsa Yahudi.

Bahkan ada di antara ejen dari Yahudi ini yang menyamar menjadi orang Islam. Menyamar menjadi Islam yang memahami Al Quran, yang mengetahui hadis, yang mengenali para ilmuwan Islam, untuk kemudiannya digunakan pengetahuan itu bagi memesongkan kefahaman umat Islam itu sendiri dengan ceramah-ceramah mereka yang ternyata menyelimpang dari ajaran Islam yang sebenar.

Melahirkan lebih banyak 'Ustaz-ustaz Yahudi' ini merupakan salah satu senjata utama untuk Projek PL 5 ini. Pengetahuan-pengetahuan mengenai Islam yang salah, sedaya upaya cuba mereka tebarkan di negara orang Islam sendiri.

Susunan plot novel ini begitu menarik sehingga kita merasakan bahawa ini kejadian yang sebenarnya sedang terjadi di realiti.

Atau mungkin benar ini yang sedang terjadi? Gerakan rahsia negara haram Israel untuk memusnahkan umat Islam di dalam novel ini sesungguhnya memang sedang dibangunkan? Mungkin?

Penulis buku ini, Shaari Isa telah menggunakan stail penulisan 'new-journalism' yang menggabungkan kegituan fakta dengan kekuatan imaginasi beliau dalam menulis novel ini.

Sebuah novel yang menarik dan berani serta membuka mata para pembaca mengenai kemungkinan-kemungkinan yang sedang direncanakan oleh bangsa laknat Yahudi itu. Tidak akan rugi untuk dibeli dan dimiliki novel ini.

Selamat mencari, selamat membaca, selamat mengambil manfaat dari bacaan.

Tuesday, June 1, 2010

Abdullah Hussain



Sebelum saya mula membaca tulisan daripada Sasterawan-sasterawan Negara yang lainnya seperti SN Dato' Shahnon Ahmad (1982), SN Dato' Dr Usman Awang (1983), SN Dato' A Samad Said (1986), (sekadar menyebut beberapa nama) lama sebelum itu saya telah menekuni karya-karya dari seorang lagi tokoh Sasterawan Negara, Dato' Abdullah Hussain (1996).

Bermula dengan novel Konserto Terakhir, yang merupakan teks wajib bagi pelajar-pelajar SPM, saya langsung terpikat dan terpesona membaca tulisan Abdullah Hussain ini.

Selepas dari itu saya mula mengumpul sebuah demi sebuah buku hasil buah tangan beliau. Dan seperti lazimnya, tidak sering untuk kita ketemu buku-buku dari tulisan Sasterawan Negara ini. Bukan sahaja karya Abdullah Hussain, bahkan sasterawan seperti Keris Mas, Arena Wati, Muhammad Hj Salleh, S. Othman Kelantan, serta yang lain-lainnya juga amat rumit untuk ditemukan karya mereka di toko-toko buku. Bahkan ada juga tulisan daripada Sasterawan Negara ini yang telah diharamkan buku mereka dari diterbitkan.

Antara lain karya-karya Abdullah Hussain yang sempat saya miliki selama beberapa tahun mencari ini adalah seperti,

Konserto Terakhir - Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (2001)

Imam - Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (2000)

Dan Malam Apabila Ia Berlalu - Dewan Bahasa dan Pustaka (2006)

Noni - Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (1997)

Interlok - Dewan Bahasa dan Pustaka (1996)

Perjalanan Mencari Diri - Dewan Bahasa dan Pustaka (2004)

Pertemuan Abadi Koleksi Terpilih Abdullah Hussain - Dewan Bahasa dan Pustaka (2005)

Tidak banyak yang saya perolehi namun ia telah menjadi antara koleksi berharga saya.


Di sini mulanya

Beliau dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman. Menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Limau sehingga lulus darjah 5 dalam tahun 1931.

Beliau meneruskan pengajian di Sekolah St. Michael, Alor Setar sehingga tamat pada tahun 1935.

Pernah bekerja sebagai penolong penjaga stor di Pahang dalam tahun 1939 setelah permohonannya untuk menjadi guru pelatih ditolak.

Beliau kemudiannya berpindah ke Pulau Pinang dan telah diterima untuk berkhidmat di dalam sebuah syarikat penerbitan surat khabar, Sahabat. Di sinilah beliau mula mengasah bakat beliau dalam penulisan ketika baru berusia 20 tahun.

Abdullah Hussain juga merupakan salah seorang pengasas bagi ASAS 50. Karya pertama beliau telah disiarkan di dalam majalah Tanah Melayu yang merupakan sebuah cerita lucu pada tahun 1939.

Sememangnya Abdullah Hussain merupakan seorang seniman yang sangat disegani. Berkebolehan menulis dalam pelbagai genre sastera seperti cerpen, novel, puisi, drama, esei, autobiografi, biografi, skrip filem, tulisan umum, dan terjemahan.

Antara beberapa karya besar dari luar yang sempat beliau terjemahkan ke dalam bahasa Melayu adalah seperti, Orang Tua Dengan Laut karya Ernest Hemingway (1961), Mutiara karya John Steinbeck (1962), Angin Timur Angin Barat karya Pearl S. Buck (1964), Lorong Midaq karya Naquib Mahfouz (1986).

Dalam penulisan novel pula, beliau telah mengarang lebih daripada 27 buah novel. Dan antara novel beliau yang masih disebut sehingga ke hari ini adalah seperti, Terjebak (1964), Interlok (1971), Masuk ke Dalam Cahaya (1983), Imam (1995), dan beberapa lagi.

Gaya penulisan beliau ini sebenarnya pada peringkat awal penglibatannya dilihat banyak terpengaruh dan dibayangi oleh penulis-penulis dari Indonesia dan Russia.

Mungkin ramai di antara kita yang mengenal tokoh besar dunia sastera ini melalui nama Abdullah Hussain-nya sahaja. Namun sebelum dari ini, beliau mempunyai nama pena yang pelbagai. Antaranya, A.A., Adiwijaya, A.H., Andi Jaya, Asly, Bintang Kecil, Iskandar Muda, Roslany Ashikin, Suryakanta, dan A. Zamroed.

Beliau telah dianugerahkan S.E.A Write Award pada tahun 1981 oleh kerajaan negara Thailand. Juga beliau telah dianugerahkan Anugerah Sasterawan Negara pada 5 April 1996 yang menjadikan beliau sasterawan negara yang kelapan selepas Dato' Noordin Hasan.

Dato' Abdullah Hussain yang sangat versatil dalam tulisan beliau boleh dianggap sebagai P. Ramlee dalam dunia sastera, menurut Dr. Talib Samad. Sumbangan beliau sangat besar dengan tulisan-tulisan beliau yang produktif serta signifikan yang menyumbang kepada dunia kesusasteraan negara.

Saya secara peribadi amat mengagumi beliau. Dan memiliki buku-buku tulisan beliau merupakan sesuatu yang bernilai buat saya. Mungkin agak sukar untuk menemukan karya-karya beliau di luar sana, namun sebagai generasi muda, Abdullah Hussain sangat dekat dengan saya menerusi setiap bukunya yang saya baca.

Diharap pihak-pihak yang berwajib, tidak melupakan kami, generasi-generasi muda, yang dahagakan bacaan dari tulisan Abdullah Hussain ini. Semoga karya Abdullah Hussain tidak terus sepi dan sukar ditemui selepas dari ini.

InsyaAllah jika diberi kelapangan waktu, saya ingin sekali menulis di sini mengenai Abdullah Hussain ini ketika beliau di Brunei, ketika beliau menderita penyakit gout, mengenai beliau dan sahabat baiknya, Arena Wati, mengenai beliau dengan kucingnya, angsanya, ikannya, tentang novel Imamnya yang pernah beliau wasiatkan kepada anak-anaknya sebagai tulisannya yang terakhir, tentang kembaranya di Yunan, di Sri Lanka, tentang beliau dan pencalonannya untuk Anugerah Sasterawan Negara, tentang, tentang, tentang...

Semoga dimudahkan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...