Sebuah novel terbitan PTS Fortuna Sdn Bhd hasil tulisan saudara Nazri M. Annuar @ Vovin cetakan pertama tahun 2010. Berharga RM 14.00 untuk Semenanjung Malaysia, RM 16.00 bagi Sabah dan Sarawak.
Kulit Depan
Menarik. Kreatif. Rasanya tidak perlu huraian yang lebar-lebar untuk menceritakan apa yang menarik, apa yang kreatif tentang muka depan buku ini. Melihatnya sahaja kita akan tahu, sangat menarik, sangat kreatif. Tahniah kepada mereka yang bekerja keras menghasilkan kulit depan buku ini untuk tatapan kami para pembaca.
Kulit Belakang
Pada kebiasaannya, penulis-penulis akan mengakhiri penceritaan mereka pada muka surat terakhir dari sesuatu buku. Tapi berlainan dengan novel Karipap-Karipap Cinta ini. Rahsia terbesar untuk menghasilkan karipap terbaik dan terlazat tidak berada di dalam helaian muka surat novel, sebaliknya ia diletakkan di kulit belakang buku ini. Resipi untuk membuat karipap-karipap yang penuh dengan cinta, ada diberikan di kulit belakang buku ini. Rahsia terbesar yang sudah tidak rahsia lagi.
Buku ini harus dibaca sedari huruf pertama di kulit depan sehingga kepada nombor-nombor kod bar di kulit belakang. Jangan ditinggalkan barang satu patah kata pun melainkan ianya sudah dibaca.
Karipap-Karipap Cinta
Sinopsis : Ali adalah seorang jurugambar sebuah akhbar politik. Dia jatuh cinta dengan Sarah, graduan Al-Azhar yang bekerja sebagai editor komik di SLP Publications & Distributors.
Namun ayah Sarah mahu anak perempuannya berkahwin dengan lelaki yang setaraf dengan kelulusan Sarah (yakni seorang Ustaz).
Ali menjadi panik dan dalam keadaan terdesak telah berbohong mengatakan dia juga graduan Al-Azhar.
Maka bermulalah rentetan peristiwa lucu, sedih dan tidak masuk akal dalam usaha Ali untuk menawan hati Sarah dan dalam pada masa yang sama cuba mencari jalan berterus terang kepada gadis itu.
Ali terpaksa membayar harga yang mahal untuk pembohongannya.
Dan karipap itu mempertemukan cinta Ali dan menyelamatkan cintanya.
(copy paste dari sini. Boleh juga dibeli secara online di situ)
Karipap
Karipap merupakan sejenis makanan yang sangat popular di Malaysia, Thailand, dan Singapura. Nama karipap dipercayai diperolehi dari intinya yang menggunakan serbuk kari sebagai bahan perasa. Jika di Johor dan Singapura pula, karipap ini dikenali sebagai epok-epok.
*Tiada hairan jika novel ini mahu dibawa ke Kota Singa, judulnya diubah sedikit bagi menepati selera tempatan. Epok-Epok Cinta. :)
Terdapat berbagai-bagai jenis karipap yang berada di kedai cik Kiah, Pn Milah, cik Leha, dan kedai-kedai lainnya. Antara karipap yang ada, karipap daging, karipap ayam, karipap ikan, karipap sardin, karipap pusing, dan yang terbaharu Karipap-Karipap Cinta hasil tangan saudara Vovin.
Novel Karipap-Karipap Cinta ini selain kisah cinta karipap Ali dan Sarah, ianya juga sarat dengan sindiran-sindiran, kiasan-kiasan, atau dalam bahasa lainnya, novel ini bersifat sarkasme pada beberapa tempat di dalamnya.
Contohnya pada perenggan ini, apabila penulis menceritakan mengenai kesesakan yang sering berlaku di jalan-jalan di Kuala Lumpur.
"Itu adalah pemandangan biasa di sebuah kota bernama Kuala Lumpur. Pemandangan itu akan menjadi lebih teruk ketika awal pagi Isnin dan petang Jumaat. Saintis terkemuka dunia juga tidak dapat memberikan penjelasan kukuh mengapa pada waktu ini jalan Kuala Lumpur mengalami kesesakan yang maha dahsyat." (Karipap-Karipap Cinta/Nazri M. Annuar - ms 14)
Begitu juga pada bab yang ke tujuh ini,
"Drama Melayu memang banyak kebetulan. Kebetulan si hero bertemu si heroin di pasar raya. Kebetulan orang jahat ternampak orang baik sedang berbuat sesuatu yang boleh mendatangkan fitnah, kebetulan si hero terserempak dengan seorang perempuan yang hendak diperkosa oleh lelaki jahat bermisai tebal, kebetulan kekasih A ternampak teman lelakinya sedang keluar berpegang tangan dengan kekasih B dan banyak lagi. Begitu juga dengan kisah cinta ini." (Karipap-Karipap Cinta/Nazri M. Annuar - ms 56)
Contoh lain,
"Orang ramai memenuhi dewan acara di Pusat Dagangan Dunia Putra. Pesta Buku yang diadakan di sini mendapat sambutan yang menggalakkan. Meskipun secara stereotaip orang Malaysia dikatakan tidak suka membaca buku, namun Pesta Buku yang diadakan saban tahun mampu juga menarik pengunjung." (Karipap-Karipap Cinta/Nazri M. Annuar - ms 73)
Penulis secara terang-terangan mempertikaikan laporan-laporan dan kajian-kajian yang dibuat oleh akhbar mahupun majalah yang merumuskan bahawa rakyat Malaysia kurang minat membaca.
Terdapat lagi beberapa unsur sindiran di dalam novel ini, namun saya, dengan sengaja, tidak mahu menulisnya di sini dengan harapan tuan-tuan dan puan-puan akan membeli novel ini dan membacanya sendiri. Setiap wang yang digunakan tuan puan untuk mendapatkan novel Karipap-Karipap Cinta ini, akan membuatkan penerbit dan penulis novel ini bertambah harta kekayaan mereka. Dan dengan semakin kekayaan mereka berlipat kali ganda, semakin banyak pencerahan yang mereka perolehi untuk menghasilkan buku-buku yang lebih bermutu dan berkualiti untuk khalayak pembaca seperti kita.
Penutup
Novel Karipap-Karipap Cinta ini adalah sebuah novel yang dikategorikan di dalam genre novel komedi. Untuk membacanya kita harus mempersiapkan diri untuk ketawa. (Entri ini juga ditulis dengan sedikit unsur komedi, tanggapi ia seadanya)
Novel ini boleh di baca dengan santai sambil minum petang bersama keluarga, sambil berbaring di pembaringan, boleh juga menghilangkan tekanan kerja sewaktu di pejabat.
Dengan harga yang sangat berpatutan (murah) ianya mampu dimiliki. Cuma saya tak pasti jika novel Karipap-Karipap Cinta ini sudah berada di pasaran atau hanya keluaran khas di Pesta Buku 2010 sahaja. Walau apa pun Karipap-Karipap Cinta ini boleh dibeli secara online. Klik pautan di atas.
Selamat membaca dan selamat mengambil manfaat dari bacaan.
2 comments:
Best betul ulasan KKC ni. Saya yang membaca pun boleh tersenyum sendirian. Memang betul la, novel ni best. Saya baru je habis baca.
Jangan lupa menonton filemnya juga nanti :-)
Post a Comment