Saturday, October 5, 2013

Tentang Paranoid

1. Ini adalah novel saya yang pertama. Saya akan bercakap sedikit mengenainya di dalam entri ini.

2. Pertamanya syukur kepada Tuhan atas kekuatan yang dipinjam sehingga novel ini selesai ditulis. Banyak yang cuba saya perkatakan di dalamnya. Tapi fokus utama adalah tentang paranoid. Elok juga kalau saya ceritakan dari mana idea untuk menulis novel ini datang.


3. Beberapa tahun lepas saya membaca buku Bogel Menuju Tuhan tulisan Zahiril Adzim. Dalam satu tulisan beliau ditulis mengenai seorang paranoid. Saya cuba untuk mencari kembali buku tersebut di dalam rak, namun tidak ketemu. Saya sudah lupa kisah paranoid itu berada di bawah tajuk apa. Namun secara ringkasnya cerita itu tentang seorang pemuda yang berhalusinasi membayangkan dirinya cuba dicederakan watak lain. Lebih kurang macam tulah. Apa pun, begitulah mulanya saya tertarik dengan kisah paranoid. Tapi ketika itu belum terlintas untuk menulis novel.

4. Hal yang benar-benar membuat saya ingin menulis... sebenarnya minat untuk menulis telah lama ada, namun masih tercari-cari isi yang sesuai untuk ditulis... sehingga datang soalan-soalan di dalam kotak fikiran saya. Soalan-soalan itu muncul di saat dunia dikejutkan dengan kekejaman tentera zionis Israel.

5. Kapal Mavi Marmara yang penuh dengan sukarelawan membawa misi bantuan kemanusiaan bagi penduduk Gaza diserang oleh tentera Yahudi. Berita itu begitu menggemparkan. Para sukarelawan ditembak, dipukul dan ditahan. Dunia mengutuk. Laporan akhbar memuatkan penuh peristiwa tersebut berhari-hari. Israel dikecam hebat.

6. Membaca berita tersebut membuat saya bertanya siapakah Yahudi dan mengapa mereka begitu kejam sekali? Dari soalan-soalan itu mulalah saya mencari buku-buku yang berkaitan Yahudi dan cuba memahami sejarah mereka. Kebanyakan buku yang dibaca menulis tentang konspirasi jahat para Yahudi. Dari situ pula timbul soalan-soalan lain. Memang Yahudi semua jahat-jahat belaka ke? Tak ada yang baik, berhati mulia? Bagaimana kalau ada Yahudi yang ingin memeluk Islam? Tapi sebelum itu, atas apa sebab mereka (Yahudi) berhasrat menganut agama Islam sedangkan umat Islam saban hari mendoakan celaka buat mereka?

7. Saat itu saya sedang membaca pula novel pemenang utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Deru Angin tulisan Hafizah Iszahanid. Novel yang menyentuh isu Islamofobia di bumi barat. Tak lama selepas menamatkan serta menulis ulasan novel tersebut di dalam blog ini, saya membuat kesimpulan seperti berikut. Ketakutan orang barat terhadap orang Islam lantaran kurangnya minat untuk mengenali Islam. Mereka (orang barat) menerima bulat-bulat apa yang ditulis oleh media tentang Islam dan penganutnya. Dan sudah tentu tulisan-tulisan itu sarat hal-hal buruk dan negatif yang bertitik tolak pula dari perbuatan segolongan orang Islam yang buruk dan negatif juga. Pemahaman seperti itu ditanam dalam kepala mereka sehingga tak ada ruang untuk melihat sisi Islam yang sebenar. Kemudian saya mengulang bertanya kepada diri sendiri. Apa yang ditulis oleh orang Islam bila menyebut tentang masyarakat Yahudi juga tidak jauh bezanya dengan apa yang ditulis oleh orang barat bila menyentuh tentang masyarakat Islam. Kita (orang Islam) ketika membaca tentang Islamofobia berasa tuduhan yang dilemparkan begitu salah sekali. Orang barat yang benar-benar ikhlas untuk mengenali Islam perlu masuk ke dalam ajaran Islam yang sebenar untuk merasai keindahannya. Kita akan berkata begitu demi menjawab tuduhan-tuduhan mereka.

8. Lalu saya bertanya lagi, bagaimana pula jawapan orang Yahudi ketika kita memberikan simbol-simbol kezaliman dan kekejaman kepada mereka? Seperti apa perasaan mereka ketika membaca tulisan-tulisan kita tentang segala konspirasi dan rahsia kejahatan mereka? Cara bagaimana mereka lakukan untuk membela diri? Atau sememangnya telah ditentukan sejak azali bahawa mereka harus lahir dan membesar dan menjadi jahat? Atau mereka akan gunakan jawapan yang sama seperti kita gunakan? Bahawa masyarakat Islam tidak sungguh-sungguh untuk mengenali Yahudi sehingga sanggup menuduh seperti itu? Adakah selama ini kita menjadi paranoid sesama sendiri? Berhalusinasi antara kita?

9. Saya membaca buku-buku tebal dan memeningkan tentang sejarah Yahudi selepas itu. Sedikit-sedikit saya mahu cuba mengenali mereka. Para nabi dan keturunan mereka. Tentang sejarah mereka dihalau, dihina, dan bangkit menjadi bangsa yang mendominasi dunia ketika ini. Namun saya juga berasakan ragu-ragu. Adakah tak salah apa yang saya lakukan? Kalau saya katakan tak semua masyarakat Yahudi itu kejam dan zalim adakah saya telah berdosa besar? Kerana bukti-bukti di depan mata setiap hari menayangkan peluru-peluru para tentera Israel menembusi para kepala pejuang Palestin.

10. Lalu selepas dari hari-hari itu saat sedang berkeliaran di Facebook, saya ternampak gambar yang dimuatnaik oleh Dr Maza. Gambar beliau sedang tersenyum berdiri di sebelah seorang rabbi Yahudi bernama Ben Abrahamson. Seketika itu juga saya tersenyum. Saya tidak di landasan yang salah, begitu yang bermain di fikiran. Status Dr Maza itu menulis seperti ini,

"PENGALAMAN BARU
..tadi hadir Harun Yahya Conference, di Oxford Brookes University.. salah seorang pembentangnya seorang rabbi yahudi ternama Rabbi Ben Abrahamson..di samping pakar ajaran yahudi dia juga pengkaji al-Quran dan Hadis..ceramahnya menarik menceritakan persamaan amalan ibadah yahudi yang asal dengan ajaran Islam..yahudi solat lima waktu, rukuk, sujud, puasa, raya, korban, umrah, haji dan lain-lain..istilah-istilah pun hampir sama..semua para nabi itu Islam..itu nas Taurat katanya..fb beliau mendapat perhatian orang Islam serata dunia (Ben Abrahamson) ..masa solat maghrib dia solat bersama..kebetulan sebelah saya..hampir sama seluruh gerak-gerinya dalam soat.. jika dia mencari hakikat kebenaran, moga dia menerima kebenaran Nabi Muhammad s.a.w"

11. Dari situ saya mula menulis sikit-sikit. Kerana ini merupakan pengalaman pertama menulis novel, saya menghadapi beberapa kesukaran. Terutama ketika mahu menyusun pergerakan plot. Dan juga ketika mahu mencukupkan 40 000 patah perkataan yang menjadi syarat untuk novel-novel terbitan Lejen Press. Berkali dan berkali saya padam dan tukar jalan cerita demi memenuhi syarat tersebut. Bahkan ketika 3 bab pertama yang mula-mula dihantar pun kemudiannya saya ubah suai mengikut jalan cerita yang telah diubah.

12. Saya tidak mempunyai jadual menulis yang tetap untuk novel ini. Tapi kebanyakan waktu saya menulis adalah selepas waktu pejabat di dalam pejabat. Namun ada juga ketika idea datang melintas saya menulis di pagi dan di tengah hari. Rasanya keseluruhan novel saya tulis di dalam pejabat. Memandangkan saya bekerja sendiri, kemungkinan untuk dimarahi bos adalah kosong. :-) . Saya dapati diri saya tidak betah menulis di waktu malam. Idea memang tak datang tapi kantuk yang lekas tiba. Berbeza sedikit dengan pengalaman penulis lain yang rata-rata menulis di waktu malam hari, ketika suasana sunyi. Tapi waktu sunyi itu memang perlu untuk saya. Kerana itu saya menunggu selepas waktu pejabat. Ketika semua pekerja telah pulang dan saya duduk sorang-sorang.

13. Satu yang mahu saya kongsikan, bahawa saat-saat ketika menulis novel ini adalah seronok sekali. Tak tahu la sebab ini novel pertama atau apa, tapi saya rasakan seronok benar sewaktu menulis. Lebih-lebih lagi ketika apa yang ditulis itu sama seperti apa yang dibayangkan di dalam kepala. Teruja betul. Tapi tak bermakna sepanjang tempoh menulis itu saya bahagia selalu. Ada hari-hari, ada babak-babak yang bahkan sampai ke hari ini saya merasakan tidak berpuas hati.

14. Walau apa pun, pada 14 September 2013 yang lalu, bersamaan dengan 8 Zulkaedah1434 novel sulung saya dengan judul Paranoid telah selamat dilancarkan di Marina Club, Danga Bay, Johor Bahru. Ucapan setinggi terima kasih kepada Lejen Press sebagai penerbit, saudari Shahida Harun sebagai editor yang banyak kesabarannya melayan tulisan saya, Kerat Studio sebagai pereka kulit buku, mereka-mereka yang di belakang tabir dan para pembeli yang telah, sedang dan akan membeli Paranoid. :-). Ribuan terima kasih.

15. Ucapan terima kasih dan syukur yang banyak terutama kepada Illahi yang membuat segala jalan menjadi mudah untuk saya. Untuk keberanian dan kekuatan yang diberikan. Untuk kasih sayang yang melimpah-limpah. Untuk nyawa dan untuk segalanya. Terima kasih Tuhan.

16. Kepada yang ingat membeli novel ini boleh dapatkan di toko-toko buku seperti MPH, Kinokuniya dan lain-lain. Atau langsung sahaja beli lewat Lejen Press Shop. Dengan harga serendah RM 19.90 Paranoid akan menjadi milik anda.

17. Terima kasih dan salam keamanan.


Fandy Taher
Dalam pejabat



1 comment:

Dewi Aja said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Oh ya, di sana anda bisa dengan bebas mendowload music, foto-foto, video dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...