Tuesday, February 8, 2011

Bendera Di Atas Bukit & Rumah Rahsia - A. Samad Said

Kedua-dua buah buku ini adalah terbitan PTS Fortuna Sdn Bhd yang mana edisi asalnya adalah terbitan Wira Bukit yang diterbitkan dalam tahun 2008.

Kehadiran dua buah buku ini, dengan tampilan yang lebih 'mesra remaja', adalah suatu usaha yang patut dipuji. PTS memang dikenali dengan buku-buku keluaran mereka yang memiliki kualiti 'luaran' mahupun 'dalaman'. Sesuai benar dengan 'slogan' mereka, 'memandaikan bangsa'.

Secara peribadi, saya pernah bersemuka dengan orang yang disebalik syarikat PTS ini, Puan Ainon Muhammad di kediamannya di Janda Baik, Pahang. Seorang yang memiliki wawasan dan pandangan yang jauh, juga sangat memotivasikan.

Menerbitkan semula kedua buah karya Pak Samad ini boleh dilihat sebagai suatu usaha beliau dan tim PTSnya bagi membawa tulisan-tulisan yang bermutu dari penulis-penulis hebat negara kepada khalayak, lebih-lebih lagi kepada para remaja.

Agar bahan bacaan yang dibaca remaja kita akan mematangkan, meluaskan, dan mencabar daya fikiran mereka, sambil memberikan contoh-contoh teladan yang baik untuk diikuti.

Selain itu, usaha ini juga akan merapatkan lagi hubungan antara sasterawan negara dengan para remaja. Bermula dengan dua buah buku ini, para remaja akan mula mengenali Pak Samad, dan perlahan-lahan akan mencari karya-karya beliau yang lainnya, yang lebih besar.

Buku ini mengisahkan kehidupan sekumpulan remaja. Bersahabat baik dan sering melakukan aktiviti bersama. Pada buku Bendera Di Atas Bukit, kumpulan remaja itu, yang diketuai oleh Abu, melakukan penyiasatan mengenai kes kecurian di kawasan mereka. Manakala buku Rumah Rahsia, mereka cuba merungkaikan rahsia yang terdapat pada sebuah rumah lama.

Kira-kira kedua buah buku ini berkisah tentang siri penyiasatan remaja. Menarik. Lebih-lebih lagi untuk remaja. Buku ini mengusik rasa ingin tahu dari bab ke bab tentang penyiasatan para remaja itu. Juga dengan watak-watak di dalam novel itu yang belia remaja semuanya, Abu sebagai ketua berusia 14 tahun.

Secara keseluruhan, kedua buah buku ini memang wajar dimiliki. Lebih-lebih lagi oleh ibu bapa untuk dijadikan bacaan kepada anak mereka.

Cuma, satu perkara yang agak mengecewakan saya. (Harap orang-orang PTS membaca ini)

Terdapat sekalian banyak kesalahan dan kesilapan ejaan di dalam kedua-dua buah buku ini. Bukan satu atau dua, tetapi lebih.

Seolah tergambarkan buku ini tidak diedit dengan sempurna sebelum dicetak. Seolah juga membayangkan bahawa buku ini dipandang 'sebelah mata' kerana ini bukanlah karya yang besar dari Pak Samad. Janji siap.

Kadang, sakit jiwa membaca buku yang dibuat dengan sambil lewa ini. Mari saya contohkan 'sedikit' apa yang mengecewakan saya itu.

1.  "Ingat apa kata Cikgu Musa? Kalau tak berjaya kita tak harus mungkir janji. Saya tak akan mungkir janji," kata Abu. (seharusnya : NAK)-Rumah Rahsia (ms 13)

2.  Dia memberitahu juga dalam masa cuti ini kawannya Yusuff akan belajar kesal isi hutan, ... (seharusnya : KENAL)-Rumah Rahsia (ms 22)

3.  "Esah, sekarang awak jadi tukang tengok saja. Nanti awak ikut bergaduh nama," kata Yahaya. (seharusnya : SAMA)-Rumah Rahsia (ms 27)

4.  "Saya dengar ke mana awak bawa sampai saya yang dipinjam dulu. Sulaiman yang memberitahu." (seharusnya : SAMPAN)-Rumah Rahsia (ms 30)

5.  "Maafkan saya," kata Majid. "Saya yang bersalah." Sekurang-kurangnya saya datang bawa bendera ni. Lambat tapi ada yang dibawa. Saya cepat, tapi tak bawa apa-apa." (seharusnya : AWAK) -Rumah Rahsia (ms 33)

6&7&8.  Tidak berapa jauh dari lembut-lembu itu kelihatan pula dua orang budak sedang meniup harmonika lagi India. "Tengok senangnya jaga lembut," kata Rukiah. (seharusnya : LEMBU-LEMBU), (seharusnya : LAGU?), (seharusnya : LEMBU)-Rumah Rahsia (ms 51)

9. Dan lain-lain.

Itu antara yang rajin untuk saya catitkan di sini. Ada beberapa lagi kesilapan, namun saya rasa cukuplah saya menulis dll itu.

Kesilapan-kesilapan kecil begini tidak patut berlaku. PTS bukan sebuah syarikat penerbitan yang baru hendak bertapak, sudah memasuki tahun ke-11 pun sejak Puan Ainon menubuhkan PTS Publications & Distributors pada tahun 2000.

Menolak kesemua kesalahan ejaan itu, kedua buah buku ini adalah menarik. Dengan reka kulitnya yang begitu 'menyeronokkan' jika dipandang menjadi tarikan utama selain nama A. Samad Said itu sendiri.

Lama kemudian baru saya sedari, bahawa kedua buah buku ini jika dicantumkan sebelah-menyebelah, akan menjadi satu design yang menyempurnakan kulit depan dan belakangnya. Menarik juga.
Buku ini boleh diperolehi di toko-toko buku berhampiran dengan harga RM 9.00 bagi semenanjung dan RM 10.00 bagi Sabah dan Sarawak.

11 comments:

ulasbuku said...
This comment has been removed by the author.
ulasbuku said...

Sdr melihat buku,

Saya tak pernah baca edisi Wira Bukit. Tetapi saya jadi musykil kalau-kalau kesalahan-kesalahan yang saudara bangkitkan ini mungkin berasal daripada Edisi Wira Bukit lagi; itu yang lebih memilukan.

melihat buku said...

Tuan mxypltk,

Mungkin kesilapan yang tidak disengajakan semasa menaip semula buku ini. Mungkin...

Tapi buku Pak Samad ini menarik menurut saya. Lebih-lebih lagi sebagai bahan bacaan untuk para remaja kita. InsyaAllah boleh dicuba membacanya.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi said...

Salam ziarah,
Tuan, sungguh, mata ialah hakim yang pertama menilai sebuah buku. Dariu mata turun ke hati, bukan?

Akhuka
al-Kurauwi

melihat buku said...

Tuan,
Sungguh begitulah. Hebatnya kombinasi mata dan hati ini.

Zahiruddin Zabidi said...

Assalamaualaikum tuan,

Penulis-penerbit-pembaca adalah kombinasi penting kepada sebuah buku.

Andai semuanya boleh bergabung dengan berhikmah, pasti dunia perbukuan kita akan lebih mantap.

Insya-Allah mesej tuan ini akan langsung saya panjangkan kepada mereka yang berwajib.

Terima kasih, tuan.

Editor PTS.

melihat buku said...

Waalaikumussalam Ustaz,

Terima kasih di atas perhatian yang diberikan.

Suka dengan kombinasi penulis-penerbit-pembaca itu.

*Tahniah untuk kelahiran Nian Hati Salsabila. Jika masih punya stok bukunya dengan ustaz, boleh saya memesan.

Adlynn said...

Assalamu'alaikum,

Saudara Melihat Buku,

Saya berpeluang memanfaatkan masa senggang dengan membaca kedua-dua buah buku tersebut.Benar dan diakui terdapat agak banyak kesalahan dan kesilapan ejaan namun intipati buku ini ternyata masih menarik.Apa yang pasti pujian harus diberi pada ilustrasi kulit buku.Terdapat kisah di mana kala berbual dengan anak buah saya (sudah semestinya generasi 'facebook,twitter dan yang sealiran dengannya), saya menyatakan bahawa anak-anak zaman ini terlalu leka dengan 'dunia baru'mereka hingga tiada minat membaca sedangkan saya sudah mula mengenali nama seperti'Tongkat Waran'& Arena Wati dari sekolah rendah lagi; mereka itu sasterawan negara. Sekadar ingin menduga tambahan pula buku-buku ini baru menjadi 'penghuni' rumah dan kelihatan kulitnya berjaya menarik perhatian mereka.Dengan yakin terdengar jawapan, "Tau, A.Samad Said!".Semoga daripada hanya membaca kulit buku pada awalnya barangkali ia boleh merebak pada isi kandungannya pula, selamat membaca semua!

melihat buku said...

Waalaikummusalam,

Ya setuju. Tak ramai anak-anak yang kenal dengan sasterawan negara. Kalau kenal pun sekadar nama, seperti A. Samad Said dan Abdullah Hussain (ini pun kerana Interloknya)

Kehadiran buku pak Samad yang sebegini, diharap dapat menarik minat mereka untuk membaca karya-karya yang punya nilai di dalamnya.

Aly said...

Saya juga sudah habis baca kedua-dua buku itu.

Karya-karya sebegini memang menarik minat saya untuk membacanya. Lebih lagi dengan ilustrasi muka depan.
Tapi sayang, ada kesalahan ejaan...

Zahiruddin Zabidi said...

Mohon maaf, tuan. Kerana saya tidak perasan akan post balas tuan di atas.

Makluman tuan ini sudah saya panjangkan kepada editor yang bertanggungjawab. Terima kasih sekali lagi atas keprihatinan pihak tuan.

Berkenaan dengan Nian Hati Salsabila, apakah tuan sudah memilikinya? Jika belum, mohon dipanjangkan alamat rumah ya.

Terima kasih.

Nota: Ala kulli hal, Salina tidak jadi diterbitkan PTS.

www.kalamkhalifah.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...