Monday, October 31, 2011

Arjuna Mencari Cinta - Adlinz Alexandria

1. Melihat kulit depannya, saya membayangkan suatu penceritaan yang menarik yang bakal dirasai sepanjang pembacaan.

2. Tapi...

3. Arjuna Mencari Cinta, kisah seorang jejaka yang telah menemui cinta sejatinya. Arjuna dibesarkan di dalam hutan belantara sejak dari kecil. Hidup bersama hijaunya hutan, kicaunya burung, ngaumnya singa, persis seperti filem Tarzan yang kita tonton di pawagam-pawagam suatu masa dahulu.

4. Dalam menjalani hidupnya yang mendamaikan itu, tiba-tiba ia diganggu oleh sekumpulan manusia yang mula menebang, dan membawa keluar satu demi satu kekayaan hutan tersebut. Arjuna menjadi marah dan cuba untuk melindungi kawasannya itu. Ketika itulah dia bertemu dengan cintanya. Persis seperti cerita Tarzan juga.

5. Begitu yang melintasi fikiran saya pertama kali melihat novel ini. Namun saya salah secara totalnya. Novel ini sebenarnya berkisar sekitar cerita cinta anak-anak remaja zaman persekolahan yang dihiasi dengan tawa, suka, dendam, dan permusuhan serta persahabatan.

6. Pembaca dibawa ke alam cinta monyet budak-budak sekolah yang cuba ditonjolkan penulis bahawa cinta ketika masih bersekolah hanyalah cinta yang berpaksikan nafsu dan 'suka-suka' dan tidak akan membawa ke mana-mana selain dari kekecewaan dan menjadikan hilangnya tumpuan terhadap pelajaran.

7. Saya agak kecewa apabila cerita yang bermain di fikiran saya tidak sama seperti apa yang ditemui di dalamnya. Timbul satu soalan, mengapa kaver depannya seperti itu? Seorang lelaki memegang busur siap dengan anak panah sedia untuk dilepaskan ke arah sasaran dengan berlatarbelakangkan hutan belantara. Apa kaitan gambar itu dengan cinta monyet budak-budak sekolah seperti di dalamnya?

8. Novel ini dikategorikan dalam kategori novel remaja. Kerana itu kisahnya mengambil suasana alam persekolahan remaja-remaja sekitar 16 dan 17 tahun.

9. Tetapi sekali lagi saya berfikir apakah kerana ia kategori remaja maka ceritanya hanya seputar cinta budak-budak sekolah sahaja? Atau memang cerita cinta seperti ini yang digemari dan dicari remaja-remaja kita di luar sana? Atau sebetulnya novel ini menarik, cuma saya telah melewati usia remaja membuatkan nikmatnya tidak sepenuhnya dirasai?

10. Apa-apa pun, terima kasih harus saya ucapkan kepada Jemari Seni kerana telah mengirimkan novel ini secara percuma kepada saya. Saya suka dengan lukisan di kulit depannya. Cantik. Kena sekali dengan judulnya, Arjuna Mencari Cinta. Mungkin saya kena lebih menjadi remaja untuk jatuh cinta dengan isinya.

11. Sebuah novel baru, mudah didapati di toko-toko buku popular. Berharga RM18.00 untuk semenanjung dan RM20.00 untuk Sabah dan Sarawak. Selamat membaca.

*Untuk penerbit, terdapat sedikit kesilapan pada muka surat 181 baris terakhir, ayatnya terputus. Mungkin boleh disemak semula untuk cetakan kedua nanti


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...