Bayangkan, seorang penduduk kampung di dalam pedalaman hutan sana, berpindah dan tinggal di ibu kota.
Bayangkan, seorang penduduk bandar yang tinggal di dunia penuh kemajuan, dunia yang ditujah langit-langitnya dengan bangunan tegak berdiri, berhijrah dan menetap di kampung orang asli yang hanya diatapi pokok hijau.
Novel Bahlut ini merupakan novel bersiri yang ditulis antara pertengahan tahun 2000 sehingga 2008 untuk majalah Tunas Cipta terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pernah terencat seketika sirinya sebelum disambung semula.
Bahlut mengisahkan seorang pemuda orang asli asal dari pedalaman hutan Pahang yang tinggal berdua bersama ibunya, Embun.
Penulis, Faisal Tehrani, cuba membawa pembaca mendekati kehidupan masyarakat orang asli yang jarang sekali diambil peduli cerita mereka.
Embun digambari sebagai seorang wanita yang cekal dan kuat berusaha setelah 'kematian' suaminya, Tiji.
"Bangun seawal 6 pagi, ibunya Embun sudah sibuk mengangkut air dari perigi. Melepaskan ayam dan itik dari kurungan dan bergerak memungut hasil hutan." (Bahlut (2010) ms 18)
"Sesekali andai terserempak dengan kera atau biawak, dan kebetulan ada sumpitan siap berlumur racun getah ipoh, ibunya akan mensasarkan binatang buruan tersebut. Memang berburu begitu bukan kerja orang perempuan. Namun sejak kehilangan bapanya mereka harus merubah tabiat dan gaya hidup. " (ms 19)
Watak Embun juga diceritakan sebagai seorang yang berpandangan jauh. Menginginkan anaknya, Bahlut, untuk melanjutkan pelajaran ke universiti di Kuala Lumpur.
"Hukum sayet atau tidak, hek ikut saja cakap eng." Begitu marah Embun, mengomel terus-terusan. Dalam benak Embun dia mahu Bahlut belajar sehingga masuk universiti di Kuala Lumpur. Dia mahu Bahlut mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan." (ms 22)
Kesungguhan untuk melihat anaknya berjaya begini jarang sekali kita terfikirkan terhadap masyarakat orang asli. Mereka lahir di pedalaman hutan, membesar, dan menghabiskan usia hidup di dalam sana, tanpa memperduli tentang selain dari kehidupan di dalam hutan itu.
Namun penulis, merubah tanggapan itu. Betapa masyarakat orang asli juga mementingkan pendidikan dan menitikberatkan ilmu.
Perjalanan sebenar Bahlut bermula apabila ibunya tiba-tiba 'ghaib' semasa di dalam hutan.
Dan gurunya, cikgu Zaiful telah menawarkan Bahlut untuk berpindah ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama abangnya di sana, Zaidi.
Di Kuala Lumpur inilah Bahlut mengenal dunia atlet. Dunia sukan olahraga.
Sementara Bahlut di Kuala Lumpur, cikgu Zaiful dan beberapa orang rakan di kampung sana, telah mengesan wujudnya syarikat pembalakan yang secara haram telah membalak hutan di dalam kawasan kampung mereka.
Meratah dan menodai hutan dara di kampung mereka.
Penulis membawa isu rasuah, isu korupsi bilamana mereka yang berkuasa telah ditutup mulut mereka oleh syarikat pembalakan ini sehingga dengan wewenangnya mereka dapat menebang satu batang demi satu batang pokok di situ.
Bahkan Tok Batin yang menjadi ketua dan pemimpin kepada masyarakat orang asli di sana turut disuap sehingga merelakan sahaja hutan mereka dinodai.
"Memang banyak musuh hek nampaknya. Itu, Batin Endau pun nampaknya terlibat."
(ms 200)
Penyiasatan mereka juga telah mengakibat salah seorang daripada mereka terkorban.
Bahlut di Kuala Lumpur pula, setelah mengetahui mengenai pembalak haram serta ada pula nyawa yang terkorban kerana syarikat pembalakan itu, telah berjanji untuk menuntut bela.
Siapakah yang telah menjadi korban? Dan cara bagaimana pula Bahlut mahu mendapatkan keadilan? Semuanya di dalam novel Bahlut ini.
Seperti yang dinyatakan pada awal perenggan, novel bersiri ini pernah terhenti seketika keluarannya di atas masalah-masalah teknikal, kerana itu kita dapat merasakan beberapa kesumbangan pada beberapa tempat.
Sebagai contoh pada watak Razak. Pembaca dikenalkan pada watak Razak yang merupakan seorang atlet lumba lari yang merupakan pesaing kepada Bahlut.
Bahkan Razak ini lebih deras pencutannya berbanding Bahlut.
"Abang Rafik memadukan satu pertandingan khusus antara Bahlut dan Razak. Memang Razak menewaskan Bahlut dari segi kepantasan, tetapi masa yang dicatatkan oleh Bahlut semakin baik dan sedikit sebanyak menggerunkan Razak." (ms 128)
Dan kemudiannya watak Razak ini diwujudkan sebagai watak antagonis yang amat tidak menyenangi Bahlut dalam setiap perbuatannya. Lagi, berasa iri hati terhadap kemesraan Bahlut dan Belle sehingga pernah mencetuskan perkelahian antara mereka.
"Sakai, aku nak ingatkan kau. Jangan nak kacau Belle, faham!" Razak mencekak baju Bahlut. (ms 127)
Pada bahagian ini, seperti cerita kehidupan Bahlut sebagai seorang atlet akan dibayangi oleh rasa dengki Razak itu pada keseluruhannya.
Namun, watak Razak ini 'mati' dengan tiba-tiba. Selepas dari insiden pergaduhan dengan Bahlut itu, Razak terus 'dihilangkan' oleh penulis.
Tiada lagi kisah hasad Razak ini.
Suatu tanda tanya kepada penulis, kemanakah Razak?
Barangkali ia terkait dengan terencatnya siri novel ini pada waktu itu sehingga penulis menukar plot ceritanya. Mengubah fokus pembaca kepada sesuatu yang lebih besar.
Juga terdapat persoalan bagaimana dengan mudah pula Kartika bersama Embun (ibu Bahlut yang disangka telah mati) lari keluar dari hutan di Pahang menuju Kuala Lumpur.
Di dalam novel ini yang ditulis selama lebih kurang lapan tahun, kita dapat rasakan perubahan pada gaya penulisan Faisal Tehrani. Lenggok bahasa yang lebih mengenakkan pada separuh terakhir novel ini ditulis.
Kerana itu novel ini tidak mengecewakan. Novel terbitan Al Ameen ini boleh diperolehi dengan harga RM 23.00. Tidak sukar untuk mendapatkannya di toko-toko buku kerana ini antara buku terbaharu keluaran Al Ameen.
Selamat membaca dan selamat mengambil manfaat dari bacaan.
No comments:
Post a Comment