Tuesday, December 13, 2011

Fiksyen 302 - Ramlee Awang Murshid

1. Usai membaca novel terbaru dan terakhir bagi tahun 2011 Ramlee Awang Murshid ini, saya telah memilih beberapa nama pelakon untuk diberi penilaian oleh pengarah, jika novel ini mahu diadaptasi ke filem.

2. Tetapi saya tak berjumpa dengan mana-mana nama pelakon tempatan yang cocok untuk watak Alias. Mungkin elok juga diambil pelakon luar, Indonesia ke, untuk watak itu supaya filemnya lebih internasional.

3. Pertengahan tahun 2011 dulu, saya ada menulis sikit tentang novel Fiksyen 302 ini. Lihat sini.

4. Pertama-tamanya marilah kita mengangkat kedua belah tapak tangan dan melakukan tepuk tepuk secara serentak. Tepuk-tepuk-tepuk. Tahniah untuk penulis yang berhasil melahirkan sebuah karya yang bagi saya sangat unik.

5. Tak mudah untuk menjadi seorang Ramlee Awang Murshid. Mengeluarkan novel-novel thriller saban tahun, dan terpaksa memikirkan suatu suasana dan keadaan konflik yang berbeza pula untuk setiap cerita novelnya bagi memberi keseronokan dan sekali gus pengajaran kepada para pembaca. Marilah kita tepuk tepuk lagi, tepuk-tepuk-tepuk.

6. Fiksyen 302 mengisahkan tentang beberapa siri pembunuhan yang dilakukan oleh beberapa orang suspek dengan modus operandi yang serupa. Namun selepas ditahan, kesemua suspek itu terlepas dari hukuman gantung mandatori kerana didapati kurang siuman, bermasalah mental ketika melakukan pembunuhan.

7. Penulis bermain dengan banyak teka-teki terhadap watak-wataknya. Dan seperti biasa, penggunaan masa, masa silam, masa kini, masa hadapan, menjadi senjata utama untuk penulis menggerakkan cerekanya. Dan sekali lagi, ia berjaya.

8. Saya tidak berniat untuk membuang saspens kepada sesiapa yang belum membaca novel ini dengan menulis satu-persatu jalan ceritanya, tetapi saya ingin berkongsi beberapa tip yang mungkin berguna untuk pembaca agar nanti tidak 'lost', 'hilang' atau 'sesat' tatkala sedang menguliti Fiksyen 302.

9. Mula-mula tentang masa yang anda peruntukan. Pastikan diluangkan waktu yang panjang dalam sekali anda membaca. Contohnya dalam 30minit ke 1jam, kemudian baru berhenti dan melakukan perkara-perkara lain. Tabiat membaca satu bab sehari sangat tidak digalakkan, anda akan berasa pening dengan jalan cerita dan kemungkinan untuk anda tak habis baca adalah tinggi.

10. Keduanya, buat spekulasi. Turut sama terlibat dengan watak. Rangka apa yang akan berlaku, siapa sebenar watak ini, siapa sebenar watak itu, kemudian, jangan percayakannya!

11. Bagi saya novel ini membuatkan ingatan menjadi lekas teringat kepada cerita CSI. Dia bagi satu situasi, diberi sikit-sikit bayangan tentang siapa yang jahat, kemudian dia buat penonton meyakini si jahat tersebut benar-benar jahat, lalu dikaburkan cerita, didatangkan bukti baru, dipusing 360 darjah, dan akhirnya membuatkan penamat yang tak disangka-sangka.

12. Bercerita mengenai pelakon yang saya pilih untuk melakonkan watak-watak dalam novel ini. Mula-mula watak Zonan. Ini milik Bront Palarae. Watak Farid Ja'ah - Beto Kusyairi. Noorhafiza Izura, ini jatuh kepada Izreen Azminda, sesuai sekali. Dan watak Rita Yuzalina pula akan dijayakan oleh Tiz Zaqyah. Untuk watak Hizamnuddin Awang pula, mungkin pembaca lain boleh memberikan cadangan.

13. Akhir sekali, novel ini memang memiliki pesona yang kuat, sukar sekali untuk tidak menyukainya. Dan untuk projek terbarunya Sunan Musafir, Ramlee Awang Murshid berkata, "Ya, novel ini merupakan episod terakhir kisah Saifudin aka Laksamana Sunan. Maka bersiap-siaplah untuk merinduinya selepas ini."



4 comments:

mun mun said...

wah.. x sbar nk g bli novel nh. smalam bru abis baca rayyan fantasi..

Anonymous said...

dah beli la novel ni.....
Penuh dengan ilusi fantasi dan sangat kejam

Anonymous said...

i like this book...so brutal

Hanis Hunny said...

ya..buku niy mmng bgusss...two thumbs up!! respect kt ramlee awang murshid! buku yg sngt bguss....jlan crita yg 'smart' bg sy..yuhuuuuu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...