Saturday, October 23, 2010

Melihat Buku di Tivi


Ketika Oprah Winfrey mengundang seorang penulis buku ke dalam rancangannya, ia bagaikan orang mengantuk disorong bantal. Bagai bulan jatuh ke riba. 

Manakan tidaknya, jumlah jualan buku yang dibawa masuk Oprah ke dalam Talk Shownya meningkat hampir 10 kali ganda dari jualan sebelumnya!

Buku-buku, fiksyen atau tidak, yang disyorkan Oprah di dalam rancangannya itu merupakan buku yang telah beliau sendiri baca. Bukan sekadar buku-buku baru yang keluar pasaran, tetapi buku yang beliau sendiri rasakan sangat baik dan menarik untuk dibaca khalayak.

Para penerbit dan penulis buku selalu memimpikan agar buku mereka 'ditolong' promosikan Oprah di dalam rancangannya.

Saya mahu bicarakan tentang betapa kuatnya pengaruh wanita ini sehingga mampu membuat sesebuah buku yang lembab jualannya menjadi buku Best Seller dalam masa beberapa hari selepas ditayangkan.

Betapa dengan pengaruhnya mampu menjadikan khalayak ramai lebih mengenal buku-buku yang berkualiti dan sekali gus membacanya sehingga membentuk peribadi-peribadi positif hasil dari bacaan berkualiti tersebut.


Namun saya tidak mahu bicarakan tentang manfaatnya menjadi masyarakat membaca, betapa faedahnya negara memiliki rakyat yang gemar membaca, kita sudah maklum perkara itu. Tidak mahu juga saya bicarakan tentang tahap kualiti buku-buku di dalam negara, kerana buku-buku kita tidak kurang hebatnya berbanding negara lain. Tetapi saya mahu katakan tentang memiliki 'Oprah versi Malaysia'.

Mungkin pernah ada dalam beberapa rancangan televisyen yang membawa masuk beberapa penulis bersama dengan bukunya untuk dibicarakan. Namun itu hanya merupakan sebuah 'slot 10 minit' yang diselitkan dalam program tivi tersebut. Dan kadang pengacara yang mewawancara penulis tersebut pula bukanlah dari kalangan 'pembaca tegar' yang banyak membaca, sehingga wawancaranya bersama penulis dirasakan mati.

Kerana adanya bulan membaca, maka diwujudkan 'slot 10 minit' itu sebagai kononnya mereka menyokong kempen bulan membaca tersebut. Lebih merupakan perkara yang dibuat 'asal ada'. Tidak dengan sungguh-sungguh.


Jadi kesannya pun asal ada juga. Kaki-kaki buku jugalah yang akan menonton penuh minat slot 10 minit (dengan iklan 4 minit) itu. Matlamat untuk membudayakan masyarakat membaca berputar sekitar kaki-kaki buku jugalah. 

Putar-putar bagai mesin blender. Tidak ke mana-mana, kisarannya sekadar itu-itu juga. Sehingga hancur dan lumat.

Mungkin kita boleh adakan satu  rancangan tivi selama 30 minit yang khusus membicarakan berkenaan buku. Rancangan tivi itu pula haruslah dimainkan dalam waktu perdana. Waktu ketika ramai masyarakat yang sedang menonton. Mungkin jam 9 malam sesudah berita. Atau mungkin setengah jam sebelum berita.


Perkara sama yang dihadapkan berkali-kali, berulang-ulang, akan memuakkan juga. Satu jam sebelum warta berita, kita ada drama. Kalau tidak drama pasal cinta terhalang, tentu pasal cinta terhalang juga yang ditukar sikit-sikit jalan ceritanya. Kemudian kita ada lagi drama selepas berita sehingga lewat malam. Pasal cinta juga.

Bukan menjadi satu kesalahan, tidak salah, buatlah, kadang dalam drama-drama tersebut ada dimasukkan perkara-perkara positif untuk difikir bersama. Tak salah. Buatlah. Tapi mungkin boleh diberi 30 minit selepas berita sebelum drama itu satu rancangan bual bicara mengenai buku.


Gajikan seorang yang benar-benar kaki buku. Atau jika mahu lebih laku, ambil seorang artis yang memang sahih banyak membaca. Buku-buku yang dipilih pula harus tidak terikat dengan mana-mana pihak. Kawan penerbit ke, adik ipar jurumekap ke, sepupu jauh audio man ke. Harus tulus. Jangan ada ketirisan seperti yang orang politik selalu retorikkan.

Mungkin dengan populariti artis yang mengacarai rancangan bual bicara tersebut mampu untuk membuat orang ramai mula minat membaca.

Selepas dari adanya program itu, insyaAllah kita akan dapat melihat jualan buku yang meningkat. Penulis dan penerbit buku akan lebih banyak melakukan sujud syukur.


Cuma beri masa sekadar 30 minit itu sahaja. 


*Saya kurang mengenali artis secara dekat, jadi tidak berani menyebut satu nama sebagai calon yang boleh mengacarai rancangan bual bicara itu. 


**30 minit tidak lama sebenarnya.

Tuesday, October 19, 2010

Cerpen-Lara Atma


Saya membaca beberapa buah buku himpunan cerita-cerita pendek dalam minggu-minggu sebelum ini. Antara buku yang saya baca, Pada Suatu Ruang – S Othman Kelantan, Berjalan-jalan Di Sini – S Othman Kelantan, Cerkas – Sindiket Sol-Jah, Seketul Hati Seorang Pemimpin – Shahnon Ahmad, Stingarden – Sinaganaga, Celupan – Isa Kamari, dan Namaku Epal Kuning – Roslan Jomel.


Saya gemarkan cerpen yang ringkas, harusnya cerpen itu ringkas kerana namanya sahaja sudah cerita pendek, namun ada juga penulis yang menulis cerita pendek mereka panjang-panjang. Tidak saya katakan itu menjadi suatu kesalahan, tapi saya gemarkan cerpen yang ringkas.


Ringkas dengan susunan cerita, plot, watak, dan mesej.


Ada suatu yang mendorong saya untuk membaca cerpen-cerpen ini semua. Segalanya kerana mahu mencari inspirasi tentang cerpen yang bagaimana ‘kena’ dengan cara saya untuk jadikan ilham buat menulis buku cerita pendek saya sendiri.


InsyaAllah saya sedang mengusahakan sebuah buku yang mengandungi cerita-cerita pendek saya. Buku yang diterbitkan sendiri, lebih untuk mencari kepuasan melihat buku sendiri, tulisan sendiri di dalam rak sendiri.


Ingin mengucapkan tahniah kepada seorang rakan, seorang penulis muda, Hasni Jamali. Tulisannya baru-baru ini mendapat tempat di beberapa majalah dan surat khabar. Tahniah.


Kepada yang selalu mengikuti ruangan puisi di akhbar Mingguan Malaysia dan Berita Minggu, tentu akan perasan akan nama ini. Puisi beliau telah banyak kali disiarkan di ruangan tersebut.


Dan saya membaca cerpen beliau yang tersiar di majalah Tunas Cipta edisi Oktober 2010. Cerpen yang berjudul Lara Atma.


Sebuah cerpen yang baik, dengan beberapa ruang yang masih boleh diperbaiki, cerpen yang berpijak pada realiti semasa. Gambaran kehidupan remaja yang dibayangi kesilapan masa lalu.


Penulis bercerita mengenai seorang remaja dan dunia motorsikalnya. Atau mat rempit@samseng jalanan. Berlumba motor sehingga mengakibatkan kemalangan yang membabitkan diri dan kakaknya sendiri. Seputar penyesalan itu penulis memainkan emosi dan keadaan remaja itu setelah berlakunya kemalangan yang menyebabkan kakaknya koma.


Rasa bersalah itu penulis bawakan sehingga hujung cerita. Dan dengan rasa penyesalan itu penulis mahu khalayak tahu betapa perbuatan menunggung motorsikal secara berbahaya di atas jalan raya bukanlah sesuatu yang berbaloi untuk ditanggung akibatnya.


Cerpen Lara Atma ini merupakan jenis tulisan yang nyata maksudnya. Tiada makna-makna disebalik atau tersirat yang mahu disampaikan. Semuanya jelas. Jikalau adapun maksud tersiratnya, ia mampu dikesan dan tidak memerlukan pembaca berfikir lama-lama untuk memahami keseluruhan cerpen ini.


Bagi saya Lara Atma sebuah cerpen gambaran realiti yang baik, mengangkat isu-isu semasa yang makin parah di kalangan remaja kini. Mungkin kalau boleh bermain dengan lebih imaginasi dan memerah lebih kreativiti, dua perkara yang penting, cerpen ini akan menjadi wow!


Buat Hasni, tahniah, teruskan menulis.


*Sedang menyudahkan dua cerpen terakhir untuk buku terbitan sendiri pertama saya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...