1. Ini adalah sebuah cerpen pendek/certot bercerita tentang himpunan Bersih 3.0.
2. Kaitannya dengan yang hidup, tiada. Kaitannya dengan yang mati pun, tiada.
ORANG ramai. Entah dari jihat mana, mereka
tiba-tiba muncul dan berkumpul dan membentuk lautan manusia. Semua dalam rona
kuning.
Datang
dari pelbagai arah, dalam kumpulan yang kecil, bergabung dengan kumpulan kecil
yang lain dan kumpulan kecil yang lain lagi, sebelum menjadi besar, sama-sama
dalam satu niat dan satu arah, menuju dataran.
Di
dataran, semua inci ruang telah dipenuhi dengan warna kuning.
Anggota
polis kelihatan berada di mana-mana, mengawal sebarang kemungkinan. Tapi para
penguning tersebut tidak berbuat apa-apa selain duduk sahaja. Maka tiada banyak
yang perlu dilakukan oleh mereka selain memerhati.
Suasana
kelihatan aman. Suka-suka dengan gelak tawa memenuhi ruang.
Bila
hampir tiga jam para penguning berada di dataran, himpunan pun berakhir.
Berdikit-dikit mereka pulang dengan wajah riang gembira, bersama isteri dan
anak-anak.
Terdapat
beberapa penguning yang masih belum pulang, mengutip sampah-sampah yang sedikit
yang ditinggalkan, lalu dibuang ke dalam tong sampah. Para pekerja DBKL
mengucapkan terima kasih. Pihak polis bersyukur semuanya lancar.
Dia
terjaga. Mimpi yang ngeri. Dia harus berbuat sesuatu agar mimpi itu tidak menjadi
realiti. Mana mungkin manusia boleh bertemu sebegitu tanpa wujud rasa sengketa.
Dia
berasa susah hati lalu memanggil kelima anaknya. Tsabar, Al-A’war, Miswath,
Dasim dan Zalinur masuk mengadap.
Arahan
dikeluarkan. Himpunan itu harus menjadi kacau-bilau.
“Kerahkan seluruh syaitan
untuk menghasut. Ingat! Jika misi gagal, tangan serta kaki mereka semua akan
dipotong!”
Kelima
anak Iblis memberi tunduk hormat kepada ayahandanya sebelum keluar melaksanakan
tugas masing-masing. Iblis menaruh keyakinan yang tinggi terhadap anak-anaknya.
Kerap kali Iblis menceritakan kepada mereka, sebagai motivasi, tentang helahnya
yang berjaya menghasut seekor ular ketika ingin menggoda Adam suatu masa dahulu. Ular
itulah yang telah membawanya masuk ke dalam syurga.
Tapi
Iblis masih merasa bimbang. Manusia tidak boleh dibiarkan hidup dalam keadaan
harmoni.
“Kita
tidak boleh hadirkan rasa simpati kepada manusia seluruhnya. Bahkan, bukan sahaja
manusia, tetapi juga binatang.” Kata Iblis menerangkan bagaimana ular yang
dihasut itu kemudiannya dihukum dengan seumur hidup berjalan di atas perut.
Bila
hari Sabtu 28 April berakhir, anak-anaknya datang membawa khabaran gembira.
Manusia bergaduh dan merusuh.
Iblis
sangat senang hati. Iblis ketawa terbahak-bahak.
No comments:
Post a Comment