Thursday, July 5, 2012

Stereo Genmai - Ridhwan Saidi

1. Ini novel terbaru Ridhwan Saidi.

2. Judulnya Stereo Genmai. Genmai adalah sejenis teh. Stereo pula adalah sejenis sistem bunyi yang mempunyai kedalaman dimensi.

3. Selepas menamatkannya, saya rasa saya suka. Kemudian datang satu suara bertanya, kenapa suka? Saya cuba mengabaikan suara tersebut, tetapi ia berbunyi lagi, kenapa anda suka? Lantas saya mengambil naskhah novel tersebut dan membelek-beleknya. Kenapa aku suka?

4. Suara tersebut datang lagi, adakah anda suka tanpa mengetahui kenapa anda suka? Saya jawab, tidak. Tentunya aku punya sebab kenapa aku suka. Suara itu diam. Saya meneruskan bicara. Dan sebab-sebab itu tentulah luas pula. Salah satunya, novel ini membenarkan aku berimaginasi sejauhnya, keluar dari realiti masuk fantasi, keluar fantasi masuk halusinasi, keluar halusinasi masuk ilusi.

5. Lagi? Suara itu singgah lagi. Lagi apa? Tanya saya. Lagi, kenapa anda suka? Kalau setakat meraikan imaginasi, berlambak buku fiksyen di luar sana yang boleh rai. Eh, tapi memang itukan maksud fiksyen? Sesebuah tulisan yang dicipta dari imaginasi seseorang pengarang. Mengadakan sesuatu yang tiada di dunia nyata. Atau meniadakan sesuatu yang ada. Kalau anda suka novel ini hanya kerana ia bersifat imaginatif, bermakna, semua karya yang tergolong dalam fiksyen, anda akan suka. Jadi, bila masanya anda akan tidak suka?

6. Saya belek lagi novel tersebut. Saya cuba ingat kembali kisahnya. Watak utamanya seorang novelis, yang cuba untuk bermesra dengan salah seorang watak novelnya. Sebelum watak tersebut melarikan diri. Lari untuk mencari novelis lain yang dirasakan mampu memberi lebih kehidupan kepadanya. Kemudian novelis itu berusaha mencari dan memujuk kembali watak tersebut. Dan watak tersebut memberikan syarat supaya dia diberikan mata. Lebih kurang begitulah jalan ceritanya. Mula-mula saya suka sebab memang novel ini membawa saya ke dunia yang lain. Dunia di mana seorang penulis sedang menyiapkan novelnya. Imaginasi saya benar-benar bergerak tanpa batas. Kerana itu saya berasa suka.

7. Tapi selepas suara itu memberitahu bahawa memang fungsi fiksyen itu merayakan imaginasi dan kreativiti seseorang pengarang, saya kembali berfikir, lantas apa yang saya suka dengan novel ini kalau memang semua novel mempunyai imaginasinya sendiri-sendiri? Saya berfikir dan berfikir sebelum suara itu menyinggah lagi. Saya tahu kenapa anda suka. Saya pantas bertanya balik, kenapa?

8. Anda sukakannya kerana ia memiliki kelainan berbanding dengan novel-novel yang pernah dibaca. Saya cuba memikirkan kewarasan kata-kata suara itu. Kelainan yang seperti apa maksud kamu? Iya, kelainan. Kebanyakan novel yang pernah kamu baca menggunakan gaya yang sama, dan novel ini memberikan kamu satu sentuhan yang lain. Kerana itu kamu suka. Suka kerana kelainannya.

9. Saya tidak membalas apa-apa. Tapi kamu harus ingat, kata suara itu lagi, kelainan itu tidak selamanya akan menjadi kelainan. Sampai satu saat, ketika kamu telah sering membaca kelainan, ia akan menjadi biasa dan menjemukan pula. Kelainan yang sudah tidak kelainan lagi.

10. Saya kurang mengerti kemudian bertanya, jadi apa yang perlu aku lakukan? Tetapi suara itu tidak menjawab. Hey! Katalah apa yang harus aku lakukan? Masih tiada jawapan. Kemudian saya mula merenung kembali. Ada benar juga. Novel ini, atau sebetulnya, gaya penulis ini memang memberikan pengalaman menaakul yang berlainan kepada saya. Saya merasa ia unik dan jarang sekali saya temui pengalaman membaca yang seperti ini. Mungkin kerana itu saya suka.

11. Tapi benar juga, kalau saya telah sering pula membaca gaya penulisnya, kelainan serta keunikan itu tidak menjadi unik lagi. Lalu dari suka akan menjadi tidak suka. Meneroka daerah kelainan juga adalah subjektif. Mungkin bagi saya ia lain, tapi bagi pembaca lain pula ia adalah klise. Pengalaman membaca seseorang tidak sama dengan seseorang yang lain.

12. Kalau sampai satu masa saya sudah biasa dengan kelainan yang penulis ini bawakan, saya tidak akan lagi menyukainya, kerana ia sudah jadi klise. Lalu buku-bukunya saya tidak beli. Saya akan mencari penulis lain yang memiliki kelainan lain pula. Kerana saya hanya suka kepada kelainan.

13. Kerana itu, tiba-tiba suara itu muncul kembali, kerana itu, sukalah sesebuah karya kerana kebenaran yang dibawa. Kerana hakikat kebenaran yang terkandung di dalamnya. Sama ada ia merupakan pencerahan, keilmuan, kemanusiaan, keduniaan.

14. Jika anda sukakan ia kerana kelainannya, sedarlah, satu saat ia akan hilang kelainannya. Tetapi jika anda suka kerana kebenaran yang ditawar, sedarlah, kebenaran tidak akan pernah sirna.

15. Suara itu menghilang lagi. Dan saya tahu ia tidak akan kembali, sekurang-kurangnya untuk entri ini. Lalu saya duduk merenung memikirkan kata-katanya sambil menghirup udara panas pasca solat zohor.


*sudahkah kalian memiliki Gasak? Klik


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...