Tuesday, March 8, 2011

Cerpen Pendek - Saman Tak Berekor

Besoknya kelas 1M penuh dengan kucing-kucing berbagai warna dan rupa juga bangsa. Seperti yang telah dipersetujui oleh mereka semua, bahawa hari ini akan diadakan pertandingan kucing comel antara murid kelas 1M. Yang akan menjadi pengadilnya adalah Cikgu Najib, guru kelas dan Guru Besar, Puan Rosema.
            Maka, riuhlah suasana di dalam kelas 1M pagi itu. Bahkan dikatakan lebih riuh dan gamat daripada suasana orang bayar saman di kaunter-kaunter seluruh negara.
            Setiap murid mengeluarkan kucing peliharaan masing-masing. Ada yang putih, hitam, tompok-tompok, kelabu, jingga, dan bermacam lagi.
            Keadaan yang meriah sebegitu telah menarik perhatian murid-murid dari kelas bersebelahan. Rasa ingin tahu mereka melonjak-lonjak dalam dada sehingga penuh tingkap-tingkap dalam kelas 1M dengan kepala-kepala murid yang mengintai-intai ingin mengikuti perkembangan pertandingan kucing comel itu.
            Cikgu Najib berasa sedikit bangga kerana kelasnya mendapat perhatian. Juga kerana dia melihat Puan Rosema mengangguk-angguk suka dengan kucing-kucing yang dibawa murid sambil membelai-belai tengkuk setiap kucing itu. Sekali-sekala Cikgu Najib merasa-rasa tengkuknya sendiri. Khayalannya menerawang jauh.
            Pertandingan berlangsung dengan penuh suasana ceria. Puan Rosema dan Cikgu Najib masing-masing telah ada kucing pilihan. Duduklah kedua mereka berbincang untuk mencari kucing tercomel pagi itu.
            Lalu setelah disepakati, diumumkan bahawa kucing Parsi milik Isemail Omar sebagai pemenangnya. Pemilihan dibuat berdasarkan keadaan kucing Parsi itu yang berbulu agak tebal dengan warna keperang-perangan, sungguh comel bila dipandang.
            Namun sebenarnya, Cikgu Najib lebih suka dengan seekor kucing, yang seperti didakwa oleh murid itu, berasal dari Mongolia. Tetapi melihatkan Puan Rosema telah beriya-iya dengan kucing Parsi itu, maka dianggukkan sahaja kepalanya tanda setuju.
            Tiba-tiba berlari ke arah mereka seorang murid, Saman Bin Abu, dengan membawa seekor kucing.
            Maaf cikgu saya lambat. Ini kucing saya.
            Maka tidak tergambarlah pula rasa terkejutnya kedua orang cikgu itu apabila melihat kucing itu tidak berekor. Yang sebenarnya telah dipotong ekornya!
            Mana ekor kucing kamu ini?
            Bapak saya sudah kerat ekor dia, cikgu. Bapak saya marah sebab dia dapat banyak saman ekor sampai ribu-ribu. Balik dari bayar saman ekor, bapak jadi benci dengan setiap ekor. Habis semua ekor kucing kami di rumah bapak kerat. Nyaris juga ekor anjing jiran sebelah bapak nak kerat sebelum ibu sempat menyabarkannya.
            Melihat keadaan itu, Cikgu Najib dan Puan Rosema merasa simpati lantas mengumumkan kucing Saman yang tak berekor itu menjadi pemenangnya.
            Selepas dari itu, kucing itu digelar, kucing Saman Tak Berekor. Nama itu kekal sehingga ke akhir hayatnya.

1 comment:

Anonymous said...

hahaha..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...