Friday, February 26, 2010

165 Kebiasaan Nabi - Abduh Zulfidar Akaha (Best Seller)




12 Rabiulawal


Pada tarikh ini, tidak berapa lama dahulu, telah lahir seorang insan agung. Perkataan 'agung' itu sendiri sebenarnya tiadalah dapat untuk melakar, menggambarkan keagungan insan agung itu. Kelahiran insan mulia. Insan yang dinanti sekalian makhluk Tuhan. Muhammad bin Abdullah. Rasul dan Kekasih Allah.

Bila tiba pada tarikh ini, sejak beberapa dekad yang lampau, umat Islam seluruh dunia akan meraikannya. Raikan dalam erti yang berbeza-beza. Meraikan hari ini adalah sebagai tanda memperingati akan kelahiran Baginda Nabi. Sebagai tanda kecintaan kepada Baginda.

Di Malaysia, hari ini, pada kebiasaannya perarakan-perarakan akan diadakan sebagai memperingati hari kelahiran junjungan umat ini. Dari perarakan di peringkat kebangsaan, sehingga ke peringkat kampung-kampung pedalaman. Ada juga pada setengah-setengah tempat dijemput ustaz-ustaz buat menyampaikan ceramah tentang hari kelahiran Baginda Nabi ini. Gema selawat akan kedengaran dimana-mana pada hari ini. Semua perkara itu dilakukan adalah diatas dasar kecintaan yang penuh kepada Nabi akhir zaman ini.

Namun dari dahulu, apabila tiba pada tarikh ini, pasti tidak sunyi dari suara-suara yang menyatakan ketidakwajaran sambutan-sambutan serta perarakan-perarakan dalam usaha untuk meraikan Maulidur Rasul ini. Suara-suara yang kedengaran tegas melabelkan perbuatan ini adalah sesuatu yang salah dan bertentangan dengan ajaran Nabi itu sendiri.

Memangnya tiada hadis yang memerintahkan untuk kita menyambut Maulidur Rasul ini. Bahkan di zaman Baginda Nabi sendiri, tidak pernah diadakan perarakan-perarakan seperti yang kita lakukan sekarang ini di hari kelahiran Baginda.

Tapi apa yang pasti, ulama berpendapat bahawa meraikan hari kelahiran Nabi sebagai tanda cinta dan kasih kepada Baginda, hukumnya adalah harus selagi ia tidak bertentangan dengan syariat. Ada juga ulama yang menyatakan bahawa kegiatan-kegiatan yang dilakukan pada hari kelahiran Nabi Muhammad saw ini adalah sesuatu yang berbentuk bidaah hasanah. Walau Prof Dr Yusuf Qardawi menyifatkan tiada apa yang dipanggil dengan bidaah hasanah, namun sesuatu perbuatan baik dan bermanfaat sekalipun tiada pada zaman Nabi, selagi ia bertunjang pada tiang untuk menuju kecintaan Allah dan Rasul, ianya tiadalah salah.

Perarakan-perarakan dan pelbagai sambutan lain yang sedang kita lakukan ini paling tidak akan memberikan rasa 'lain' pada tarikh 12 Rabiulawal ini. Rasa bahawa hari ini bukanlah seperti hari-hari biasanya. Bukanlah seperti hari cuti umum yang lainnya. Hari ini, pada tak berapa lama dahulu, telah lahir Baginda Nabi Muhammad saw.

Dengan menciptakan suasana 'lain' itu, ianya seolah-olah membuka ruang pertanyaan untuk anak-anak kecil kita bertanya,

"Ibu, hari ini ada apa?"

"Ayah, kenapa kita berkumpul-kumpul dekat sini?"

Persoalan-persoalan seperti itu perlu dijawab dengan jelas. Perlu diterangkan hari ini hari apa. Perlu diperkenalkan anak-anak kita dengan peribadi mulia, insan besar, Muhammad bin Abdullah.

Untuk itu para ibubapa juga harus mempersiapkan diri dengan ilmu tentang siapa dia Muhammad saw.

165 Kebiasaan Nabi

Saidina Ali Karramallahu Wajhah duduk termenung di depan pintu rumahnya sambil memegang segelas susu yang sudah basi. Melihat itu, sahabatnya bertanyakan kepada beliau mengapa beliau meminum susu yang sudah basi? Padahal beliau seorang khalifah, boleh saja mendapatkan susu yang masih baik dan segar. Saidina Ali menjawab bahawa dia pernah melihat Rasulullah saw duduk di depan pintu sambil memegang segelas susu yang sudah basi. Sama seperti apa yang beliau sedang lakukan.

Saidina Umar Al Khattab saat mencium hajartul aswad pernah berkata, " Sesungguhnya aku tahu, bahawa kau hanyalah sebuah batu. Jika bukan kerana aku melihat Rasulullah saw menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu."

Itu antara pembuka bicara kepada buku yang sedang saya lihat ini. Buku tentang kebiasaan-kebiasaan Nabi saw. Buku tulisan Abduh Zulfidar Akaha. Diterbitkan oleh Pustaka Al Kautsar. Dengan cetakan pertama pada Mei 2002, sementara yang berada pada tangan saya kini adalah cetakan keenam, April 2007. Buku ini meraih 'best seller' di Indonesia.

Petikan perbuatan para sahabat diatas menunjukkan betapa cinta dan kasihnya mereka kepada Rasulullah saw. Sehingga setiap perbuatan Nabi walau bukan dalam bentuk ibadah, tetap mereka ikuti. Bahkan pada setiap bekas tapak kaki Nabi juga mereka mahu lalui. Setiap inci gerakan Nabi, mereka mahu turuti. Ini semua tidak lain hanya kerana rasa cinta yang begitu besar mereka kepada Nabi Muhammad saw.

Justeru atas nama cinta itu jugalah, buku '165 Kebiasaan Nabi' itu terlahirkan.

Buku '165 Kebiasaan Nabi' ini menghimpunkan 165 perbuatan-perbuatan Baginda Nabi yang sering atau selalu dilakukannya. Dari hal kebiasaan solatnya, kebiasaan pada hari Jumaatnya, kebiasaan pada bulan puasanya, kebiasaan dalam makan dan minumnya, kebiasaan dalam tidurnya, kebiasaan dalam bermusafirnya, kebiasaan pada zikir dan doanya, dan beberapa bab lain lagi yang membicarakan hal-hal kebiasaan Baginda Nabi saw.

Dalam setiap bab , buku ini akan memberikan satu atau lebih hadis untuk memperkuatkan tentang sesuatu yang menjadi kebiasaan Nabi yang sedang dibicarakan itu. Bab demi bab kita disajikan dengan hadis sebagai bukti bahawa perbuatan itu shahih dari Baginda Nabi saw.

Buku ini sedikit sebanyak membuat kita lebih mendekati Baginda. Membuat kita tahu apa yang biasa Nabi kerjakan pada waktu-waktu tertentu. Buku setebal 494 muka surat ini, sangat bermanfaat untuk dibaca dan dihayati serta diamalkan kandungannya. Jika tidak dapat mengikuti keseluruhan 165 kebiasaan yang terdapat di dalam buku ini, paling tidak kita berusaha untuk cuba memperlakukannya apa yang Nabi lakukan walau cuma dua tiga perkara. Moga-moga dua tiga perkara yang kita lakukan dengan istiqomah itu nanti, bisa menjadi bukti bahawa kita juga mencintai Rasul Allah.

Selamat Maulidur Rasul. Selamat membaca. Selamat beramal.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...