Friday, January 7, 2011

Nasi Lemak Kopi O - Sinopsis Novel

Menonton program Nasi Lemak Kopi O di TV9 pagi tadi (Jumaat 7.1.2011). Teruja dengan segmen baru mereka, Sinopsis Novel.

Sebuah segmen yang membicarakan mengenai novel dengan menjemput penulisnya pada masa yang sama. Agak menarik walau hanya sekitar 15 minit dan bicaranya santai dan tidak terlalu serius, tetapi menjadi begitu berkesan sebagai promosi dan iklan buat novel-novel yang dipilih.

Tahniah buat TV9 dan Nasi Lemak Kopi O kerana membuat pembaharuan dalam rancangan mereka lebih-lebih lagi pembaharuan itu sesuatu yang menggalakkan dan membudayakan amalan membaca di kalangan khalayak.

*Namun kepada kalian yang lebih mengharapkan perbincangan yang serius pada sesebuah novel, boleh hadir ke Rumah PENA pada esok pagi (Sabtu 8.1.2011). Kerana mereka akan mengadakan dialog mengenai novel yang paling 'panas' ketika ini, novel Interlok-SN Abdullah Hussain. Untuk maklumat lanjut boleh google 'rumah pena' atau klik sini.

**O sebelum terlupa, buat kalian yang masih tidak tahu kenapa novel Interlok boleh menjadi begitu 'panas' dengan tidak semena-mena, walhal novel itu telah lama diterbitkan (cetakan pertama tahun 1971!), kalian boleh sahaja meletakkan kata 'interlok abdullah hussain panas' pada ruangan search di enjin pencarian kalian. Atau kalian boleh klik sini

Wednesday, January 5, 2011

Rayyan Fantasi-Ramlee Awang Murshid


Novel paling kini daripada penulis prolifik Alaf21, Ramlee Awang Murshid. Sangat prolifiknya sehingga ketika anda sedang menghabiskan bacaan pada novel terbarunya ini, beliau sudah merangka sebuah novel yang lebih baru lagi. Sutera Bidadari. Lanjutan kisah Laksamana Sunan.

Novelis thriller nombor 1 Malaysia ini, (gelaran yang saya tidak tahu daripada siapa) sekali lagi telah berjaya dengan penceritaan berunsurkan saspen dan seram dan menjentik rasa ingin tahu para pembaca dari awal sehingga ke akhir bab.

Sebenarnya saya tidak patut bocorkan rahsia mengenai kisah Rayyan Fantasi (RF) ini di sini. Para pembaca patut membacanya sendiri untuk merasai debaran dan kejutan-kejutan yang disajikan dalam RF. Oleh kerana penulisnya telah menyusun bab demi bab bagi mewujudkan debaran dan suasana saspen itu, maka ia menjadi tidak menarik lagi jika pembaca telah terlebih dahulu tahu mengenai RF sebelum membaca RF.

Oleh itu saya nasihatkan, kepada yang sedang membaca novel ini, dan tidak mahu kehilangan perkara saspen itu dalam bacaan kalian, boleh alih kepada entri saya yang lain.

Rayyan Fantasi berkisah mengenai dunia makhluk asing. Ya benar, makhluk asing. UFO. Piring terbang. Tapi RF ini bukan sekadar novel makhluk asing yang tersesat jatuh ke bumi, bahkan imaginasi penulisnya lebih jauh lagi. Beliau membawa para pembaca ke planet makhluk asing itu sendiri!

Melalui watak Aiddin (nama watak di planet bumi), seorang anak yang dibesarkan di negeri Sabah, penceritaan novel ini dikembangkan. Bermula dengan kehidupannya yang seperti kanak-kanak lain, bermain, membesar, bersekolah, beruniversiti, sehinggalah Aiddin yang disahkan menghidap barah otak tahap empat, kemudian hilang di atas Gunung Kinabalu, yang sebenarnya beliau telah diculik makhluk asing dan dibawa ke 'negeri' asalnya, kerana pencarian yang tidak berhasil ke atas dirinya, Aiddin disangkakan telah meninggal dunia oleh mereka yang di bumi.

Namun ayahandanya telah mengetahui kejadian sebenar yang menimpa anaknya itu, kerana beliau juga sebenarnya makhluk asing!

Ayah Aiddin bernama Ibrahim (nama di planet bumi) dahulunya merupakan seorang pemimpin di dunia makhluk asing. Namun kerajaannya telah digulingkan melalui satu rampasan kuasa oleh orang kanannya sendiri. Lantaran itu Ibrahim melarikan diri ke planet bumi bersama dengan anaknya. Dan beliau berkeputusan untuk terus menetap di planet bumi serta melupakan segala peristiwa dan asal usulnya di planet sana.

Seperti mana yang para pembaca setia tulisan RAM ketahui, RAM sememangnya sangat gemar bermain dengan masa di dalam setiap novelnya. Beliau akan bercerita dengan tidak mengikut susunan. Bermula dengan masa kini, lalu dialih kepada masa silam, sebelum memasuki masa hadapan, dan kembali semula ke masa kini. Bagi yang telah sering membaca novel-novel RAM, stail seperti ini memang tidak akan berasa kejanggalannya.

Tetapi untuk novel RF ini pula, RAM tidak hanya bermain dengan perkara masa itu, bahkan beliau bermain dengan permainan masa yang berlebihan pula!

Jika anda telah membaca novel ini anda akan mengerti maksud saya. Bagi para pembaca yang dari jenis membaca cara 'perlahan', satu hari satu bab, maka kalian akan berasa kehilangan dan sedikit keliru dengan gaya RF ini yang sekejap ke depan, sekejap ke belakang, dan ke depan semula dari perihal masanya. Namun bagi yang membaca satu malam satu novel, ini tidak menjadi masalah.

Cuma bersedia sahajalah untuk membelek-belek semula muka surat belakang jika anda berasa kehilangan itu.

Secara tidak menipunya saya katakan, novel terbaru Ramlee Awang Murshid ini bukanlah novel terbaik yang pernah saya baca dari tulisan beliau. Sebelum ini saya telah membaca hampir kesemua novel-novel beliau bermula dari Tombiruo (1998), Ranggau, Mandatori, Semangat Hutan, ADAM, Satu Janji, Tombiruo Terakhir, Rahsia Perindu, Bagaikan Puteri, Hatiku Di Harajuku, Cinta Sang Ratu, Ungu Karmila, Hijab Sang Pencinta, Mikhail, 9 Nyawa, dan terbaru sebelum ini Cinta Sufi (2010). Bahkan novel beliau yang jarang diketahui seperti Anugerah Pertama-Kasihnya Tercicir Di Perjalanan Masa terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd (2000) juga saya miliki dan membacanya.

Dan saya dapat melihat RAM 'membesar' dalam setiap novelnya. Perlahan-lahan gaya beliau lebih teratur dan menjadi enak dihadam. Plot-plotnya akan berkembang cantik dengan watak-watak yang selalunya kita akan berasa dekat sekali dengan diri dan persekitaran.

Namun pada novel RF ini saya rasakan sedikit berlebihan. Membawa kisah misteri makhluk asing terasa seperti terkeluar dari kebiasaan RAM. Yang selalunya akan dekat dengan realiti. Perkara berlebihan dalam berimaginasi inilah yang membuatkan novel ini sedikit menghampakan saya. Mungkin benar ia suatu yang lain, suatu percubaan yang berbeza RAM dari novel-novel sebelumnya, tapi bagi saya ia sedikit 'berlebihan'.

Tapi itu bukan alasan untuk tidak membeli novel ini.

Apa yang berlaku kepada Aiddin setelah diculik itu? Dan mengapa pula dia diculik? Apakah pula tindakan ayahnya, Ibrahim setelah anaknya diculik?

Soalan-soalan itu akan dijawab sendiri oleh Rayyan Fantasi. Boleh dibeli di toko-toko buku berhampiran. Atau jika berasa malas-malasan untuk keluar ke kedai membelinya di musim hujan-hujan begini, kita ada brother-brother posmen yang sedia membantu. KLIK.

Semoga memperolehi manfaat dari bacaan.

**Sasaran untuk tahun 2011 ini 53 buah buku. Ikuti perkembangannya di laman Goodreads saya.

Monday, January 3, 2011

Dari Dalam Rak : Buku-buku Menarik 2010

Memasuki 2011. 

Bercerita mengenai 2010. Ada beberapa buah buku yang saya rasa sangat berharga yang ingin saya kongsikan. Sebahagiannya belum sempat saya baca pun. Buku-buku ini yang mengindahkan rak saya untuk tahun 2010 yang lepas.


Judul : Proses Kreatif Satu Pengalaman Rohani
Penulis : Abdullah Hussain
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN : 978-983-46-0600-8
Harga : RM 25.00


Judul : Abdullah Hussain dalam Esei dan Kritikan
Penyusun : Zeti Aktar Jaffar
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN : 978-983-62-9812-6
Harga : RM 47.00

Telah lama sebenarnya merindui buku-buku terbaru tulisan SN Abdullah Hussain. Lebih-lebih lagi pada novel beliau. Dan memiliki dua buah buku di atas sebagai pengubatan rindu walau kedua-duanya bukan merupakan novel.



Judul : Shahnon Ahmad dalam Esei dan Kritikan
Penyelenggara : Hamzah Hamdani
                         Zeti Aktar Jaffar
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN : 978-983-62-9519-4
Harga : RM 40.00


Judul : Shit
Penulis : Shahnon Ahmad
Terbitan : Pustaka Reka
ISBN : -
Harga : RM 8.00 (Kedai Buku Terpakai)


Judul : Setitis Embun Semarak Api
Penulis : Shahnon Ahmad
Terbitan : Alaf21 Sdn Bhd
ISBN : 978-983-124-273-5
Harga : RM 20.00


Judul : MahaMaha
Penulis : Shahnon Ahmad
Terbitan : Pustaka Jiwa Merdeka
ISBN : -
Harga : RM 5.00 (Kedai Buku Terpakai)


Judul : NuruL Anak Papaku
Penulis : Shahnon Ahmad
Terbitan : Pustaka Jiwa Merdeka
ISBN : - 
Harga : RM 5.00 (Kedai Buku Terpakai)

Memiliki buku-buku langka SN Shahnon Ahmad merupakan teruja yang besar untuk tahun 2010. Buku-buku Shit, MahaMaha, Nurul Anak Papaku, merupakan suatu pembelian yang tidak disangka. Mungkin sudah tidak akan ditemukan buku-buku ini di kedai-kedai buku yang ternama, tapi boleh sahaja dicari di kebanyakan kedai buku terpakai di dalam negara. Salah satunya di Pasar Chowrasta, P. Pinang. 




Judul : Ruang Perjalanan
Penulis : S. Othman Kelantan
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN : 978-983-46-0119-5
Harga : RM 18.00

Novel ini memberikan suatu penceritaan serta pemikiran yang berbeza bagi saya. Jika ada perkataan yang menggambarkan perkara menarik yang sungguh-sungguh, itulah perkataan yang sesuai untuk novel ini. Kali terakhir saya melihat buku ini di laman sesawang Dawama. Dan stok untuk buku ini masih ada. Klik. Atau jika sudah kehabisan stok, boleh sahaja dihantar emel bertanyakan mengenai novel ini kepada mereka.Mungkin jika ada ramai yang bertanya, tidak mustahil untuk dicetak semula novel hebat ini.


Judul : Kisah Pembuat Lilin Melawan Matahari
    dan lain-lain satira ekonomi-politik 
Penulis : Frederic Bastiat
                 Leonard E. Read
             Jonathan Swift
                            Jane Haldimand Marcet
Terbitan : Middle-Eastern Graduates Centre Sdn Bhd
ISBN : 978-983-3912-13-1
Harga : RM 10.00

Buku ini menghimpun terjemahan beberapa cerita pendek dari penulis-penulis luar negara. Boleh saya katakan ia lain dari yang lain. Menjentik akal. Baca ulasan saudara Roslan Jomel. Klik.




Judul : Atheis
Penulis : Achdiat K Mihardja
Terbitan : PT Balai Pustaka
ISBN : 978-979-407-185-4
Harga : RM 38.50


Judul : Putri
Penulis : Putu Wijaya
Terbitan : PT Pustaka Utama Grafiti
ISBN : 979-444-433-2
Harga : RM 42.00

Kedua-dua buku dari negara jiran Indonesia itu sangat menarik minat saya. Achdiat K Mihardja memang telah lama saya mendengar nama dan mencari-cari Atheisnya. Novel ini novel lama yang kali pertamanya diterbitkan pada tahun 1949. Secara ringkasnya mengisahkan seorang pemuda yang taat kepada agama Islam namun kerana pergaulan bersama rakan-rakan yang berfahaman ateis, dia terpengaruh.

Novel Putri pula merupakan buku pertama dari Putu Wijaya yang saya miliki sebelum saya membeli Nora dan Mala. Buku Putri ini merupakan salah satu buku yang menarik minat saya pada kali pertama terpandang.

Itu antara buku-buku yang saya rasa sangat hebat yang telah memasuki rak buku saya untuk tahun 2010. Sekadar untuk berkongsi bahan bacaan yang menarik yang saya miliki. 

Mengharapkan buku yang lebih hebat lagi bagi tahun 2011 ini.

*Buku pilihan untuk tahun 2010 telah dipilih dan akan dientrikan dalam entri-entri yang akan datang.

Wednesday, December 8, 2010

Melihat Buku Pilihan Sepanjang Tahun 2010

Memasuki bulan terakhir dalam kiraan kalendar masihi, membuatkan saya melihat-lihat semula sejumlah buku yang telah dibaca sepanjang tahun ini untuk dinamakan buku pilihan sepanjang 2010. 
     Dalam senarai saya untuk tahun ini, terdapat banyak sekali buku-buku, atau sebetulnya novel-novel, buat dipilih menjadi buku pilihan. Sememangnya tahun ini tahun yang paling banyak buku-buku baru memasuki rak saya. 
     Jikalau untuk tahun lepas saya telah memilih novel Srengenge-Shahnon Ahmad sebagai novel pilihan 2009, (klik) bagi tahun ini pula saya telah menyenaraikan beberapa buah novel yang telah dibaca pada 2010 ini untuk diangkat menjadi novel pilihan sepanjang tahun, antaranya adalah :


1) Tetralogi Laskar Pelangi - Andrea Hirata
     - Laskar Pelangi
     - Sang Pemimpi
     - Edensor
     - Maryamah Karpov


2) Dwilogi Padang Bulan - Andrea Hirata
     - Padang Bulan
     - Cinta Di Dalam Gelas


3) Ruang Perjalanan - SN S. Othman Kelantan


4) Tetralogi Dangdut - Putu Wijaya
     - Nora
     - Mala


5) Atheis - Achdiat K. Mihardja


     Itu antara novel yang telah saya senarai pendekkan untuk pilihan tahun ini. Semuanya merupakan novel-novel hebat yang berpeluang saya baca kandungannya. Rasanya tahun ini, tahun yang sukar sekali untuk saya menentukan novel yang mana menjadi pilihan. Namun apa yang pasti akan ada sebuah yang bakal saya pilih sebagai novel pilihan sepanjang tahun 2010.
     Tunggu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...