1. Provokatif.
2. "Provokasinya menjadi, bahkan menjadi-jadi." -Sayed Munawar.
3. Ahli Sunah Waljamaah yang menyangka tiap sesuatu dengan label Islam itu telah sempurna, sebenarnya sudah melakukan satu kesalahan.
2. "Provokasinya menjadi, bahkan menjadi-jadi." -Sayed Munawar.
3. Ahli Sunah Waljamaah yang menyangka tiap sesuatu dengan label Islam itu telah sempurna, sebenarnya sudah melakukan satu kesalahan.
4. Asas teologi Ahli Sunah sendiri pada awalnya begitu rapuh.
5. Hanya orang awam yang jahil, yang berada di luar bahtera ahlul bait akan segera meloncat, melenting apabila mendengar nama Syiah.
6. Jika ada yang menggeletik dengan baris-baris ayat di atas, maka andalah orang yang sesuai untuk membaca novel terbaru Dr Faisal Tehrani ini.
7. Apabila dilihat pada kulit depan novel, ia tidaklah menggambarkan atau membayangkan apa-apa tanggapan kontroversi terhadap isinya. Dengan latar tanah berona merah, digaul bersama pasir hitam, dengan sekuntum bunga lili putih menjadi subjek utama, ditambah judul 'Perempuan Nan Bercinta', ia seolah-olah menjanjikan sebuah novel cinta yang tulus dan manis.
8. Secara simbolik, bunga lili putih itu bermaksud sesuatu yang suci sifatnya, penuh kehormatan dan kesopanan. Enam penjurunya pula, sebagai orang yang beragama, boleh kita fahamkan ia mewakili tiap satu dari rukun iman. Dan tanahnya yang merah bercampur hitam itu pula boleh diterjemahkan sebagai cabaran. Warna merah jika dilihat kepada ciri-ciri personalitinya adalah sifat seseorang yang mahukan kebebasan, pembaharuan dan kemajuan dalam fikiran.
9. Bila dilihat secara keseluruhan, ilustrasi kulit depan novel ini mengisahkan mengenai seorang wanita (penggunaan bunga adalah sangat akrab dengan wanita) yang tetap berdiri teguh mempertahankan akidahnya dalam kehidupan di dunia yang moden yang sarat isme-isme yang bertentangan dengan norma agama. Seperti judul yang diletakkan di atas, wanita seperti itulah, Perempuan Nan Bercinta.
10. Namun novel ini selain membicarakan hal mengenai kehidupan seorang perempuan suci yang mempertahankan kesuciannya di dalam dunia yang serba mencabar, juga berkisah mengenai seorang perempuan yang membesar dalam lingkungan persekitaran yang jauh tersasar dari landasan agama. Cerita dibina sehingga perempuan tersebut tumbuh menjadi sekuntum bunga lili putih dengan enam penjurunya yang kukuh, di atas tanah yang tandus dan gersang.
10. Namun novel ini selain membicarakan hal mengenai kehidupan seorang perempuan suci yang mempertahankan kesuciannya di dalam dunia yang serba mencabar, juga berkisah mengenai seorang perempuan yang membesar dalam lingkungan persekitaran yang jauh tersasar dari landasan agama. Cerita dibina sehingga perempuan tersebut tumbuh menjadi sekuntum bunga lili putih dengan enam penjurunya yang kukuh, di atas tanah yang tandus dan gersang.
11. Sejurus dihidangkan dengan kulit depan yang sarat simbol, pembaca dibawa ke dalam bab pertama, berkenalan dengan satu watak, Tengku Idora. Watak yang diganggu halusinasi suara teka-teki bondanya sendiri, berlangsung sehingga ke akhiran cerita, menuntut Tengku Idora mencari perempuan mulia yang menentang sehingga mati, perempuan yang menentang meskipun sudah mati.
12. Tengku Idora seawal ini diperkenalkan kepada pembaca sebagai seorang wanita yang liberal, yang memperjuangkan hak kebebasan manusia, terutama wanita. Ini dapat dikesan seawal helaian kedua pada babak Tengku Idora sedang bermalasan di atas sofa merenung catan 'Woman' yang menghiasi dinding rumahnya. Lukisan seorang wanita yang tidak mengenakan seurat benang itu, melambangkan pendirian Tengku Idora. Pendirian bahawa seseorang wanita itu tidak harus dipaksakan menyarung pakaian ke atas tubuhnya. Ia adalah satu bentuk pencabulan ke atas hak kebebasannya.
13. Kemudian menarik juga apabila babak seterusnya Tengku Idora menghidupkan televisyen dan rancangan dokumentari mengenai sistem pembiakan singa betina sedang ke udara. Tengku Idora berasa jengkel. Jengkel kerana singa adalah lambang keberanian. Haiwan yang ganas dan digeruni. Tetapi bila ceritanya mengenai singa yang betina, fokusnya terus kepada sistem pembiakan. Sama seperti manusia. Tengku Idora jengkel dengan tanggapan bahawa orang perempuan kerjanya bersalin dan menjaga anak sahaja. Dalam bab-bab terkemudian, ada sesi berbalas hujah mengenai peranan wanita menjaga anak ini dengan satu lagi watak utama, Dr Ali Taqi.
14. Dan apabila Tengku Idora berasa jengkel dengan rancangan dokumentari yang memandang remeh peranan wanita itu, beliau telah beralih kepada siaran lain. Mula-mula kepada siaran yang menunjukkan wajah 'wanita pertama' berpenampilan anggun, ia menambahkan rasa mualnya. Lalu menukar lagi siaran. Kali ini televisyen menunjukkan berita mengenai seorang politikus yang dituduh meliwat. Tengku Idora tertarik, lantas berkata, "...kalau dia mahu meliwat biarkan ... manusia harus diberikan hak penuh untuk bebas."
15. Pembaca memahami siapa dan apa perjuangan watak feminis itu seawal bab satu. Tapi novel ini bukan keseluruhannya bercerita mengenai Tengku Idora dan feminismenya. Ia adalah kisah bagaimana Tengku Idora kembali mengenal Islam sebenar melalui jalannya yang berliku sebelum beliau benar-benar ketemu keindahannya, menerusi jalan ahlul bait.
16. Mazhab ahlul bait. Mengapa tidak dijadikan mazhab ini sebagai penyelesaian terhadap permasalahan ummah yang makin parah yang sekian lama terbiar tidak menemukan jalan keluar di dalam fahaman ahlus sunnah. Itu yang cuba ditampilkan penulis. Bukan untuk melabel betul atau salah, tetapi hujah penulis menarik juga untuk diperiksa.
17. Supramazhab. Dr Maszlee Malik dalam bukunya, Talfiq-Beramal Dengan Pelbagai Mazhab menulis dengan memetik kata Muhammad Sa'id al-Bani,
"Segala perbuatan talfiq yang membawa kepada perungkaian ikatan dan keutuhan syarak (dengan membawa kepada perlakuan haram dan mempermainkan agama) adalah haram. Adapun jika talfiq itu membawa kepada pengukuhan pengamalan syarak dengan mempermudahkan mukallaf untuk beramal dan menjaga maslahatnya dalam muamalat di bawah naungan hukum syarak, maka hukumnya harus."
18. Pada bahagian akhir novel, penulis mengendurkan suasana yang sengaja ditegangkan dengan menulis,
"Sunni dan Syiah saling melengkapi. Terdapat pertanyaan yang tidak dapat dijawab Ahli sunah waljamaah telah dijawab oleh Syiah dengan jayanya, dan kekurangan Syiah pula ditampung oleh Ahli sunah Waljamaah."
19. Sebagai pembaca, secara peribadi, saya menggemari novel ini. Mungkin saya juga boleh bersetuju dengan teman-teman yang melihat novel ini agak kurang dari sisi keindahan bahasa, bunga-bunga kata, plot juga permainan jalan cerita, tetapi bukankah Prof Ungku Maimunah pernah menuliskan,
"...hakikat insan menjelaskan janji asal dan fitrah manusia ialah untuk menyembah Allah dan untuk sentiasa mencari keredhaanNya; hakikat ilmu dan amal pula menekankan peri pentingnya ilmu yang benar sebagai asas semua amalan atau kegiatan (termasuklah kegiatan bersastera) dan betapa kegiatan/amalan yang tidak berasaskan ilmu yang benar adalah sia-sia atau tidak menjadi amalan yang soleh; dan hakikat dan fungsi sastera pula jelas dikaitkan dengan ilmu."
20. Sering novel yang disarati ilmu serta maklumat, memberikan kesan yang dalam kepada pembaca, serta meninggalkan rasa bahagia yang kekal lama. Berbanding sebuah cereka penuh langgam cerita, memberikan rasa yang tidak mendasar dan bahagia yang lekas pudar.
21. Akhir kata, selamat membaca, selamat mencerna wacana, selamat mencabar minda, selamat berlapang dada.
21. Akhir kata, selamat membaca, selamat mencerna wacana, selamat mencabar minda, selamat berlapang dada.
*ulasan ini khusus untuk Peraduan Ulas Buku ITBM di Blog/Facebook sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
1 comment:
ahlu sunnah juga mencintai ahlul bait, tetapi tidak sampai mengkafirkan para sahabat sebagaimana yang dilakukan syiah laknatullah.
Post a Comment