Tuesday, April 13, 2010

Diari Mat Despatch




Karya terbaru daripada penulis Bahruddin Bekri. Terbitan PTS One Sdn Bhd. Cetakan pertama tahun 2010. Berharga RM 9.90.

Sebuah buku yang mengisahkan seorang penghantar dokumen bernama Idlan Rayyan (bukan nama sebenar, seperti yang ditulis di dalam buku) berusia 24 tahun, masih bujang, dan masih dalam proses mengenali diri.

Pertama kali dalam hidup menulis diari dengan niat agar dapat memantapkan lagi penggunaan Bahasa Melayu Tingginya. Idlan bercita-cita mahu menjadi penyunting sambilan di sebuah syarikat penerbitan. Jika berjaya menjadi penyunting sambilan, Idlan berasa yakin dia dapat menyelesaikan masalah kewangannya yang sentiasa tak pernah cukup bekerja sebagai seorang penghantar dokumen.

Di atas semangat itulah dia mula belajar menulis diari dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) Kegiatan hariannya dirakamkan semula ke bentuk tulisan di dalam diarinya. Segala apa yang berlaku, pengajaran-pengajaran yang membuat Idlan lebih dewasa dan lebih berfikir, semuanya dituliskan di dalam diarinya.

Tetapi Idlan hanya mampu bertahan selama 11 hari sahaja menulis diari. Peristiwa yang terjadi kepada dirinya pada hari kesebelas itu telah mematahkan kekuatan dan kesungguhannya untuk terus menulis diari.

Untuk mengetahui kejadian apa yang menimpa Idlan, sila dapatkan Diari Mat Despatch ini.


PELIT

Apakah sebenarnya PELIT ini? PELIT adalah singkatan bagi
'PErsonal LITerature' atau dalam bahasa Melayunya, Jurnal Peribadi.

PELIT merupakan suatu genre penulisan baru yang cuba diperkenalkan oleh PTS One Sdn Bhd. Gaya penulisan yang lebih memiripi penulisan diari dan blog. Genre penulisan sebegini sebenarnya sudah lama bertapak di Indonesia dan ianya sangat diminati. Atas dasar itu PTS One Sdb Bhd membawanya ke Malaysia dengan keyakinan yang besar bahawa penulis-penulis tempatan mempunyai bakat dalam gaya penulisan sebegini.

Dan Diari Mat Despatch ini adalah salah satu dari kategori PELIT ini.


Diari Mat Despatch

Buku ini mengajar kita tentang BMT. Penulis membawa kita masuk ke dalam watak Idlan dan memahami mengenai Bahasa Melayu Tinggi ini serta kepentingannya.

Yang menariknya setiap hari selama 11 hari diari ini ditulis, Idlan akan memberikan tip-tip berkenaan BMT ini di dalam diarinya. Contohnya seperti penggunaan kata basahan, perbezaan kata kerana dan sebab, dari dan daripada, dan penggunaan perkataan sampai dan sehingga.

Buku ini secara tidak langsung membuat kita menyemak semula penggunaan Bahasa Melayu kita yang digunakan dalam seharian.

Dengan reka bentuk kulit depan yang menarik ianya sangat memikat pembeli untuk membeli.

Timbul persoalan, golongan pembaca yang mana yang disasarkan untuk membaca buku ini. Jika dilihat dari kulitnya, seperti buku ini ditulis untuk kanak-kanak sekolah rendah dan menengah rendah.

Tetapi kandungannya tidak pula seringan itu buat dihadam oleh pembaca-pembaca kecil. Ianya lebih sesuai untuk bacaan pembaca yang lebih dewasa.

Walaupun hanya sekadar diari seorang penghantar dokumen, ianya bukanlah dimuatkan dengan cerita-cerita kosong seorang despatch itu. Banyak kisah yang boleh diambil perhatian oleh pembaca terhadapnya.

Buku ini juga ditulis dengan sedikit unsur komedi di dalamnya. Dan unsur komedi ini juga merupakan salah satu keharusan yang perlu ada dalam tulisan kategori PELIT ini.

Pasaran untuk buku sebegini sangat baik. Ianya mampu untuk mengikat pembaca kepada sesuatu tulisan diari dari sesuatu watak. Membuatkan pembaca menjadi setia untuk membaca setiap diari yang ditulis.

Sebelum mengakhiri diarinya, Idlan sempat menulis bahawa kemungkinan akan menyambung semula tulisannya di dalam diari. Ini seperti membawa makna, 'tunggu untuk kemunculan Diari Mat Despatch (2)'

*Mengharapkan sesuatu yang lebih lagi daripada diari Idlan yang seterusnya...

Selamat membaca.


Sunday, April 4, 2010

Robohnya Surau Kami - AA Navis



'Robohnya Surau Kami' adalah sebuah cerpen karya dari seorang sasterawan besar negara Indonesia, AA Navis, yang pertamanya diterbitkan di dalam majalah Kisah tahun 1955. Cerpen ini telah diulang cetak sebanyak berbelas kali sejak mula disiarkan. Juga telah diterjamahkan ke dalam beberapa bahasa lain di dunia, antaranya, bahasa Inggeris, Jepun dan bahasa Jerman. Cerpen ini, pada tahun yang sama ia disiarkan, telah dipilih antara tiga cerpen terbaik oleh majalah Kisah.


Simbolisme

Surau merupakan tempat yang suci bagi umat Islam dan ia melambangkan suatu yang bersih, sesuatu yang berpahala. Tempat yang di dalamnya segala jenis kegiatan keagamaan dan aktiviti-aktiviti berkaitan diadakan. Di mana-mana dapat kita lihat bahawa surau menjadi tumpuan masyarakat untuk melakukan ibadah-ibadah seperti solat, membaca Al Quran, dan mendengar kuliah-kuliah dari Tuan Guru, mengutip mutiara ilmu dari mereka.

Dari sesi pengajaran para ustaz dan Tuan Guru itulah kita dapat mengenal agama Islam dengan lebih mendalam, dengan lebih kefahaman yang menyeluruh. Di surau jugalah permuafakatan sesama kita akan terbentuk, menjadi sebagai suatu lapangan perbincangan untuk mencapai kemaslahatan ramai.

Di sini kita akan mula mengenal Tuhan, cinta makhluk dengan Sang Pencipta akan membenih dan terus membesar di dalamnya. Di surau ini semangat dan jati diri umat ditanam, dipertautkan lagi ikatan persaudaraan antara jemaah, dirapatkan hubungan sesama umat Islam. Tempat di mana lahirnya umat-umat Islam yang besar jiwa dan besar juga keinginan.

Fungsi surau dalam masyarakat juga memainkan peranan yang tidak kurang penting bagi proses mendidik anak-anak kecil kita dalam mengenal ilmu wahyu. Di sinilah mereka akan mula-mula melihat huruf-huruf Jawi seperti huruf aliff dan ba dan ta, sehingga ke huruf ya, sebelum mereka dapat benar-benar membaca kalam Tuhan, Al Quranul Karim. Surau sebagai tempat mendewasakan anak-anak kita menjadi insan yang punya pegangan, punya haluan dalam menjalani kehidupan di dunia dan akhirat.

Bilamana penulis (AA Navis) menggunakan judul 'Robohnya Surau Kami', ianya menjadi begitu simbolik. Roboh di situ dikaitkan dengan surau, surau yang keutamaannya dan kesuciannya sangat dekat dengan umat Islam. Roboh, musnah, ranap, runtuh, seolah memberi suatu perumpamaan yang menyatakan kejatuhan umat Islam kini telah benar-benar terjadi, jatuh sehingga menyembah bumi. Islam kini sudah tidak berada pada landasan kefitrahannya lagi. Sebuah judul yang mengandungi makna yang signifikan sekali.

Semangat umat Islam telah roboh, jati diri umat Islam telah roboh, pegangan umat Islam telah roboh, permuafakatan umat Islam telah roboh, AA Navis seolah bertanya dalam tajuknya itu, "apa lagi yang tinggal dengan umat Islam kini, setelah ianya diserang, ditujah, diradak dengan segala kerobohan ini? Apa lagi yang kita ada?"

Robohnya Surau Kami suatu perlambangan yang disengajakan penulis.


Haji Ali Akbar Navis

Anak kelahiran Kampung Jawa, Padangpanjang, Sumatera Barat, Indonesia ini merupakan seorang tokoh sasterawan dan budayawan terkemuka Indonesia. Lahir pada tanggal 17 November 1924. Lebih dikenali dengan nama AA Navis.

Sepanjang hidup , telah banyak sumbangan karya-karya besar dan mengagumkan dari beliau. Antaranya Robohnya Surau Kami (1955), Bianglala (1963), Hujan Panas (1964), Di Lintasan Mendung (1983), Cerita Rakyat Sumbar (1994), Jodoh (1998).

AA Navis seorang penulis yang serba boleh. Beliau menulis dalam banyak genre penulisan. Karyanya telah mencapai ratusan. Tak kira novel, cerpen, puisi, cerita kanak-kanak, cerita radio, esei, otobiografi, dan biografi.

Sepanjang perkahwinannya dengan Aksari Yasin, mereka telah dikurniakan dengan tujuh orang anak. Sehingga meninggal dunia, beliau telah dikurniakan dengan 13 orang cucu.

Hj Ali Akbar meninggal dunia pada hari Sabtu 22 Mac 2003 di Rumah Sakit Yos Sudarso, Padang, Indonesia dalam usia 79 tahun. Masyarakat pencinta sastera sangat merasa kehilangan penulis berjiwa besar ini. Tulisan-tulisan beliau sentiasa membuat kita berfikir, memahami, dan mahu selalu berjalan dengan jalanan yang lebih teratur tentunya.


Robohnya Surau Kami

Berkisah tentang watak 'Aku' yang menceritakan perihal surau di kampungnya. Surau yang sudah tidak terjaga lagi setelah kematian Kakek, watak yang menjadi garin, penjaga surau itu semasa hidupnya. Kematian Kakek itu sungguh tragis. Dia didapati mati dengan membunuh dirinya sendiri.

Sebelum bercerita tentang kematian Kakek itu, penulis melakarkan watak Kakek sebagai seorang yang taat dan kuat beribadah. Hidupnya semata diserahkan kepada Allah swt. Dia tidak ingin berkahwin, tak ingin punya anak, tak ingin punya keluarga, bahkan kepada tubuh jasadnya, dia tidak pernah fikirkan sesuatu untuk kepuasan diri sendiri. Dia tak ingin kaya, tidak berkehendak memiliki rumah yang besar-besar. Hidup matinya, bulat-bulat diserahkan kepada Allah taala. Penulis melukiskan sebuah watak ideal yang boleh digambarkan oleh pembaca dengan jelas. Dan sekaligus mencipta tanda tanya yang besar kepada pembaca, bagaimana watak seorang alim, yang patuh beragama ini, boleh mati dengan kematian yang dikutuk pula? Mati dengan membunuh diri.

Pada baris seterusnya penulis mengenalkan pula watak Ajo Sidi. Watak seperti antagonis yang penulis cuba gambarkan kepada pembaca pada permulaan perkenalan. Sebuah watak yang gemar membawa cerita-cerita. Cerita-cerita yang belum diketahui shahih benarnya. Namun tidak sedikit yang gemar mendengarkan apabila Ajo Sidi ini bercerita dan membawa khabar tentang sesuatu. Kerana penceritaannya sangat memikat dan pula watak-watak dalam cerita Ajo Sidi ini sangat hidup.

Selain pandai memerikan cerita, penulis menambah satu lagi sifat pada watak Ajo Sidi ini. Iaitu watak ini rajin dalam pekerjaannya. Kerana tekun dalam bekerja, penduduk-penduduk kampung tidak akan melepaskan kesempatan jika Ajo Sidi sudah memulakan cerita, kerana mereka sedia maklum Ajo Sidi jarang punya masa bercerita kerana gigihnya dia pada kerja.

Dan kematian watak Kakek itu berkaitan dengan Ajo Sidi. Atau lebih tepat lagi, kematian watak Kakek berpunca dari cerita magis Ajo Sidi.

Pada perenggan berikutnya, penulis menulis tentang Kakek yang mula bercerita kepada 'Aku' tentang kisah yang dibawa oleh Ajo Sidi kepadanya sehingga dia (Kakek) menjadi sangat tersinggung dan terasa hati dengan cerita yang dibawa oleh watak Ajo Sidi itu.

Dalam penceritaan Ajo Sidi itu, penulis (AA Navis) memperkenalkan pembaca kepada watak Haji Salleh. Haji Salleh menurut apa yang dikisahkan oleh Ajo Sidi, adalah seorang ahli ibadah semasa di dunia. Persis seperti watak Kakek. Namun di akhirat kelak, watak Haji Salleh ini telah dihumbankan ke dalam neraka oleh Allah swt.

Menurutnya (Ajo Sidi) Tuhan menjadi murka terhadap watak Haji Salleh ini oleh hal kerana semasa di dunia Haji Salleh ini kerjanya lain tiada, hanya pandai menyembah Tuhan sahaja. Kemahiran lain tidak dibuatnya. Hanya berzikir-zikir, menahan nafsu dari berbuat mungkar, mengaji Al Quran, mengerjakan haji, saling tak lari dari peribadi Kakek, penjaga surau itu.

Cerita Ajo Sidi lagi, Haji Salleh dicampakkan ke dalam neraka kerana dia hanya mementingkan dirinya sendiri sahaja. Sehingga terlupakan masyarakat di sekitarnya. Lupa tentang isteri, lupa tentang kehidupan anak-anak.

Setelah mendengar cerita dari Ayo Sidi itu, Kakek menjadi murung. Jiwanya terusik. Seolah-olah Ayo Sidi cuba memberitahu kepadanya bahawa apabila beliau meninggal nanti, beliau akan diseret ke neraka paling dasar sekali lantaran beliau hanya pandai sembahyang sahaja. Tidak seperti dirinya (Ayo Sidi) yang rajin bekerja mencari rezeki di bumi Tuhan. Kakek menjadi tidak tenteram dan tenang kerana itu.

Sehingga pada suatu hari sampailah berita kepada watak 'Aku' bahawa Kakek telah mati kerana membunuh diri dengan mengelar lehernya menggunakan pisau cukur. Merasakan Ajo Sidi yang bertanggungjawab di atas kematian Kakek, 'Aku' bergegas ke rumahnya (Ajo Sidi). Dan cerpen ditamatkan dengan 'Aku' diberitahu oleh isteri Ajo Sidi bahawa beliau (Ajo Sidi) berpesan kepadanya (isteri Ajo Sidi) supaya dibelikan kain kafan tujuh lapis untuk arwahnya Kakek, sementara Ajo Sidi sendiri telah keluar untuk bekerja.


Kesimpulan

Cerpen ini pertama kali menemui pembaca pada tahun 1955, lebih kurang 10 tahun selepas Indonesia mencapai kemerdekaannya daripada Belanda. Sepanjang 10 tahun kebebasan daripada penjajah ini, AA Navis menuliskan sebuah tulisan yang seolah-olah mahu menyatakan tentang 'kita setelah merdeka'.

AA Navis meluahkan rasa dan perasaannya terhadap Indonesia di dalam 'Robohnya Surau Kami'. Beliau memberontak merusuh di dalam cerpen ini dengan amukan yang menggerunkan setiap hati yang membacanya. AA Navis memberikan neraka terhadap situasi yang sedang berlaku di dalam negaranya. Hukuman yang paling ngeri yang pernah ada untuk dibayangkan.

Sebuah cerpen yang masih segar sehingga kini, bahkan akan terus menjadi bacaan yang melangkaui masa. Ditulis bukan hanya untuk warga Indonesia, tetapi untuk dibaca dan difahami maknanya oleh setiap masyarakat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Sikap malas berusaha, terlalu mementingkan diri sendiri telah menjadi barah yang semakin parah dan tenat di dalam umat Islam. Dan itu amat merunsingkan AA Navis sebagai seorang penulis. Beliau melihat tiada cara lain untuk menyedarkan kaum-kaum ini selain memasukkan ke neraka semuanya.

Mereka yang hanya tahu sembah-sembah, puji-puji Tuhan semata, ke nerakalah kamu. Mereka yang hanya sanggup beryassin tiap malam Jumaat tapi tidak rela membaca dan memahami keadaan dunia dan masyarakat setempat, berbondong-bondonglah kamu ke neraka. Masuk nerakalah kamu yang hanya pandai mengangkat kayu mengetuk beduk memanggil orang untuk sembahyang tetapi tidak mahu mengangkat cangkul menggali tanah, memanfaatkan kurnia Tuhan di dalamnya. Nerakalah kamu!

Seolah-olah itu yang cuba disuarakan oleh AA Navis terhadap bangsa dan umat seagama dengannya di dalam cerpen 'Robohnya Surau Kami' itu. Tuhan tidak suruh kita hidup untuk duduk-duduk solat dan zikir sahaja di dalam surau sambil menanti rezeki yang telah ditentukan. Sebaliknya berusahalah, bekerjalah dengan kesungguhan dan keyakinan bahawa kerja itu juga sebahagian dari perintah Tuhan, kerja itu juga bahagian dari ibadah kepadaNya.

Cerpen ini cuba untuk memberitahu bahawa ibadah berpahala bukan datang dari perbuatan solat, puasa, haji sahaja, malahan dengan bekerja juga kita beroleh pahala yang banyak sehingga menjadi penentu syurga atau neraka.

Saya tidak berkesempatan untuk membaca tulisan AA Navis ini di dalam nashkah bukunya. Hanya memperolehi cerpen ini daripada salinan yang diberikan seorang rakan. Tidak begitu pasti di mana untuk mendapat tulisan-tulisan AA Navis di Malaysia ini, tapi jika berpeluang, carilah dan baca serta selami tulisan sasterawan besar ini. Penulis yang menyatakan semua di dalam tiap tulisannya.

Selamat membaca.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...